Penentang hudud.., sila baca !!
Apa yang saya paparkan ini ialah sebuah artikel berkaitan tentang jenayah zina. Saya berharap mana-mana orang perseorangan, NGO-NGO dan parti-parti politik yang menentang hukum hudud dapatlah kiranya meluangkan masa sedikit untuk membaca artikel ini.
Bacalah ketika anda dalam situasi yang tenteram dan tenang. Jangan membacanya sekadar melepaskan batuk ditangga atau membacanya sekerat-sekerat kerana dibimbangi kefahaman anda juga sekerat-sekerat. Bacalah sampai habis !
Cuba fahamkan betapa terperincinya syarat yang Islam letakkan sebelum menjatuhkan hukuman hudud ke atas pesalah zina. Bukan semudah yang tuan-tuan sangkakan.
Semoga artikel ini dapat mencerahkan minda anda yang mungkin ketika ini sedang dalam 'kejerebuan' mengenai hukum Tuhan. Mana yang baik itu datangnya dari Allah, yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri. Selamat membaca !
Pengertian Zina
Ulama di kalangan Mazhab Maliki mentakrifkan zina itu ialah persetubuhan seorang mukallaf yang dilakukan dengan sengaja pada kemaluan perempuan anak Adam yang sama sekali bukan miliknya.
Manakala Al-Shirazi, seorang ulama dalam Mazhab Shafi’e mentakrifkan zina dengan katanya : Apabila seorang lelaki dari kalangan penduduk Negara Islam menyetubuhi seorang perempuan yang diharamkan ke atasnya, iaitu tanpa wujud di antara keduanya akad yang sah atau akad yang syubhah (samar), tanpa wujud milik yang sah atau milik yang syubhah (samar), dan lelaki itu pula seorang yang berakal, baligh dan melakukan perbuatan itu dengan pilihannya, tahu tentang pengharamannya, maka wajiblah ke atasnya hukuman had. Jika dia seorang yang muhsan maka wajiblah ke atasnya hukuman rejam.
Berdasarkan takrif di atas terdapat beberapa unsur untuk mensabitkan seseorang itu melakukan kesalahan zina. Pertama, persetubuhan yang diharamkan. Kedua, dilakukan dengan sengaja dan ketiga dilakukan oleh orang yang cukup mukallaf.
Pertama : Persetubuhan Yang Diharamkan
Maksud persetubuhan ialah perbuatan memasukkan zakar ke dalam faraj atau kubul sekurang-kurangnya tenggelam kadar hasyafah (iaitu kepala zakar) atau kadar seumpamanya jika hasyafahnya sudah terputus. Tidak kira sama ada keluar mani atau tidak, atau berlaku dengan tindakan lelaki yang memasukkan zakarnya ke dalam faraj perempuan atau tindakan perempuan memasukkan zakar lelaki ke dalam farajnya.
Justeru tidaklah dianggap zina jika perbuatan-perbuatan yang berlaku adalah di luar faraj seperti berkucup, berpeluk, berkhalwat, memasukkan zakar di antara kedua-dua belah peha atau bercumbuan di luar faraj. Cuma ia merupakan perbuatan yang di larang dan maksiat serta mukaddimah kepada zina yang mana pelakunya boleh dikenakan hukuman ta’zir.
Menurut Imam Abu Hanifah, persetubuhan yang diharamkan dan dianggap sebagai zina itu ialah yang berlaku menerusi faraj atau kubul. Dengan kerana itu persetubuhan melalui dubur sama ada kepunyaan lelaki atau perempuan tidaklah dikira sebagai zina kerana perbuatan itu dinamakan liwat. Lagi pun kesan daripada perbuatan liwat tidak sampai melahirkan keturunan berbanding dengan zina. Justeru pelakunya hanya boleh dikenakan hukuman ta’zir sahaja.
Tetapi jumhur ulama-ulama di kalangan Mazhab Maliki, Shafi’e dan juga Hanbali menganggap persetubuhan melalui dubur itu sama seperti persetubuhan menerusi faraj yang wajib dijatuhkan hukaman had. Al-Quran telah menyamakan kedua-dua perbuatan ini. Antaranya firman Allah SWT kepada kaum Lut,
انكم لتأتون الفاحشة
Maksudnya : Sesungguhnya kamu melakukan perbuatan yang keji. (Al-‘Ankabut : 28)
Dan firmanNya lagi,
واللاتى يأتين الفاحشة من نسائكم
Maksudnya : Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu (An-Nisa’ : 15)
Dalam surah Al-‘Ankabut ayat 28, Allah SWT menyebut persetubuhan haram melalui dubur adalah keji, kemudian dalam surah An-Nisa’ ayat 15, Allah SWT menyebut persetubuhan haram melalui faraj juga adalah keji. Ini menunjukkan kedua-dua perbuatan ini adalah sama taraf.
Hujah ini dikuatkan dengan dalil sepotong hadis,
اذا أتى الرجل الرجل فهما زانيان واذا أتت المرأت المرأة فهما زانيتان
Maksudnya : Apabila seorang lelaki melakukan persetubuhan dengan seorang lelaki maka kedua-duanya adalah penzina dan apabila seorang perempuan bersetubuh dengan seorang perempuan maka kedua-duanya juga adalah penzina.
Bagaimana pula jika persetubuhan itu dilakukan ke atas orang yang sudah mati yang bukan pasangan suami isteri? Menurut Imam Abu Hanifah dan sebahagian pendapat Mazhab Shafi’e dan Hanbali, perbuatan itu tidak dianggap zina, Cuma pelakunya dikenakan hukuman ta’zir. Manakala sebahagian ulama di kalangan Mazhab Shafi’e, Hanbali dan Maliki berpendapat, perbuatan seperti itu dianggap zina yang wajib dijatuhkan hukuman had zina, malah ia dipandang lebih buruk daripada perbuatan zina kerana menjejaskan kehormatan mayat.
Bagaimana pula jika persetubuhan itu dilakukan pada kemaluan binatang ? Imam Abu Hanifah dan Imam Malik tidak menganggapnya sebagai zina, tetapi ia adalah satu maksiat yang boleh dijatuhkan hukmuan ta’zir sahaja. Manakala dalam Mazhab Shafi’e mempunyai dua pendapat, salah satunya sama seperti pendapat Imam Abu Hanifah. Pendapat kedua, ia dikira sebagai zina dan pelakunya hendaklah dihukum bunuh dalam semua keadaan berdasarkan kepada sebuah hadis yang berbunyi,
ومن أتى بهيمة فاقتلوه واقتلوها معه
Maksudnya : Sesiapa yang menyetubuhi binatang maka hendaklah kamu membunuhnya dan membunuh binatang itu bersama-sama nya.
Kedua : Dilakukan Dengan Sengaja
Maksudnya ialah apabila seseorang lelaki itu benar-benar mengetahui bahawa perempuan yang disetubuhinya itu bukan isterinya atau perempuan yang disetubuhi itu mengetahui bahawa lelaki yang menyetubuhinya ialah lelaki yang bukan suaminya sedangkan mereka mengetahui bahawa perbuatan bersetubuh itu adalah haram.
Berdasarkan ini, bermakna orang yang berzina dengan sengaja tetapi mereka tidak tahu tentang hukum haramnya zina disebabkan jahil, mungkin kerana faktor baru masuk Islam atau tinggal berjauhan daripada masyarakat Islam, maka tidak bolehlah dikenakan hukuman had ke atasnya. Namun, zaman sekarang alasan jahil adalah mustahil untuk diterima , kerana pengharaman zina bukan sahaja telah diketahui oleh orang-orang Islam malah juga orang bukan Islam.
Jika seorang lelaki mendapati seorang perempuan di atas katilnya, pada sangkaannya perempuan itu adalah isterinya, lalu dia menyetubuhinya, tiba-tiba baru dia tahu bahawa perempuan itu adalah ajnabinya maka dia tidak boleh dikenakan hukum had zina kerana dia tidak berniat sengaja untuk melakukan zina.
Akan tetapi mengikut Mazhab Hanafi, bahawa pasangan suami isteri yang telah lama berkongsi hidup adalah tidak munasabah untuk tidak mengenali pasangan masing-masing walaupun mereka buta sekali pun kerana masing-masing boleh mengenal pasangan masing-masing samada melalui rasa, bau, suara dan nafas. Oleh itu menurut Mazhab Hanafi, orang yang melakukan persetubuhan tersalah pasangan tidak terlepas daripada hukuman had zina.
Bagaimana kedudukan seorang lelaki yang dipaksa melakukan zina ? Jumhur ulama berpendapat dia tidak dikenakan hukuman had zina. Manakala ulama di kalangan Mazhab Hanbali mengatakan dia wajib dikenakan hukuman had zina. Ada pun seorang perempuan yang dipaksa melakukan zina atau diperkosa, seluruh jumhur berpendapat dia tidak akan dikenakan hukuman had zina.
Ketiga : Dilakukan Oleh Orang Yang Mukallaf
Pesalah-pesalah zina itu tidak boleh dikenakan hukuman had kecuali jika mereka memenuhi syarat-syarat berikut :
1. Baligh. Oleh sebab itu kalau kanak-kanak lelaki yang belum baligh melakukan zina dengan perempuan dewasa ia tidak boleh dikenakan hukum had zina tetapi hendaklah dikenakan hukuman ta’zir sekiranya kanak-kanak itu sudah mumaiyiz. Ada pun perempuan tersebut, menurut Imam Syafi’e hendaklah dikenakan hukuman had zina.
2. Berakal, ertinya orang gila yang berzina terlepas daripada hukuman had zina. Jika salah seorang penzina berakal maka hukuman had zina hanya akan dilaksanakan ke atas yang berakal sahaja.
3. Islam, maksudnya jika yang berzina itu orang kafir maka dia terlepas daripada hukuman had zina. Tetapi menurut Mazhab Shafi’e dan Hanbali, sesiapa sahaja berzina sama ada orang Islam atau bukan Islam dia boleh dikenakan hukuman had zina. Tetapi jika seorang kafir yang sudah berkahwin berzina dengan pasangannya yang beragama Islam, sikafir hanyalah dikenakan hukuman sebat seratus kali sebatan sahaja, tidak direjam sampai mati, melainkan sikafir itu memaksa perempuan Islam berzina dengannya maka dia akan dikenakan hukuman mati.
Wallahulam.
Dikuliahkan di Masjid Jame' Ampangan.
Rujukan,
1. Undang-Undang Jenayah Islam – Dr. Mat Saat Abd Rahman
2. Jinayah Dalam Islam – Dr. Mahfodz Mohammad
Comments
Post a Comment