Catatan ringkas menjelang Eidul Adha

Bermula pada 10 hingga 13 Zulhijjah (selama empat hari) umat Islam di seluruh dunia akan melakukan ibadah korban. Insya Allah, di Masjid dan surau-surau di sekitar Sikamat Seremban akan turut melaksanakan ibadah Qurban pada hari-hari tersebut.

Kepada yang bawa anak-anak...

Kepada mereka yang membawa anak-anak, tidak salah kita mendedahkan kepada mereka aktiviti korban ini sebagai satu pendidikan awal kepada mereka, malah inilah yang sangat dianjurkan oleh Islam. Moga-moga apabila dewasa nanti merekalah yang akan mewarisi melaksanakan kerja-kerja yang mulia ini. Tetapi hendaklah kehadiran mereka sentiasa diawasi, janganlah dibiarkan mereka terlalu dekat dengan binatang yang hendak disembelih serta membuat bising sehingga menganggu tumpuan penyembelih melaksanakan tugasnya.

Dimana saya pada hari itu ?

Pada hari Jumaat 27 hb November ini saya akan menyampaikan khutbah Hari Raya Eidul Adha di surau Taman Kolej Height Sikamat, kemudian akan bergegas pula ke Surau Al-Hidayah Taman Warisan Puteri untuk bersama-sama membantu kerja-kerja perlaksanaan ibadah korban di surau ini. Selepas solat Jumaat saya akan ke surau Kolej Height semula untuk memenuhi jemputan mereka menikmati juadah daging korban.

Pada hari Sabtu...

Pada tahun ini saya menyertai ibadah korban di surau Al-Amin Sikamat sebanyak satu bahagian. Saya mendaftar untuk melakukan ibadah korban di surau ini pada awal bulan Januari sebelum berpindah ke Vila Suria, Warisan Puteri. Jumlah kos melaksanakan ibadah korban di sini agak tinggi iaitu sebanyak RM 400 satu bahagian jika dibandingkan dengan mana-mana surau dan masjid yang berdekatan.

Justeru pada hari Sabtu ini, seawal 8 pagi sebelum berangkat ke tempat kerja, saya akan ke surau ini untuk menyembelih dua ekor lembu (tak pasti mungkin ada penambahan di saat-saat akhir) kemudian di susuli pula menyampaikan kuliah Zuhor di sebelah tengaharinya apabila pulang dari kerja.

Di Taman Perwira... ?

Boleh dikatakan separuh daripada usia saya dibesarkan di Taman Perwira bermula semenjak tahun 1990 lagi. Rumah emak saya betul-betul berdepan dengan rumah pasangan suami isteri Tn Haji Zambrose dan Pn Hajah Siti Arpah. Di Taman Perwira saya juga mempunyai 3 orang kakak yang turut membuat rumah di sini.

Seperti yang diberitahu oleh emak saya, tahun ini di Taman Perwira bakal mengorbankan lapan ekor lembu. Tahniah saya ucapkan kepada penduduk-penduduk Taman Perwira, walaupun anda tidak mempunyai Surau namun berkat muafakat sesama penduduk, sudah empat tahun berturut-turut anda berjaya melaksanakan ibadah korban di taman perumahan ini.

Insya Allah, jika berkelapangan saya akan cuba menghadirkan diri untuk membantu apa-apa yang patut.

Sedikit nasihat kepada penyembelih, pelapah dan penyiang...

Satu perkara yang perlu diingat, semasa kita menyembelih, melapah dan menyiang daging korban, hendaklah kita melakukannya dengan ikhlas. Janganlah kita melakukan kerja-kerja tersebut kerana mengharapkan sesuatu ganjaran atau upah seperti mahukan kulit binatang itu, dagingnya, kepala, perut, ekor dan sebagainya kerana perbuatan ini dilarang oleh Rasulullah saw sebagaimana yang diberitahu oleh Saidina Ali kwj,

أمرنى رسول الله (ص) أن أقوم على بدنه , وأن أ تصدق بلحومها وجلودها وجلالها , وأن لا أعطى الجارز منها شيئا. وقال : نحن نعطيه من عندنا

Maksudnya : Rasulullah saw telah menyuruhku untuk menguruskan haiwan korbannya agar aku mensedekahkan daging, kulit dan isi perutnya. Aku dilarang memberi apa jua kepada penyembelihnya dari daging korban itu. Kata Saidina Ali lagi, Kami hanya memberinya daripada daging yang ada pada simpanan kami”. (Hadis Mutafaqqun ‘alaih)

Jalan penyelesaian

Untuk itu marilah sama-sama kita berniat di dalam hati sama ada kita dapat dagingnya ataupun tidak, kita tetap akan sama-sama melakukan kerja-kerja menyembelih,melapah dan menyiang daging-daging korban ini ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

Wallahualam.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu