Golongan yang terputus














Tafsir Al-Quran
Surah Al-Kauthar : 1-3


Firman Allah SWT,

“Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). [1]Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). [2]Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya)”. [3]

Latar belakang ayat.

Surah Al-Kauthar ertinya ‘Nikmat yang Banyak’, merupakan surah yang ke 108, diturunkan di Mekah dan merupakan surah yang paling pendek dengan hanya mengandungi tiga ayat sahaja. Ayat ini turun kerana kaum musyrikin Mekah sentiasa memburuk-burukkan Rasulullah saw dengan mengatakan semua pengikut baginda terdiri dari kalangan orang yang lemah dan miskin, hanya bberapa kerat sahaja yang berharta.

Kalau betullah agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw itu benar tentulah ramai golongan bangsawan yang terdiri daripada pembesar kaum dan Raja yang memeluk Islam. Hakikatnya yang paling ramai memeluk Islam ialah golongan fakir miskin dan hamba sahaya.

Ini merupakan sunnah alam, kerana sesuatu yang benar biasanya akan mudah diikuti oleh golongan yang lemah, manakala sesuatu yang salah biasanya akan diikuti oleh orang-orang kaya dan bangsawan. Kalau kita lihat hari ini banyak ajaran sesat seperti Ayah Pin dan Kasim Ahmad berkembang di Malaysia kerana di belakang mereka adalah pengikut-pengikut dari kumpulan professional yang kaya raya.

Ayah Pin sebagai contoh, mampu membina kampung dan binaan-binaan di sekelilingnya dengan perbelanjaan berjuta-juta ringgit kerana di taja oleh orang-orang kaya. Begitu juga dengan kumpulan Anti Hadis yang dipimpin oleh Kasim Ahmad turut di dokong oleh ahli-ahli perniagaan dan sebagainya.

Namun bukan bermakna semua orang-orang kaya akan berada di pihak yang batil, kerana jika di lihat di zaman Rasulullah saw ada juga golongan yang berharta seperti Saidina Othman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf menjadi pengikut Rasulullah saw. Tetapi golongan ini tidak ramai jika dibandingkan dengan golongan fakir, miskin dan hamba sahaya.

Selain ejekan orang musyrikin Mekah, orang-orang munafik pula menganggap mereka yang kaya dan berdarjat jika memeluk Islam merupakan golongan yang bodoh. Inilah yang dimaksudkan oleh sebahagian mufassirin ketika mentafsirkan ayat 13 surah Al-Baqarah.

Apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang yang telah beriman." mereka menjawab: "Adakah patut kami beriman seperti orang-orang bodoh yang telah beriman ?”.

Mereka menganggap Sadina Othman, Abdul Rahman bin Auf dan sesiapa sahaja orang kaya yang memeluk Islam sebagai bodoh kerana sanggup merendahkan darjat setaraf dengan orang-orang miskin dan hamba sahaya di kalangan orang-orang Islam.

Lalu Allah SWT jawab,

...Ketahuilah sesungguhnya mereka itulah yang sebenarnya bodoh, tetapi mereka tidak sedar. ( 13)

Huraian ayat

Firman Allah SWT,

“Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat)”.

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan kepada Rasulullah saw bahawa Kami (Allah) telah memberikan kepada baginda nikmat dan kurniaan yang banyak merangkumi nikmat di dunia dan akhirat. Kalau mahu dikira segala nikmat yang diberi itu memang tidak terkira sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Surah An-Nahl ayat 1,

“ Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan kepada kamu tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu… (An-Nahl 018)

Abul Fadl Al-‘Arudhy mentafsirkan Al-Kauthar itu ialah zuriat keturunan Nabi Muhammad saw yang ramai dari pihak anak baginda iaitu Fatimah Az-Zahra. Sehingga sekarang sudah abad ke 14 hijrah, zuriat yang yang digelar SYED dan SYARIFAH ini masih ada bertebaran di atas muka bumi. Di kalangan mereka ada yang menjadi ulama dan tokoh-tokoh pembesar Negara. Sedangkan golongan Quraisy yang membenci baginda, mereka sudah terputus khabar berita akibat mati dalam peperangan Badar dan sebagainya.

Kata Ibnu Abbas, Al-Kauthar itu ialah kebaikan yang banyak yang diberi kepada Rasulullah saw. Antaranya ialah Al-Quran, pangkat kenabian dan pengikut-pengikut yang ramai. Ada juga pendapat yang mengatakan Al-Kauthar itu ialah agama Islam.

Selain itu terdapat ahli tafsir yang mengatakan Al-Kauthar di sini ialah sebatang sungai di syurga yang menjadi milik Rasulullah saw sebagaimana sebuah hadis daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud,

"Ketika aku sedang berjalan di syurga, tiba-tiba aku melihat sebuah sungai yang tepinya seperti kubah-kubah permata yang melengkung. Aku bertanya: 'Wahai Jibril!Apa ini?' Ia menjawab: Ini adalah Kauthar yang Allah anugerahkan kepadamu.'Ternyata tanahnya adalah kasturi Azfar." (Sahih Bukhari)

Ada juga pendapat mengatakan yang dimaksudkan dengan Al-Kauthar di sini ialah telaga milik Rasulullah saw yang berada di dalam syurga dan airnya mengalir sehingga ke Padang Mahsyar.

Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin 'Amr bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud,

"Telaga seluas perjalanan satu bulan.Airnya lebih putih daripada susu, baunya lebih harum daripada kasturi, cawan-cawannya sebanyak bintang di langit.Barangsiapa yang meminum daripadanya tidak akan merasa haus lagi selama-lamanya."

Di Padang Mahsyar, dalam keadaan haus yang membelenggu seluruh manusia, mereka berebut-rebut untuk mengambil air dari telaga ini. Rasulullah saw, dengan tongkat yang berada di tangan baginda akan memilih mana-mana orang yang diperkenankan untuk di beri minum dari telaga tersebut.

Imam Muslim sendiri telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa para sahabat pernah bertanya:

"Wahai Rasulullah, bagaimana tuan dapat mengenali umat tuan yang datang kemudian?" Baginda menjawab:"Tidakkah kalian dapat membezakan unta-unta yang berwarna putih di antara unta-unta yang berwarna hitam gelap?"Para sahabat menjawab:"Ya."Baginda bersabda lagi,"Sesungguhnya umatku akan datang pada hari Qiamat dengan keadaan kepala dan kaki mereka bercahaya akibat (basuhan) air wuduk. Dan aku telah menunggu (untuk menyambut) mereka di telagaku."

Firman Allah SWT lagi,

Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). [2]

Maksudnya dengan nikmat Allah SWT yang banyak itu, maka hendaklah bersyukur kepada-Nya dengan cara mendirikan solat dan melakukan korban. Daripada ayat ini dapat kita fahami bahawa ibadah solat itu sangat penting dan sebagai merupakan lambang kesyukuran kepada Allah SWT.

Justeru syarak meletakkan tanggungjawab yang cukup besar kepada ibu bapa bagi meastikan anak-anak mereka menunaikan solat. Sabda Rasulullah saw,

مرو أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين واضربوا هم عليها وهم أبناء عشر

Maksudnya : “ Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat apabila mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka apabila berumur sepuluh tahun”. (HR Abu Daud)

Selain mendirikan solat, Allah SWT memerintahkan kita supaya bersyukur kepadanya dengan melakukan ibadah korban.

Hukum melakukan ibadah korban ialah Sunat Mua’kaddah (sunat yang sangat dituntut). Dengan kata lain, makruh hukumnya bagi mereka yang berkemampuan tetapi tidak melakukannya berdasarkan sebuah hadis Rasulullah saw yang bermaksud,

“ Sesiapa yang ada kemudahan (harta) dan tidak melakukan korban, maka janganlah ia menghampiri tempat sembahyang kami”.

Ibadah korban merupakan amalan penebus dosa berdasarkan sabda Rasulullah saw kepada anakandanya Fatimah,

"Wahai Fatimah pergilah kamu ke tempat korbanmu dan saksikanlah ia sesungguhnya dengan titisan darah yang pertama itu akan diampunkan segala dosa-dosamu yang telah lalu". (Hadis riwayat al-Bazzaar dan Ibnu Hibban)

Ia juga menambah pahala orang yang melakukannya sebagaimana sabda Rasulullah saw,

"Orang yang berkorban itu akan dikurniakan bagi setiap helai bulu binatang korbannya dengan satu kebajikan". (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Firman Allah SWT pada akhir ayat,

Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya). [3]

Kata mufassirin : Tatkala putera Rasulullah saw yang bernama Al-Qasim meninggal dunia, Abu Lahab seorang pemuka Quraisy yang sangat kuat penentangannya terhadap Rasulullah saw berkata kepada sesama rakannya dengan ras gembira,

“ Sudah terputus keturunan Muhammad pada malam ini”.

Ada juga pendapat yang mengatakan ayat ini sebagai jawapan kepada seorang pemuka Quraisy yang bermulut celupar bernama Al-Ash bin Wail. Apabila mendengar putera Rasulullah saw meninggal dunia dia berkata kepada orang-orang Islam,

“Tinggalkan Muhammad itu, kerana dia seorang terputus (keturunan) kalau dia mati pun ajarannya akan terputus”

Justeru turunlah ayat ini dimana Allah SWT menyatakan bahawa orang-orang kafir itulah yang terputus, yakni terputus rahmat daripada Allah SWT. Sehingga mereka mati kekal dalam keadaan kafir . Di akhirat mereka dihumban ke dalam neraka. Agama menyembah berhala yang mereka anuti sudah pun sudah tiada lagi di kota Mekah yakni sudah pupus di telan zaman.

Biar pun musyrikin Mekah ini sudah tiada, namun nama mereka sentiasa busuk dan menjadi kutukan orang-orang beriman sehingga hari Qiamat seperti yang berlaku ke atas ke atas Abu Lahab, isteri dan kuncu-kuncunya.

Ada pun Rasulullah saw pula mempunyai pengikut-pengikut yang ramai, agama Islam yang dibawanya berkembang luas di muka bumi dan keturunan baginda pula sentiasa wujud di merata tempat. Nama baginda yang harum, sentiasa di sebut-sebut oleh makhluk di bumi dan di langit sehinggalah hari Qiamat.

Wallahulam.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu