Dia sedang mencari jalan pulang...

Saya sudah penat menulis..., dan bercadang untuk berehat seketika dari penulisan blog. Banyak lagi kerja-kerja lain yang perlu saya lakukan.

Antaranya, nota-nota kuliah Maghrib yang perlu saya siapkan untuk dikongsi bersama dengan para jemaah di masjid.

Sudah menjadi tabiat saya, suka mencatatkan apa yang di baca dan mengedarkan kepada para pendengar sebagaimana yang saya lakukan di Masjid Ampangan Seremban.

Sudah tujuh tahun saya mengajar di masjid ini, itulah cara saya yang tidak pernah berubah sama seperti prinsip politik yang dipegang selama ini. Justeru, janganlah berburuk sangka, mengatakan saya sudah beralih angin !

Begitu juga saya perlu menyiapkan Berita Vila Suria, iaitu sebuah buletin berkala yang diterbitkan oleh Persatuan Penduduk Vila Suria, Bandar Warisan Puteri Sikamat sebagai tatapan untuk jiran-jiran setaman.

Saya juga perlu menjenguk kerja-kerja penulisan buku saya yang bertajuk 'Jika misionari Kristian bertanya anda...', supaya ianya siap mengikut tempoh sasaran.

Selagi ada kekuatan...

Masa bergerak begitu pantas. Umur pun semakin meningkat, sedangkan kematian tidak mengira sesiapa. Bila saya menoleh kebelakang barulah saya sedar, rupa-rupanya masa muda saya, tidak banyak yang saya lakukan untuk Islam dan umatnya. Ya ALLAH ampunkan saya...

Duhai pembaca sekalian...,

Menulis bagaikan nyawa dalam kehidupan saya. Sebenarnya masih banyak lagi isu-isu agama yang mahu saya sentuh dalam blog ini, antaranya fahaman sesat Sister in Islam, Islam Liberal, Plurisme Agama dan pelbagai lagi.

Manakala dalam bidang siasah pula, sudah saya nyatakan sebelum ini yang saya tetap saya.., akan terus mengasak dan menyerang, seterusnya menghalakan peluru bertalu-talu kepada B..!. Allahu Akbar !

Apa pun saya berdoa kepada ALLAH SWT, "Ya ALLAH berilah aku kekuatan dalam meneruskan kerja-kerja ini".

Saya juga berdoa semoga rakan-rakan yang sudi mengunjungi blog ini sentiasa diberi kesihatan yang baik dan 'istiqamah dalam perjuangan' walaupun kita tidak bersua lagi di alam siber buat beberapa ketika. Insya Allah, biar pun metodologi perjuangan berbeza namun matlamat kita tetap SAMA ! BERJUANG TETAP BERJUANG !

Rakan-rakanku sekalian,

Jika ada ilmu yang rakan-rakan perolehi dari blog ini, saya halalkan dunia dan akhirat. Yang baik itu datangnya dari Allah, yang lemah itu dari saya sendiri. Di keheningan malam saya berdoa,

"Ya ALLAH, Engkau kurniakanlah kebaikan dan rahmat ke atas semua pengunjung blog ku ini (yang beriman), murahkan rezeki mereka dan kurniakanlah kesihatan yang baik buat mereka dengan selanjut-lanjut usia.. Amin ya Rabbal 'Alameen..."

Para pembaca sekalian,

Saya kira masih berhutang dengan pembaca sekalian. Bulan lepas saya menulis mengenai Kasim Ahmad di bawah tajuk Alaa… Kassiimm. Penulisan itu hanya sekerat jalan sahaja. Belum ada penyudahnya. Justeru, sebelum saya bercuti panjang, ingin saya lunaskan hutang saya kepada pembaca yang budiman. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya.

Refresh...

Suatu ketika dahulu.. di sekolah saya, ada seorang bapa yang bergelar Datuk. Beliau mempunyai ramai anak hasil dari perkongsian hidup dengan dua orang isteri. Tiga orang daripada anaknya belajar di Kolej Tuanku Jaafar Mantin, Seremban.

