Jauhi perkara Syubhah !
Gambar hiasan
Dalam sebuah hadis,
عن أبي عبد الله النعمان بن بشير رضى الله عنهما قال , سمعت رسول الله (ص) يقول : إن الحلال بين و إن الحرام بين , وبينهما أمور مشتبهات لا يعلمهن كثير من الناس. فمن التقى الشبهات فقد استبرأ لدينه وعرضه , ومن وقع فى الشبهات وقع فى الحرام , كالراعى يرعى حول الحمى يوشك أن يرتع فيه. ألا وإن لكل ملك حمى , الا وإن حمى محارمه ! الا وإن فى الجسد مضغة , إذا صلحت صلح الجسد كله , وإذا فسدت فسد الجسد كله , الا وهى القلب
Maksudnya : “ Daripada Abdullah bin An-Nukman bin Basyir r.a katanya "Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya yang halal itu telah nyata (jelas hukumnya) dan yang haram itu juga telah nyata (jelas hukumnya) dan di antara kedua-duanya (halal dan haram itu) terdapat perkara perkara syubhah (yang tidak jelas akan kehalalan dan keharamannya) yang tidak diketahui oleh ramai manusia, maka barangsiapa yang memelihara dirinya dari perkara-perkara yang syubhah itu samalah seperti orang yang telah melindungi agamanya dan kehormatannya, barangsiapa yang terjatuh ke dalam perkara-perkara yang syubhah maka sesungguhnya ia telah terjatuh ke dalam perkara-perkara yang haram, seumpama penggembala yang menggembala di sekitar padang rumput yang berpagar hampir-hampir binatang gembalaannya masuk dan memakan rumput-rampai yang berpagar ini.Maka ketahuilah sesungguhnya bagi setiap raja itu ada padanya kawasan larangan dan ketahuilah bahawa sesungguhnya kawasan larangan Allah adalah perkara-perkara yang telah diharamkanNya. Dan ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh itu terdapat satu ketul daging, jika ia baik maka baiklah keseluruhan tubuh dan sekiranya ia rosak maka rosak pulalah keseluruhan jasad, sesungguhnya ia adalah hati." (Diriwayatkan oleh AI-Bukhari dan Muslim)
Latar belakang perawi Hadis
Hadis ini telah diriwayatkan oleh Abu Abdullah An-Nukman bin Basyir r.a, iaitu seorang sahabat dari kaum Ansar dari puak Khazraj. Nama ayahnya ialah Basyir dan nama ibunya ialah ‘Amrah binti Rawahah dan kedua-duanya adalah sahabat Rasulullah saw. Abu Abdullah An-Nukman bin Basyir merupakan anak yang pertama lahir dari kaum Ansar setelah Nabi saw berhijrah ke Yathrib. Manakala anak yang pertama lahir dari kaum muhajirin di Madinah ialah Abdullah bin Zubair.
Huraian Hadis
Daripada Abdullah bin An-Nukman bin Basyir r.a katanya,
سمعت رسول الله (ص) يقول : إن الحلال بين و إن الحرام بين
"Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya yang halal itu telah nyata (jelas hukumnya) dan yang haram itu juga telah nyata (jelas hukumnya
Maksudnya yang halal itu sudah pun dijelaskan dengan terang dalam Al-Quran mahu pun hadis seperti halalnya makan, minum, berkahwin, berkata-kata, menunggang kenderaan dan sebagainya. Begitu juga yang haram juga telah jelas dinyatakan oleh al-Quran dan juga hadis seperti minum arak, berjudi dan berzina.
Justeru tidak ada jalan lagi bagi kaum muslimin untuk melakukan sesuatu dosa seperti minum arak, makan babi atau berzina dengan alsan tidak tahu hukum pengharamannya kerana semua perkara itu sudah dijelaskan dalam Al-Quran dan hadis. Dan jika betul dia tidak tahu maka ketidaktahuannya itu kerana factor kejahilannya, bukan kerana Al-Quran dan Hadis tidak menjelaskan hal tersebut. Dalam hal seperti ini dia mendapat dua dosa iaitu dosa pertama kerana melakukan kejahatan dan dosa kedua kerana jahil tidak mahu mendapatkan ilmu pengetahuan.
Ada juga yang sanggup memberi pelabagai alasan untuk menghalalkan sesuatu perbuatan haram yang dilakukannya. Seperti artis atau pelakon yang berlakon watak pondan atau berpegang tangan lelaki dan perempuan yang bukan mahram atas alasan untuk mewujudkan mood dalam watak yang dilakonkan dan menganggap perkara ini adalah halal sebagai mata pencarian hidup, maka kata-kata ini boleh membawa kepada kekufuran kerana menghalalkan sesuatu yang sudah jelas haramnya dalam Islam.
Begitu juga dengan badan-badan kebajikan yang dianungi oleh orang-orang Islam yang menganjurkan konsert amal dengan alasan untuk membantu anak yatim, atau membantu mangsa gempa bumi dan sebagainya, maka kesemuanya termasuk menghalalkan sesuatu yang sudah diharamkan dalam Islam. Perbuatan seperti ini boleh merosakkan akidah.
Sambung hadis ini lagi,
وبينهما أمور مشتبهات لا يعلمهن كثير من الناس
“…dan di antara kedua-duanya (halal dan haram itu) terdapat perkara perkara syubhah (yang tidak jelas akan kehalalan dan keharamannya) yang tidak diketahui oleh ramai manusia..,
Ertinya di antara yang halal dan haram itu ada perkara-perkara lain yang masih belum di putuskan sama ada halal atau haram dari sudut hukumnya. Ia di sebut sebagai perkara Syubhah. Kadang-kadang perkara ini menjadi pertelingkahan para ulama, ada yang yang menghalalkan dan ada juga yang mengharamkan. Sebagai orang yang bukan ahlinya dalam hukum hakam agama, eloklah perkara yang menjadi pertikaian ulama ini ditinggalkan kerana dikhuatiri akan menjerumuskan kita kepada yang haram. Sesuai dengan sebuah lagi hadis Rasulullah saw,
دع ما يريبك إلا ما لا يريبك
Maksudnya : Tinggalkanlah apa yang meraguimu kepada yang tidak meraguimu.
Ibnu Al-Mundzir telah membahagi-bahagikannya kepada tiga bahagian iaitu:
a. Sesuatu yang memangnya diketahui akan keharamannya oleh seseorang, kemudian dia ragu-ragu (syak) tentangnya; Adakah ia tetap kekal dengan kehalalan nya atau tidak? Seperti dua ekor kambing salah seekor dari kedua- dua ekor kambing itu telah disembelih oleh penyembah berhala lalu kita merasa ragu-ragu kambing yang mana satu telah disembelih oleh penyembah berhala tersebut. Jawapannya tidak halal baginya memakan salah satu daripada kedua ekor kambing ini melainkan jika dia benar-benar yakin akan kehalalan salah seekor daripadanya.
b. Sesuatu perkara itu halal tetapi ragu -ragu (syak) akan keharamannya: Seumpama seseorang yang telah berwudhuk kemudian ragu-ragu sama ada ia masih berwuduk atau telah terbatal wuduknya. Dalam hal ini jika dia yakin bahawa dia sudah berwuduk atau wuduknya masih belum batal, maka hukum ke atasnya ialah dia sudah berwuduk dan wuduknya masih belum terbatal. Sebaliknya jika dia yakin bahwa dia belum berwuduk atau wuduknya sudah terbatal maka hukum ke atasnya dia belum berwuduk dan wuduknya sudah batal.
c. Dan sesuatu yang sama-sama diragui akan keharaman atau kehalalannya (50-50), maka yang lebih utama hendaklah meninggalkan perkara yang diragui itu. Sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap sebiji tamar yang terjatuh dari pokoknya.
"Sesungguhnya aku telah pulang menemui isteriku lalu aku mendapati sebiji tamar di atas tempat tidurku , kemudian aku mengambilnya untuk memakannya, namun aku takut seandainya ia dari sedekah lantas aku mencampaknya."
Sabda Rasulullah saw lagi,
. فمن التقى الشبهات فقد استبرأ لدينه وعرضه
“..maka barangsiapa yang memelihara dirinya dari perkara-perkara yang syubhah itu samalah seperti orang yang telah melindungi agamanya dan kehormatannya…”,
Sebagai contoh, seseorang yang mengunjungi pusat hiburan , sedangkan dia tidak terlintas di hatinya untuk berhibur kerana hanya mahu melihat sahaja suasana tempat hiburan tersebut. Dalam hal ini kedatangannya ke pusat hiburan situ boleh mengundang fitnah. Jika dia di tangkap oleh penguatkuasa agama, dia juga akan dituduh kerana berhibur di pusat hiburan tersebut. Apatah lagi jika di siarkan dalam akhbar, sudah tentulah memalukan nama baik agama Islam.
Justeru itulah Rasulullah saw melarang kita mendekati tempat-tempat seperti itu walaupun bertujuan baik demi untuk melindungi maruah agama dan juga maruah diri. Sesuai dengan sabda Rasulullah saw dalam sebuah hadis,
إتقوا مواضع التهم
Maksudnya : Jauhkanlah diri dari tempat-tempat yang menimbulkan tohmah (dari orang ramai).
Sambung Rasulullah saw lagi,
ومن وقع فى الشبهات وقع فى الحرام , كالراعى يرعى حول الحمى يوشك أن يرتع فيه. ألا وإن لكل ملك حمى
“…barangsiapa yang terjatuh ke dalam perkara-perkara yang syubhah maka sesungguhnya ia telah terjatuh ke dalam perkara-perkara yang haram, seumpama penggembala yang menggembala di sekitar padang rumput yang berpagar hampir-hampir binatang gembalaannya masuk dan memakan rumput-rampai yang berpagar ini..”
Maksudnya orang yang selalu berada dalam hal-hal yang syubhah tidak mustahil akan jatuh ke dalam perkara yang haram. Sebagai contoh seseorang yang mengunjungi pusat pelacuran walaupun niatnya bukan untuk melanggan pelacur, hanya untuk melihat suasana pusat perlacuran tersebut, tidak mustahil jika dia juga tergoda dengan perempuan-perempuan tersebut dan akhirnya melakukan perbuatan yang memusnahkan maruah dirinya.
Demikian juga seorang anak kecil yang bermain di tepi sungai, tidak mustahil suatu hari kelak anak kecil ini akan jatuh ke dalam sungai dan mati lemas.
Sabda Rasulullah saw lagi,
ألا وإن لكل ملك حمى , الا وإن حمى محارمه !
“..Maka ketahuilah sesungguhnya bagi setiap raja itu ada padanya kawasan larangan dan ketahuilah bahawa sesungguhnya kawasan larangan Allah adalah perkara-perkara yang telah diharamkanNya..”
Rasulullah saw membuat perumpamaan seperti raja-raja Arab memelihara binatang-binatang gembalaannya di satu padang rumput yang dijadikan sebagai suatu kawasan larangan dan mengeluarkan amaran kepada rakyat agar jangan menghampiri padang rumput tersebut. Hukuman akan dikenakan bagi mereka yang engkar.
Bagi rakyat yang takutkan hukuman raja, mereka akan menjauhkan binatang ternakan mereka dari kawasan padang rumput kepunyaan raja. Sebaliknya bagi mereka
yang tidak takut terhadap larangan raja, akan mengambil ringan amaran tersebut tersebut dan tetap mengembalai binatang-binatang peliharaan mereka di sempadan kawasan larangan itu. Namun, tanpa waktu yang lama dan tanpa disedarinya atau tanpa pilihannya ia tetap akan termasuk ke dalam kawasan larangan itu, lalu ia dihukum akan kelalaiannya itu.
Samalah seperti hal yang berkaitan dengan larangan Allah SWT seperti merampas harta orang, mencuri, merompak, membunuh diri, berzina, minum arak mengumpat, menfitnah dan segala yang bergelar maksiat itu adalah haram hukmunya di sisi allah SWT. Maka larangan ini wajib di patuhi oleh sekalian manusia.
Sambung Rasulullah saw lagi,
الا وإن فى الجسد مضغة , إذا صلحت صلح الجسد كله , وإذا فسدت فسد الجسد كله , الا وهى القلب
“..Dan ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh itu terdapat satu ketul daging, jika ia baik maka baiklah keseluruhan tubuh dan sekiranya ia rosak maka rosak pulalah keseluruhan jasad, sesungguhnya ia adalah hati..”
Hadis ini menjelaskan peranan hati dalam menentukan kebaikan sesuatu jasad. Hati manusia ditempa dari makanan yang dimakan setiap hari. Manakala makanan itu pula adalah benih segala perbuatan. . Kalau kita makan makanan yang haram dalam keadaan kita sedar ianya haram maka kita akan berdosa di samping hati kita turut gelap.
Tetapi kalau makanan yang haram dan syubahat itu kita makan, tanpa diketahui ianya haram dan syubahat maka kita tidak dikira berdosa tetapi hati kita yang terbina dari makanan itu tetap akan gelap. Atas dasar inilah Sayidina Abu Bakar Al Siddiq mengorek balik hingga muntah-muntah makanan yang telah ditelannya setelah dia tahu yang makanan itu sumbernya adalah syubahat. Amirul Mukminin itu cukup takut kalau-kalau makanan itu akan membutakan hatinya.
Setelah mengorek makanan itu kerana bimbang kalau-kalau ada saki-baki makanan yang tinggal dalam perutnya, maka beliau pun berdoa: “Ya Allah, jangan Engkau bertindak atasku akan apa yang telah jadi darah dagingku.
Imam Al-Ghazali pon ada menyebut : "Jika kita ingin anak menjadi soleh ataupun solehah,bijaksana dan berguna,berikanlah ia makanan daripada rezeki yang halal sejak lahir .”
Wallahualam.
Comments
Post a Comment