Allah yang menghidup dan mematikan...

Tafsir Al-Quran
Surah Az-Zumar ayat 42.


Firman Allah SWT,

"Allah (Yang Menguasai Segala-Galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati : dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan jiwa yang lain (kebadannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir untuk memahaminya)".

Huraian ayat.

“Allah (Yang Menguasai Segala-Galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya,”

Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang sudah meninggal dunia bukanlah bermakna rohnya habis sebegitu sahaja kerana roh itu akan kembali kepada yang Empunya iatu Allah SWT. Dialah yang akan memelihara roh itu dengan baik. Firman-Nya lagi,

“..dan jiwa orang yang tidak mati : dalam masa tidurnya..”

Maksudnya ketika manusia tidur, samalah keadaannya seperti mati. Dari zahir hanya nafasnya sahaja yang turun naik, sedangkan rohnya berada di bawah pemeliharaan Allah SWT. Firman-Nya lagi,

“..kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan jiwa yang lain (kebadannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan..”

Maksudnya bagi mereka yang Allah SWT sudah tentukan ajalnya, rohnya ditahan dalam pemeliharaan Allah SWT, tidak dikembalikan lagi ke tubuh jasadnya. Manakala bagi mereka yang belum diputuskan oleh Allah SWT untuk pulang ke sisi-Nya, roh mereka akan dikembalikan ke tubuh mereka sehinggalah sampai ke satu tempoh yang ditentukan oleh Allah SWT.

Kadang-kadang ada juga orang yang tidur selesa,namun rohnya tidak dikembalikan semula oleh Allah SWT ke tubuhnya, dengan kata lain dia meninggal dunia ketika tidur. Sebab itulah Rasulullah saw mengajar kita sebelum tidur,

إذا جاء أحدكم إلى فراشه فلينفضه بصنفة ثوبه ثلاث مرات وليقل : بسمك وضعت جنبى وبك أرفعه , إن أمسكت نفسى فاغفرلها وإن أرسلتها فاحفظها بما تحفظ به عبادك الصالحين

Maksudnya : Apabila seseorang di antara kamu hendak ke tempat tidurnya, hendaklah dia kibaskan tempat tidurnya dengan hujung kain (selimutnya) tiga kali dan hendaklah membaca doa (ini ): Dengan nama Engkau ya Tuhanku, aku letakkan jasadku dan dengan nama Engkau pula Engkau akan angkatkan dia (rohku). Jika rohku Engkau tahan, maka Engkau ampunkanlahnya dan jika rohku Engkau lepaskan (kembalikan) , maka sudilah kiranya Engkau memeliharanya sebagaimana Engkau pelihara hamba-hamba Engkau yang soleh. (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud, an-Nasaei dan Ibnu Majah)

Kemudian Nabi saw juga mengajar kita supaya berdoa selepas bangun daripada tidur,

ألحمد لله الذى أحيانا بعد ما أماتنا وإليه النشور

Maksudnya : “ Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkanku sesudah Dia mematikanku , dan kepada-Nyalah jua kita akan dikembalikan. ( HR Bukhari)

Firman Allah SWT dihujung ayat ini,

“Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya)”.

Maksudnya, di hujung ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa soal mengenai roh, soal mengenai hidup dan dan soal mengenai mati adalah hak Allah SWT yang menjadi tanda kekuasaan-Nya buat mereka yang mahu berfikir dan mengambil iktibar.

Pengajaran ayat

Pengajaran daripada ayat ini ialah hidup dan mati kita adalah dibawah ketentuan Allah SWT. Justeru manusia perlulah bersedia untuk menerima kedatangan maut yang pada bila-bila masa.

Firman Allah SWT dalam surah Munafiqun ayat 10-11.

"Lalu mereka berkata: "Wahai Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku walaupun sejenak ? maka, dengan waktu yang singkat itu membolehkan Aku bersedekah dan Aku termasuk orang-orang yang saleh?". Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang, apabila telah datang waktu kematiannya (menjemput) dan Allah Maha mengenal apa yang kamu kerjakan". (Surah Munafiqun ayat 10-11)

Wallahualam.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu