Wednesday, November 16, 2011

Nabi Sulaiman tidak kafir

Tafsir Al-Quran
Surah Al-Baqarah ayat 102


“Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut segala apa yang dibacakan oleh oleh Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman padahal Nabi Sulaiman tidak kafir (tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu), akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya) kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir.dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon) sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya).Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui”. (102)

Huraian ayat

Firman Allah SWT,

“ Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut segala apa yang dibacakan oleh oleh Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman…”

Mereka yang dimaksudkan di sini ialah pendita-pendita Yahudi yang membelakangkan kitab Allah dan tertarik dengan ajaran yang dibawa oleh Syaitan (sihir) di zaman Nabi Sulaiman dan diteruskan ilmu yang sesat itu hinggalah ke zaman Nabi Muhammad saw.

FirmanNya lagi,

“… padahal Nabi Sulaiman tidak kafir (tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu), akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya) kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir..”

Orang-orang Yahudi membuat tohmahan kononnya Nabi Sulaiman a.s telah mengamalkan sihir. Tohmahan ini bermula apabila Nabi Sulaiman a.s diutus menjadi Rasul, baginda telah menangkap semua tukang-tukang tilik dan merampas semua buku-buku sihir, kemudian menyimpannya dalam sebuah kotak lalu di tanam di bawah singgahsananya.Mana-mana syaitan yang berani untuk mendekati kotak tersebut, akan terbakar.

Setelah Nabi Sulaiman a.s wafat dan keturunan Bani Israil telah bertukar dari satu generasi ke satu generasi, pada satu hari Syaitan telah menjelmakan diri nya menjadi manusia dan bertemu sekumpulan kanak-kanak dari Bani Israil.

Kata Syaitan, “ Wahai sekelian kanak-kanak, mahukah kamu semua sesuatu ilmu yang jika kamu pakai, ilmu ini tidak akan habis dalam diri kamu?”

Sekumpulan kanak-kanak itu menjawab,

“ Ya kami mahukan ilmu itu”.

“Kalau kamu mahukan ilmu itu, pergilah kalian semua ke singgahsana Nabi Sulaiman dan kamu galilah di bawahnya, nescaya kamu akan dapati sejumlah kitab yang mengandungi pelbagai ilmu pengetahuan untuk kamu”, kata Syaitan.

Mereka pun menggali bawah singgahsana Nabi Sulaiman. Akhirnya mereka menjumpai buku-buku sihir yang di tanam di zaman Nabi Sulaiman.

Maka Syaitan mula menghasut,

" Tahukah kamu semua, moyang kamu yang bernama Sulaiman, mampu mengawal manusia, jin dan haiwan dengan menggunakan ilmu sihir ini".

Daripada sinilah tersebarnya kisah yang mengatakan bahawa Nabi Sulaiman sebenarnya ialah tukang sihir. Kalau tidak masakan Nabi Sulaiman boleh memerintah angin, menguasai Jin dan juga bercakap dengan binatang ? Sekiranya ilmu sihir itu sesat nescaya Nabi Sulaiman juga sesat dan kafir kerana dia juga mengamalkan sihir.

Selain itu ada juga ahli tafsir menyatakan bahawa ayat ini turun kerana membantah tuduhan yang di buat oleh orang-orang Yahudi ke atas Nabi Sulaiman. Mereka mengatakan Nabi Sulaiman a.s. sewaktu hari tuanya telah menyembah berhala. Baginda melakukan demikian kerana menurut kehendak kesemua isterinya yang berjumlah 700 orang dan gundik-gundiknya yang berjumlah 300 orang. Hal ini boleh dalam kitab Old Testament atau Perjanjian Lama; dalam bab "Kitab Raja-Raja", pasal 11 ayat 1 -10.

Firman Allah SWT seterusnya,

“... dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon..”

Siapakah Harut dan Marut ?

Dalam ayat ini Allah SWT ada menyebut mengenai dua Malaikat yang bernama Harut dan Marut. Terdapat berbagai tafsir daripada ulama yang menghuraikan siapakah yang dikatakan Harut dan Marut itu sehingga tidak ketinggalan ada yang memasukkan unsur unsur Israiliyat dalam tafsiran mereka.

Sebagai contoh menurut riwayat Israiliyat, Harut dan Marut ini adalah dua malaikat yang derhaka dengan Allah SWT. Kisahnya bermula apabila malaikat-malaikat di langit berkata kepada Tuhan,

" Wahai Tuhan, mengapa engkau jadikan anak-anak Adam itu sebagai makhluk pilihan-Mu di bumi sedangkan mereka sering menderhakaiMu".

Allah SWT pun berfirman,

"Kalaulah Aku turunkan kamu ke dunia dan Aku cipta kamu sama seperti manusia yang mempunyai nafsu, nescaya kamu juga akan melakukan sebagaimana yang manusia lakukan".

Para Malaikat menjawab,

"Maha Suci Engkau wahai Tuhan, kami sama sekali tidak akan menderhakai-Mu ”

Maka Allah SWT menyuruh para Malaikat memilih dua Malaikat yang terbaik di antara mereka untuk dikirimkan ke bumi. Maka para Malaikat pun memilih Harut dan Marut, iaitu dua Malaikat yang paling Soleh di kalangan mereka dan yang paling banyak ibadatnya kepada Allah SWT.

Sebelum diturunkan ke dunia Harut dan Marut di bekalkan dengan nafsu dan syahwat sama seperti manusia. Semasa di dunia, disebabkan kesolehan mereka, maka mereka telah dilantik oleh penghuni dunia sebagai Hakim yang menyelesaikan pelbagai masalah manusia.

Pada suatu hari datanglah seorang wanita yang cantik jelita berketurunan Parsi, namanya Zuhrah. Apabila terpandang sahaja Zuhrah, Harut dan Marut mula berdebar-debar. Maka bertanyalah Harut kepada Marut,

“Wahai saudaraku Marut, adakah engkau merasai apa yang aku rasa, yakni perasaan cinta dan berahi kepada wanita yang berjumpa kita tadi ?”

Jawab Marut,

"Benar, aku juga merasai apa yang engkau rasai".

Lalu Harut dan Marut pun cuba memikat dan merayu pada wanita jelita itu tetapi wanita jelita itu menolak dan pulang ke rumahnya.

Keesokan harinya, wanita jelita itu datang bertemu mereka berdua.

“Wahai Tuan Hakim, aku mengetahui gelodak jiwa kalian terhadap diriku. Baiklah! Kamu berdua boleh dapatkan aku jika sanggup melakukan tiga perkara ini; yang pertama hendaklah kamu menyembah berhala, kedua hendaklah kamu membunuh Si Pulan bin si Pulan dan yang ketiga hendaklah kamu meminum arak!".

Apabila mendengar sahaja permintaan perempuan itu, Harut dan Marut terkejut dan menolak permintaan tersebut kerana takutkan Allah SWT.

Pada hari ketiga, Zuhrah datang lagi dan di tangannya ada sebotol arak. Melihat sahaja Zuhrah perasaan Harut dan Marut tidak keruan. Kata Zuhrah,

“Wahai Tuan Hakim yang bijaksana ini peluang yang akhir, jika engkau berdua betul-betul mahukan aku, buatlah salah saatu daripada tiga perkara sama ada engkau menyembah berhala, membunuh si pulan bin si pulan atau meminum arak yang ada di tanganku ini".

Maka berbincanglah Harut dan Marut sesama mereka, lalu akhirnya mereka buat keputusan memilih yang ketiga iaitu minum arak.

Apabila mereka minum arak, maka mabuklah mereka lalu berzinalah mereka dengan Zuhrah. Secara kebetulan, ada seorang lelaki yang melihat kelakuan mereka, lalu untuk menyelamatkan rahsia mereka daripada terbongkar kepada umum, maka dibunuhnya lelaki tersebut.

Semasa mabuk Harut dan Marut juga menyembah berhala yang ditunjuk oleh Zuhrah.

Setelah Harut dan Marut sedar dari mabuk, keduanya insaf di atas kesalahan yang mereka lakukan dan ingin segera kembali ke langit. Namun, Allah SWT tidak mengizinkan.

Allah SWT berfirman kepada mereka,

“Sekarang kamu berdua pilih, samada kamu mahu menerima azab di dunia atau azab di akhirat.? ”

Keduanya menjawab,

“Wahai Tuhan, kami berdua memilih azab di dunia kerana azab di dunia ada pengakhirannya sedangkan azab di akhirat tidak akan berakhir.”

Kemudian Allah SWT tempatkan mereka di negeri Babil (Babylon) dan diazab dengan kedua kaki terikat, kepala ke bawah kaki di atas. Manakal Zuhrah, wanita yang menggoda mereka, Allah SWT jadikan dia sebagai planet yang sekarang ini di kenali sebagai planet Zuhrah.

Walaubagaimanapun pendapat yang mengatakan Harut dan Marut ialah dua malaikat yang Allah SWT utuskan kepada orang Yahudi untuk mengajar mereka tentang sihir supaya mereka boleh membezakan antara sihir dan mukjizat Nabi Sulaiman.

Buktinya pada ayat yang berikut Allah SWT berfirman,

“….sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)…”

Pendapat lain pula mengatakan Harut dan Marut ini bukan malaikat kerana amat mustahil Malaikat boleh mengajar ilmu sihir, sedangkan sihir itu sesuatu ilmu yang berhubung kait dengan Iblis dan Syaitan.

Mempelajari sihir, bermakna meyembah Syaitan, meminta pertolongan daripadanya dan tidak ada tujuan lain bagi orang yang mempelajari ilmu ini, melainkan untuk mendatangkan kemudaratan kepada manusia. Oleh yang demikian mustahillah Harut dan Marut ini adalah malaikat.

Maka yang dimaksudkan dengan Harut dan Marut di sini ialah dua orang lelaki yang dipandang solih yang berasal dari negeri Babilon (Iraq). Di sebabkan kesolehan mereka itulah mereka di panggil dengan gelaran malaikat oleh masyarakat di zamannya.

Mereka di anugerahkan berbagai ilmu pengetahuan termasuklah ilmu Sihir. Ada di kalangan masyarakat di zaman tersebut yang meminta supaya mereka mengajarkan ilmu ini, namun Harut dan Marut meletakkan syarat, sekiranya ilmu ini di ajar, jangan sekali-kali mereka menyalah gunakan ilmu tersebut.

Malangnya, apabila mereka mempelajari ilmu ini, mereka telah menyalahgunakannya dengan menggunakan ilmu ini untuk menceraikan pasangan suami dan isteri. Pendapat ini juga menimbulkan kemusykilan, kerana kalaulah Harut dan Marut itu orang yang soleh, mustahil mereka memiliki ilmu sihir dan mengajar ilmu yang sesat ini kepada orang ramai. Sifat ini bertentangan dengan akhlak seorang yang soleh.

Justeru siapakah Harut dan Marut ? Menurut HAMKA, Harut dan Mariut ialah malaikat Allah SWT. Cuma kalimah ‘Ma’ dalam Wa Ma Unzila Ala Malakain dalam ayat ini hendaklah ditafsirkan kepada ‘Tidak’ bukan ‘Apa’. Jadi tafsiran yang paling tepat ialah,

“ ….Dan tidaklah diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”.

Dengan kata lain malaikat Harut dan Marut ini tidak mengajar ilmu sihir kepada manusia, melainkan mereka datang ke dunia sebagai ujian untuk mengajak manusia meninggalkan ilmu tersebut.

Namun orang-orang Yahudi menuduh bukan sahaja Nabi Sulaiman yang mengajar ilmu sihir malah kedua-dua malaikat yang diutuskan oleh Allah ke negeri Babilon juga turut mengajar ilmu ini kepada orang ramai. Jelas, ayat ini menafikan semua tuduhanorang-orang Yahudi yang tidak berasas.

Firman Allah SWT pada ayat berikutnya,

“…..Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya……”.

Dalam ayat ini menjelaskan kepada kita semua tentang adanya sihir yang dihantar boleh membalik-balikkan hati manusia, sehingga pasangan suami isteri yang saling sayang menyayangi bertukar menjadi benci, bergaduh dan seterusnya membawa kepada penceraian.

Firman Allah SWT seterusnya,

“....padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah…”

Maksudnya ilmu sihir ini sama sekali tidak akan dapat memberi mudharat kepada sesiapa yang menjadikan Allah SWT sebagai Pelindungnya. Kepada mereka yang lemah imannya, tidak beramal dengan perintah Allah, tidak ikut apa yang disuruh oleh Rasulullah saw, orang-orang yang sedemikianlah yang akan terdedah dengan sihir ini.

Firman-Nya lagi,

“….Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka…”

Di hujung ayat Allah SWT berfirman,

“…Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui”(102).

Maksudnya orang-orang ahli kitab sudah pun tahu bahwa tukang sihir tidak akan mendapat kesenangan di akhirat malahan, mereka akan ditempatkan ke dalam neraka. Alangkah buruknya perangai mereka jika masih melakukan perbuatan keji tersebut.

Wallahualam.

HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.