Baran
S*al, Ba%b*, A&j*ng, B*ngs3t ”, dan entah bermaca-macam lagi perkataan maki hamun Dolah (bukan nama sebenar) kepada isterinya, Ramlah (juga bukan nama sebenar).
Dolah cukup marah. Bayangkan, dia baru sahaja pulang ke rumah dari menoreh, dalam keadaan lapar dia membuka tudung saji untuk menikmati juadah makan tengah hari. Sebaik sahaja membukanya, dia rasa hampa, satu makanan pun tidak ada. Mana hati tidak panas!
Dolah tengok isterinya di serambi rumah. Kelihatan isterinya sedang asyik menjahit. Pagi, petang, siang, malam sibuk menjahit.
"Hei Ramlah , mana nasi aku ?, Dah pukul berapa ni ? Kau tahu tak laki kau ni balik nak makan ? Aku lapar !" , bentak Dolah.
“Ma.. ma.. maafkan Ram bang, Ram...Ram terlalu sibuk menyiapkan baju Kak Timah. Dia suruh siapkan baju tu petang ni jugak, itu yang Ram terlewat memasak hari ini”, jawab Ramlah terketar-ketar.
Ramlah memang rajin membantu suami. Dia mengambil upah menjahit untuk menampung pendapatan suami yang tidak seberapa.
“Kau memang bini yang tak guna satu sen!, si*l”, marah Dolah, sambil menghempaskan pinggan mangkuk dan peralatan dapur, hancur berkecai.
Tidak cukup dengan itu, Dolah menghampiri Ramlah lalu direntapnya baju Kak Timah kemudian dikoyaknya di depan Ramlah.
Ramlah terperanjat melihat kelakuan suaminya. Menitis air matanya melihat baju Kak Timah digunting-gunting oleh Dolah. Penat-penat dia menjahit baju itu sejak dari Subuh tiba-tiba dikoyakkan sebegitu sahaja oleh lakinya.
Ramlah hilang sabar. Bagaikan ada satu kekuatan dalam dirinya, dia menempik,
“Hei..laki tak guna, awak patut bersyukur dapat bini macam aku ni tau”, suara Ramlah bagaikan halilintar.
"Aku menjahit siang malam ni pun untuk bantu awak. Nak harapkan pendapatan awak dari menoreh tu berapa sen sangat ?", sambungnya lagi bagaikan orang gila meroyan.
Inilah kali pertama Ramlah meninggikan suara di depan Dolah. Kali ni dia nekad, biarlah apa yang terjadi hari ini, kena pukul, kena terajang, kena sepak malah kena cerai pun dia sanggup.
Janji hari ini dia dapat meluahkan kebenciannya terhadap Dolah. Dia dah tak tahan, laki yang dicintainya 20 tahun yang lalu sudah menjadi orang yang paling dibenci dalam hidupnya. Mana boleh sabar, kalau hari-hari kena maki hamun dan sumpah seranah. Dia bukan binatang.
“Eh, berani kau jawab ?”, Dolah naik angin bila mendengar Ramlah menjawab. Bagaikan di rasuk hantu, Dolah mencapai parang yang tersisip di pinggangnya, lalu……
Ulasan
Kisah yang dipaparkan di atas adalah salah satu contoh sifat tercela seorang suami. Islam melarang umatnya daripada memaki hamun sesama manusia apatah lagi jika ia melibatkan, anak-anak dan mereka yang ada hubungan darah dengan kita.
Dalam sepotong hadis, Rasulullah saw bersabda,
عن سمرة بن جندب قال : قال رسول الله (ص) لا تلاعنوا بلعنة الله
ولا بغضبه ولا باالنار
Maksudnya : Daripada Samurah bin Jundub r.a katanya , telah bersabda Rasulullah saw: Janganlah kamu berlaknat dengan laknat Allah dan janganlah kamu kutuk mengutuk dan janganlah kamu neraka menerakai. (sesama kamu)
Satu lagi hadis Nabi saw,
عن ابن عمر قال : قال رسول الله (ص) لا يكون المؤمن لعانا
Maksudnya : Daripada Ibnu Umar r.a katanya , Rasulullah saw telah bersabda, Tiadalah seorang mukmin itu menjadi pelaknat.
Orang yang suka memaki hamun dan menyumpah ranah itu termasuk ciri-ciri orang yang fasik.
عن عبد الله بن مسعود قال : قال رسول الله (ص) سباب المسلم فسوق وقتاله كفر
Maksudnya : Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya, telah bersabda Rasulullah saw : Memaki orang Islam itu adalah fasik dan memeranginya adalah kufur.
Islam juga melarang memaki atau menceritakan keburukan orang yang sudah mati juga . Sebagai contoh mengatakan arwah si anu itu kuat mencuri, atau arwah sipulan itu kuat berjudi, kaki maksiat, penagih dadah dan sebagainya. Sabit dengan keterangan hadis yang dikeluarkan oleh Imam At-Tirmizi,
عن المغيرة بن شعبة يقول : قال رسول الله (ص) عليه وسلم
لا تسبوا الأموات فتؤذوا الأحياء
Maksudnya : Daripada Al-Mughirah bin Syu’bah bahawasanya telah Rasulullah saw : Janganlah kamu sekelian memaki orang yang sudah mati nescaya nanti kamu akan menyakiti orang yang hidup.
Selain itu Islam juga melarang kita melaknat angin sebagaimana dalil yang dikeluarkan oleh Imam At-Tirmizi,
عن ابن عباس أن رجلا لعن الريح عند النبى (ص) فقال : لا تلعن الريح , فانها مأمورة وانه من لعن شيئا ليس له بأهل رجعت اللعنة عليه
Maksudnya : Daripada Ibnu Abbas Bahawasanya seorang lelaki telah melaknat angin di sisi Nabi saw, maka Nabi saw bersabda : Janganlah kamu melaknat angin kerana ia di bawah perintah Allah. Dan sesunggunya siapa yang melaknat sesuatu yang tidak patut dilaknatnya, maka laknat itu kembali kepadanya.
Wallahualam.
Comments
Post a Comment