Kalau saya sebut nama Datuk ini mungkin ada yang mengenalinya sebab dia seorang ahli perniagaan yang terkenal di Malaysia. (Maaf saya tidak boleh siarkan namanya atas sebab-sebab tertentu). Untuk makluman pembaca, Datuk ini begitu taksub dengan ajaran Kassim Ahmad.

Katanya kepada saya semasa parent teacher meeting ,

" Ustaz, saya ni ahli perniagaan yang sentiasa sibuk ke sana ke mari. Tidak ada masa untuk beribadat, jiwa saya kosong sehinggalah saya diperkenalkan oleh seorang sahabat dengan seorang guru ", katanya memulakan cerita.

" Guru itulah yang membimbing saya, kalau dulu saya cuai solat tapi hari ini tidak lagi, kalau dulu saya tak pernah merasa takut dengan azab Allah tapi sekarang perasaan takut itu sudah meresap dalam diri saya", sambungnya lagi dengan wajah sedih.

Saya tekun mendengar ceritanya. "Baguslah Datuk sudah insaf", kata saya.

"Untuk makluman Ustaz, saya betul-betul terhutang budi dengan guru saya, syukur kalau tidak kerana bimbingannya, entahlah saya pun tak tahu nak jadi apa, mungkin saya akan terus sesat bergelumang dengan dosa", cerita Datuk ini sambil menitiskan air matanya.

"Berjasa sungguh guru Datuk itu. Moga-moga Allah membalas amal kebaikannya. Err., kalau Datuk tidak keberatan boleh saya tahu siapakah gerangan guru yang begitu mulia itu ? Saya ingin berkenalan dengannya dan ingin menimba ilmu daripadanya ", tanya saya.

"Kassim Ahmad, dialah guru saya di dunia dan akhirat, dialah yang telah membentuk saya menjadi manusia bukan haiwan ", kata Datuk ini.

Saya terperanjat besar dengan jawapannya dan terus menyoal Datuk ini dengan lebih lanjut untuk mengetahui latar belakang gurunya itu. Melalui jawapan yang diberinya, SAH guru yang dimaksudkan itu ialah Kassim Ahmad pengasas ajaran anti hadis di Malaysia.

Saya memujuk Datuk ini agar keluar dari ajaran Kassim Ahmad, malangnya tidak berhasil. Katanya kepada saya,

"Adakah Ustaz mahu saya kembali ke zaman jahiliyah saya dahulu, berfoya-foya tak tentu arah dan tak ingat Allah ? " katanya memarahi saya.

Hati saya berbisik, kasihan sungguh Datuk ini, dalam keadaan dia teraba-raba mencari pembimbing dapat pula pembimbing yang sesat lagi menyesatkan.

Apa pun saya mendoakan agar ALLAH SWT menyelamatkan Datuk ini dari kesesatan Kassim Ahmad.

Siapakah Kassim Ahmad ?

Beliau dilahirkan di Baling Kedah dan pernah berguru dengan Dr. Rasyad Khalifa, Imam Masjid Tucson USA yang kemudian mendakwa dirinya sebagai Rasul. Pada tahun 1985 Kassim Ahmad telah menulis sebuah buku bertajuk 'Hadis Satu Penilaian Semula'. Buku ini kemudian telah diharamkan oleh Pusat Islam Kuala Lumpur.

Pada 6 hb September 1995 Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengistiharkan ajaran anti hadis sebagai sesat. Namun yang peliknya, walaupun ajarannya telah diwartakan sesat namun insan yang bernama Kassim Ahmad masih terus bebas ke sana kemari menyebarkan ajarannya kepada orang ramai.

Contoh tulisan Kassim

Pada bulan Julai 2006 Kassim Ahmad telah menulis sebuah artikel yang boleh menyesatkan orang ramai. Artikel ini telah diterbitkan oleh Majalah Al-Islam yang ketika itu sidang pengarangnya diketuai oleh saudara Astora Jabat. Sila amati tulisan beliau…,

Mengenai hadis Rasulullah

Kassim Ahmad mendakwa terdapat 40 peratus hadis yang didakwa sahih bercanggah dengan ajaran Al-Quran. Beliau menulis….

“…. Dalam kiraan kasar, saya letakkan 40 peratus yang terang-terang bercanggah dengan ajaran al-Quran. Kita tidak harus lupa akan wujudnya musuh dalam selimut yang wujud dalam semua masyarakat dalam semua zaman, yang bekerja siang malam untuk menggagalkan ajaran yang baik ini sunnatullah…”

Mengenai hukum murtad

Kassim Ahmad mendakwa murtad dibenarkan dalam Islam. Katanya…

“…kebebasan beragama adalah mutlak dalam al-Quran ; tidak ada hukuman di dunia ini. Hal ini sangat jelas. Oleh yang demikian, hukuman bunuh dalam hadis itu bercanggah dengan ajaran Al-Quran. Mereka mendakwa kebebasan ini hanya terbatas kepada sesiapa yang hendak memeluk Islam, tetapi apabila telah memeluk Islam mereka tertakluk kepada hukuman hadis ini, nyatalah ingin menterbalikkan logika. “Bebas boleh memeluk apa-apa agama, tetapi apabila telah memeluk Islam, tidak bebas keluar..”

Mengenai hukum rejam

Kassim Ahmad mengatakan hukuman rejam sampai mati bagi penzina yang sudah berkahwin itu bukannya datang daripada Al-Quran tetapi dari kitab Taurat. Jelasnya…

“…. Hukuman terhadap pasangan berzina, sama ada telah berkahwin atau tidak, dalam Al-Quran ialah seratus rotan. Hukuman dalam hadis, yang membezakan antara yang telah berkahwin dan yang tidak ialah rejam sampai mati. Hukuman ini telah diambil dari kitab Taurat. Hukuman ini nyatalah berbeza daripada hukuman dalam Al-Quran…”

Kassim Ahmad juga menuduh hadis Nabi saw telah meminda hukum Al-Quran sebagaimana tulisannya,

“…Ia tidak boleh dikatakan sama sekali penjelasan terhadap hukuman Al-Quran. Ini perubahan atau pindaan terhadap Al-Quran ! Di sini nyatalah hadis telah mengatasi Al-Quran ..!

Mengenai serban

Ketika memperlekehkan serban Kassim Ahmad menulis,

“…Umpamanya adat orang Arab lelaki ialah memekai serban atau tutup kepala, kerana ini sesuai dengan iklim di sana. Tetapi di Malaysia dengan hawanya yang panas ia tidak begitu sesuai. Adakah ini sunnah Nabi yang sunat kita ikut ? Saya tidak fikir begitu. Jika Nabi Muhammad seoorang Melayu, beliau juga akan memakai pakaian adat Melayu …”

Jawapan terhadap tulisan Kasim

Seorang penulis yang bernama Nordi Achie, pensyarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa dari Universiti Malaysia Sabah telah membidas tulisan Kasim Ahmad dalam majalah yang sama pada bulan Ogos 2006. Saya ingin berkongsi dengan pembaca sekalian tentang apa yang ditulisnya.

Jawapan terhadap kritikan ke atas hadis Rasulullah

Jumlah 40 peratus ini bukanlah kecil. Himpunan hadis sahih dalam sahih Bukhari misalnya berjumlah lebih daripada 1000 buah - keseluruhannya tidak kurang 9082 buah termasuk hadis-hadis ulangan. Dalam kiraan kasar penulis pula, ini bermakna sekitar 400 buah hadis sahih dalam Sahih Bukhari "terang-terangan bercanggah dengan ajaran al-Quran". Jika Kassim dapat membuktikannya - meskipun bertaraf kebenarn nisbi, kajiannya mungkin menjadi sumbangan ilmu kehadisan zaman morden yang terbilang. Jika Kassim berjaya, nampaknya kita menanti-nantikan kemunculan Imam Hadis berketurunan Melayu yang pertama seumpamanya di dunia - 'Imam Kassim Ahmad'.

Jawapan terhadap kritikan ke atas hukum murtad

....mengenai kebebasan beragama, hujah Kassim mungkin masih ada kelemahannya. Penulis bersetuju sepenuhnya dengan konsep kebebasan beragama dalam konteks bebas untuk memilih (bebas masuk) mana-mana agama. Tetapi, jika kita diberikan kebebasan untuk keluar daripada Islam, Kssim perlulah memikirkan beberapa persoalan ini.

1. Tidakkah agama Islam akan dipersenda-sendakan oleh musuh-musuh Islam ? Jika kita membenarkan sesiapa pun boleh keluar daripada Islam mengikut sesuka hatinya, natijahnya Islam akan dimomokkan sebagai agama yang tidak ada prinsip ketegasan dalam memelihara agamanya sendiri. Pastinya Kassim juga tidak mahu dimomokkan sedemikian bukan ?

2. Setakat yang penulis ketahui, penganut agama Kristian dan Hindu misalnya, jelas menentang rakan-rakan seagama yang murtad. Penulis tidak pasti sama ada kitab agama mereka membenarkan murtad atau sebaliknya. Oleh anologi penulis mudah sahaja : Jika penganut agama lain pun begitu sayang dengan rakan seaagama mereka, kenapa pula penganut agama Islam membenarkan saudara seagamanya murtad sebebas-bebasnya ? Jika pintu murtad dalam Islam dibuka seluas-luasnya, tidakkah agama kita nanti disangka sedarjat barang permainan sahaja ?

Jawapan terhadap kritikan ke atas hukuman rejam

Pada hemat penulis, hukuman tersebut merupakan hasil ijtihad-tafsiaran Muhammad saw sendiri. Cuma mungkin secara kebetulan, hukuman yang sama telah termaktub dalam Taurat. Persoalannya ialah, jika benar Muhammad saw mengambil hukum tersebut daripada Taurat bagaimanakah Kassim dapat membuktikannya ? Setakat pengetahuan penulis, Muhammad saw juga tidak pernah mempunyai penasihat khas syariah yang terdiri daripada ahli kitab, dan jika ada pun, pasti sukar untuk menyabitkannya seperti dakwaan Kassim. Malah, jika benar hukuman itu diambil daripada Taurat, apakah Muhammad saw tahu membaca Taurat ...sedangkan baginda UMMI ? mungkinkah Kassim dapat menjawab persoalan-persoalan ini ?

Jawapan terhadap kononnya Nabi Muhammad saw meminda hukum al-Quran

Jika tafsiarn ijtihad Rasulullah saw mengenai kedua-dua hukuman (hukuman ke atas pesalah murtad dan pesalah penzina yang telah berkahwin) tersebut bercanggah dengan al-Quran pastilah Allah SWT akan menegur kesilapan Rasulullah saw seperti yang berllaku dalam kes Ummi Maktum (lihat surah 'Abasa 1-10). Selain itu Allah pernah menegur ketersilapan ijtihad Rasulullah saw apabila baginda menerima dalih kaum munafik untuk mengelak diri daripada menyertai Perang Tabuk. Fakta ini dirakam dalam surah at_taubah ayat 43-45.

Jawapan terhadap memperlekehkan serban

Mungkin Kassim tersilap. Sebenarnya serban sesuai digunakan di kutub yang paling sejuk malah kutub yang paling panas. Penulis pernah bertanya dengan seorang sahabat yang telah berserban lebih 20 tahun lamanya. Katanya, mula-mula kepala terasa agak panas tetapi lama-kelamaan kepala terasa sejuk dingin pula. Pengalaman ini dapat dibuktikan menerusi kaedah saintifik. Contohnya krtika kita bersenam, badan kita terasa panas. Tetapi setelah peluh menyejat (kering) badan kita terasa sejuk-dingin. Inilah antara hikmahnya.

Sekian, selamat berpisah buat sementara waktu, jika umur panjang kita berjumpa lagi.

Wallahualam.

Rujukan,
Majalah Al-Islam keluaran Julai & Ogos 2006.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu