Hari ini hari Tarwiah dan Selamat Hari Raya Korban

Bersiap sedia menaiki bas sebelum ke Arafah.

Hari ini 8 Zulhijjah, dikenali sebagai hari Tarwiah. Di sebut sebagai hari Tarwiah kerana jemaah Haji akan bersiap sedia dengan mandi sunat ihram, solat sunat ihram dan berniat ihram Haji (bagi Haji Tamattuk) sebelum menuju ke Padang Arafah menaiki bas.

Berbagai ragam jemaah Haji

Kebiasaannya petugas-petugas Tabung Haji akan menampal notis di papan kenyataan hotel tentang jadual perjalanan ke Padang Arafah.

Bagi jemaah Haji muassasah, mungkin mereka akan di susun mengikut KT masing-masing. Contoh KT 1 sehingga KT 5 akan berangkat sekian-sekian masa dan begitulah KT-KT yang lain.

Bagi jemaah Haji Swasta (melalui pakej) mungkin mereka di susun mengikut tingkat-tingkat di hotel.

Contoh, jemaah Haji yang menginap di tingkat yang paling atas biasanya akan diberi keutamaan untuk berangkat terlebih dahulu.

Kemudian barulah jemaah Haji yang berada di tingkat 7, 6, 5 dan sehinggalah yang ke bawah mengikut tertib.

Namun ada juga jemaah-jemaah Haji yang panik, mungkin mereka takut tertinggal bas. Justeru mereka tidak menghiraukan arahan yang diberi. Dalam keadaan jemaah Haji di tingkat 8 belum diarahkan turun ke bawah untuk menaiki bas, sudah ada jemaah Haji yang menginap di tingkat 7, 6 dan ke bawah mula memenuhi lobi hotel kerana tidak sabar-sabar hendak ke Arafah.

Inilah yang menyebabkan berlakunya kesesakan di lobi hotel.

Ada juga jemaah yang merungut-rungut kerana kelewatan bas. Malah ada yang mengomel memberi idea itu dan ini seolah-olah Tabung Haji baru setahun jagung menguruskan jemaah Haji.

Demikianlah suasana hari Tarwiah…, macam-macam ragam dan karenah.

Sedikit nasihat

Wukuf di Padang Arafah bermakna berada di bumi Arafah walaupun sesaat bermula selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijjah (waktu Zuhor) sehinggalah terbit Fajar 10 Zulhijjah (waktu Suboh). Katakanlah masuk Zuhor di sana pukul 12.30 tgh hari dan masuk waktu Subuh keesokkannya ialah pukul 4.30 pagi. Bermakna tempoh masa yang diberi untuk berwukuf ialah 16 jam.

Dengan tempoh yang lama itu, maka jemaah Haji tidak perlu risau dan panik. Insya Allah, jika mereka mengikut arahan yang diberi, kesemuanya akan sampai ke padang Arafah tepat pada masanya.

Malah sudah menjadi tradisi jemaah Haji Malaysia akan sampai ke padang Arafah lebih awal beberapa jam sebelum masuknya waktu Wukuf berbanding dengan jemaah-jemaah Haji dari negara lain.

Persoalan, kenapa jemaah Haji Malaysia tiba lebih awal di Arafah ?

Kerana kita akan terus bertolak ke Arafah tanpa berhenti di Mina. Berdasarkan pandangan Mazhab Syafie, berhenti di Mina sebelum ke Arafah hanyalah sunat sahaja.

Walaupun menyalahi sunnah, namun dengan kapasiti jemaah yang terlalu ramai, maka itulah sahaja jalan terbaik bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang memungkinkan jemaah Haji terluput waktu untuk berwukuf di Padang Arafah.

Jadi kenapa perlu panik ?

Akhir kata Selamat Menyambut Hari Raya Korban daripada saya dan keluarga.

Abu Sofeya

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu