Demi langit yang mempunyai gugusan bintang
Tafsir Al-Quran
Surah Al-Buruj ayat 1-11
“Demi langit yang mempunyai gugusan bintang; dan hari (pembalasan) yang dijanjikan;Dan yang menyaksikan dan yang disaksikan; -Celakalah kaum yang menggali parit, (Parit) api yang penuh dengan bahan bakaran,(Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya, Sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman.Dan mereka tidak marah dan menyeksa orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Berkuasa, lagi Maha Terpuji!Tuhan yang menguasai segala langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu.Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat). Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar”. (Al-Buruj 001-011)
Huraian ayat
Dalam ayat pertama Allah SWT bersumpah dengan nama langit yang mempunyai gugusan bintang atau juga disebut sebagai Buruj. Tujuannya untuk menunjukkan kepada manusia betapa ajaibnya makhluk dingakasa itu ditadbir dengan teratur tanpa berselisih perjalanannya walau sedikit pun.
Pada ayat yang kedua pula Allah SWT bersumpah dengan nama hari Qiamat yang dijanjikan kepada makhluk-Nya. Kaitannnya dengan ayat pertama, Allah SWT mahu mengingatkan manusia betapa cantik dan indahnya bintang-bintang itu dilangit, namun satu hari nanti, iaiatu pada hari yang dijanjikan (Hari Qiamat) bintang-bintang itu akan berlanggar antara satu sama lain lalu gugur ke bumi.
Pada ayat yang ketiga Allah SWT bersumpah dengan nama Nabi Muhammad saw iaitu Syahid (Yang Menyaksikan). Hendaklah kita ketahui bahawa nama Rasulullah saw itu banyak dalam Al-Quran seperti Al-Muzzammil - Yang Berselimut , Al-Muddaththir - Yang Berselimut, Al-Nazirul Mubin - Yang Memberi Ingatan yang jelas dan Muzakkir - Yang Selalu Memberi Ingatan.
Pada ayat yang sama juga Allah SWT bersumpah dengan yang disaksikan iaitu umat Nabi Muhammad saw. Dalam sebuah hadis menceritakan di akhirat kelak semua Nabi-Nabi akan menjadi saksi ke atas apa yang telah dilakukan semasa di dunia. Manakala umat mereka turut menjadi saksi akan kebenaran kata-kata Nabi mereka. Sebagai contoh sebagaimana yang berlaku ke atas Nabi Nuh a.s,
عن أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُدْعَى نُوحٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيَقُولُ لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ يَا رَبِّ فَيَقُولُ هَلْ بَلَّغْتَ فَيَقُولُ نَعَمْ فَيُقَالُ لِأُمَّتِهِ هَلْ بَلَّغَكُمْ فَيَقُولُونَ مَا أَتَانَا مِنْ نَذِيرٍ فَيَقُولُ مَنْ يَشْهَدُ لَكَ فَيَقُولُ مُحَمَّدٌ وَأُمَّتُهُ فَتَشْهَدُونَ أَنَّهُ قَدْ بَلَّغَ{ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا }فَذَلِكَ قَوْلُهُ جَلَّ ذِكْرُهُ{ وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ
الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا }
Maksudnya : Rasulullah s.a.w bersabda : Nabi Nuh a.s akan dipanggil pada hari kiamat lalu baginda berkata Labbaik dan Sa’daik wahai tuhan. Lalu dikatakan kepada Nabi Nuh a.s “adakah kau telah menyampaikan?” Nabi Nuh a.s berkata “ya”. Lalu ditanya kepada umatnya,”adakah dia telah menyampaikan kepada kamu?”. Mereka berkata :”Tidak ada peringatan yang datang kepada kami”. Lalu Allah s.w.t bertanya kepada Nabi Nuh a.s : “siapa saksimu?”. Nabi Nuh a.s berkata : “ Muhamad dan umatnya”. Lalu umat Nabi Muhammad s.a.w menjadi saksi bahawa Nabi Nuh a.s telah menyampaikan.“Dan Rasul(Muhammad) menjadi saksi atas ( perbuatan) kamu” 2:143Itulah yang dimaksudkan oleh Allah SWT di dalam Quran “Dan demikian (pula) kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul menjadi saksi atas (perbuatan) kamu”. 2:143
Setelah Allah SWT mengemukakan tiga sumpah iaitu sumpah pada kejadian langit dan bintang, sumpah pada berlakunya hari Qiamat dan sumpah pada nama Nabi Muhammad saw dan umatnya maka pada ayat keempat sehinggat ayat kesembilan Allah SWT menceritakan pula kisah Ashabul Ukhdud yang terlaknat.
Siapakah Ashabul Ukhdud ?
Dalam satu riwayat : Di zaman dahulu kala ada seorang Raja yang sangat zalim. Raja ini mempunyai seorang penasihat iaitu tukang sihir yang sudah lanjut usia. Satu hari tukang sihir ini mencadangkan kepada raja agar dicari seorang pengganti yang boleh menggantikan tempatnya sebagai Penasihat jika dia sudah tiada. Justeru dia mencadangkan kepada raja agar pengganti itu biarlah seorang kanak-kanak yang boleh diasuh dan diajar segala ilmu yang berkaitan sihir kepadanya.
Permintaan tukang sihir ini diperkenankan oleh Raja, lalu dipilih seorang kanak-kanak untuk berguru dengan tukang sihir ini. Maka berulang aliklah kanak-kanak itu setiap hari ke rumah tukang sihir untuk belajar sihir daripadanya. Manakala antara rumah tukang sihir dengan rumah kanak-kanak itu ada sebuah rumah ahli ibadah yang taat kepada perintah Allah SWT.
Setiap hari dalam perjalanan ke rumah tukang sihir, kanak-kanak ini akan singgah terlebih dahulu di rumah ahli ibadah untuk belajar ilmu daripadanya. Kerana terlalu asyik belajar dari ahli ibadah ini sehinggakan kanak-kanak ini selalu lewat tiba ke rumah tukang sihir. Kelewatan itu menyebabkan dia di marah dan dipukul oleh tukang sihir. Begitu juga kalau dia balik, ibubapanya akan turut marah kerana dia sering lewat sampai ke rumah.
Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak itu melaporkan kepada ahli ibadah. Kata Ahli ibadah,
“ Wahai anakku.., jika engkau ditanya oleh tukang sihir kenapa lambat, maka jawablah yang engkau lewat keluar dari rumah kerana ada pekerjaan yang perlu dilakukan. Dan Kalau engkau ditanya oleh ibubapamu mengapa lewat pulang, maka jawablah yang engkau telah ditahan oleh tukang sihir di rumahnya”.
Pada satu hari, terhambatlah orang ramai menggunakan jalan yang selalu digunakan oleh kanak-kanak ini ke rumah tukang sihir kerana ada binatang buas yang mengganggu keselamatan. Ketika itu kanak-kanak ini berkata di dalam hatinya,
“Aku hendak uji ilmu yang aku perolehi dari ahli ibadah dan tukang sihir. Antara dua ilmu ini, ilmu siapakan yang benar ?”.
Lalu diambilnya seketul batu sambil berdoa,
“Ya Allah, kalaulah ajaran ahli ibadah ini yang benar, maka Engkau bunuhlah binatang itu, agar manusia tidak lagi terhalang untuk menggunakan jalan ini”. Kemudian kanak-kanak itu melontar batu kearah binatang itu lalu binatang itu pun mati.
Kemudian kanak-kanak ini pergi berjumpa dengan ahli ibadah menceritakan apa yang telah berlaku. Kata ahli ibadah,
“Wahai anakku, engkau telah mencapai darjat yang tinggi, lebih tinggi daripada apa yang kucapai. Aku hendak mengingatkan engkau, selepas ini engkau akan berdepan dengan pelbagai ujian. Jika ujian itu datang kepadamu maka janganlah engkau beritahu hubungan aku dengan engkau ”
Sejak kanak-kanak itu berjaya membunuh binatang buas, maka namanya menjadi masyhur dan menjadi buah mulut orang ramai. Maka ramailah yang datang ke rumahnya untuk berubat. Alhamdulillah semua yang datang dapat disembuhkan penyakitnya setelah kanak-kanak ini berdoa kepada Allah SWT.
Dalam masa yang sama ada seorang pegawai istana yang sudah lama mengidap penyakit buta. Bila dia tahu yang kanak-kanak ini boleh mengubat, lalu dia pun berjumpa kanak-kanak ini dan berkata,
“Wahai kanak-kanak sembuhkanlah penyakitku, nescaya aku akan beri engkau sebesar-besar hadiah”.
Kanak-kanak ini menjawab,
“ Wahai tuan, sesungguhnya aku tidak berkuasa menyembuhkan penyakit melainkan Allah SWT sahaja. Jika tuan sudi, berimanlah kepada Allah SWT, nescaya aku akan berdoa kepada Tuhan agar Dia menyembuhkan penyakit tuan”.
Mendengar ajakan kanak-kanak ini maka pegawai istana ini pun beriman kepada Allah SWT. Berkat doa kanak-kanak ini pegawai istana ini pun sembuh dari penyakit butanya.
Setelah sembuh, Raja merasa hairan apabila melihat pegawai istana ini sudah boleh melihat. Raja pun bertanya,
“Siapakah yang telah menyembuhkan penyakitmu ?”.
“Allah, Tuhanku dan Tuhan Tuanku”.
Raja sangat murka lalu pegawai istana ini ditahan dan diseksa di dalam penjara. Oleh kerana tidak ditahan diseksa akhirnya pegawai istana ini mendedahkan siapakah gurunnya iaitu seorang kanak-kanak yang pernah dihantar oleh Raja untuk belajar ilmu sihir.
Kanak-kanak itu pun ditangkap lalu dibawa mengadap Raja. Dia pun turut diseksa. Oleh kerana tidak tahan, akhirnya kanak-kanak itu membocorkan rahsia yang selama ini dia belajar dengan seorang ahli ibadah.
Kemudian ahli ibadah ini ditangkap dan diseksa oleh Raja. Disuruh oleh Raja agar ahli ibadah ini meninggalkan agama menyembah Allah SWT. Ahli ibadah ini enggan, menyebabkan kepalanya dipenggal.
Kemudian Raja menyuruh pula pegawai istananya menyembah Raja sebagai Tuhan. Disebabkan enggan, maka kepalanya juga turut dipenggal oleh Raja.
Manakala nasib kanak-kanak ini, Raja telah mengarahkan pengawal-pengawalnya mencampakkan kanak-kanak itu dari gunung. Ketika kanak-kanak itu di bawa ke atas gunung, dia berdoa kepada Tuhan agar dia diselamatkan. Tiba-tiba gunung itu bergegar menyebabkan kesemua pengawal itu mati terjatuh gunung.
Kanak-kanak ini kemudian kembali semula kepada Raja. Melihat kanak-kanak ini masih hidup Raja pun bertanya,
“Bagaimana nasib pengawal-pengawalku?”.
Jawab kanak-kanak ini,
“Mereka semua sudah terkorban”.
Raja murka, lalu mengarahkan pengawal-pengawalnya menangkap kanak-kanak ini untuk dihumban ke dalam laut. Ketika di bawa ketengah laut, kanak-kanak ini berdoa memohon pemelihraan Allah SWT. Tiba-tiba datanglah angin ribut menyebabkan kapala yang membawanya pecah dan semua pengawal yang mengitringinya mati lemas. Sedangkan kanak-kanak ini selamat terdampar di pantai.
Kanak-kanak ini kemudian menemui kembali Raja. Sekali lagi Raja merasa hairan dan berkata,
“Bagaimana nasib pengawal-pengawalku?”
Jawab kanak-kanak,
“Mereka semuanya sudah mati lemas Tuanku”. Kemudian sambung kanak-kanak ini lagi,
“Tuanku, Tuanku sama sekali tidak boleh membunu patik melainkan Tuanku buatlah apa patik suruh”.
“Apa dia?”, tanya Raja.
Kanak-kanak ini memberitahu supaya Raja mengumpulkan semua manusia di satu tempat kemudian naikkannya dikayu pancang, kemudian ambil panah dan sebutlah Bismillahi Rabbil Ghulam dan panahlah tepat ke dadanya.
Raja pun akur dengan kehendak kanak-kanak ini. Setelah dikumpulkan semua rakyatnya dan kanak-kanak itu sudah pun diikat di atas kayu pancang dan Raja pun mengambil anak panah lalu mengucapkan Bismillahi rabil Ghulam kemudian terus memanah tepat dada kanak-kanak tersebut. Dengan panahan itu maka matilah akhirnya kanak-kanak itu.
Apabila melihat kanak-kanak itu mati dengan panah yang dibacakan Bismillahi Rabbil Ghulam, maka semua rakyat yang menyaksikan peristiwa it uterus mengucapkan kalimah Amanna bi Rabbil Ghulam.
Apabila mendengar arang ramai mengucapkan kalimah itu, maka Raja pun sangat murka lalu diperintahkan askar-askarnya supayamenangkap mana-mana rakyatnya yang eriman kepada Allah SWT. Baginda turut memerintahkan supaya di gali parit yang besar dan dalam. Di dalam parit itu dinyalakan api. Dan Raja pun berkata kepada orang ramai yang ditangkap,
“Siapa yang beriman kepada Allah sila masuk ke dalam parit ini”.
Maka berbondong-bondonglah rakyatnya yang beriman masuk ke dalam parit itu kerana beriman kepada Allah SWT. Sehinggalah tiba giliran seorang ibu yang masih menyusukan bayi kecil. Ibu ini teragak-agak untuk terjun ke dalam parit. Dengan kebesaran Allah SWT bayi yang kecil ini pun berkata,
“Wahai ibu Teguhkanlah hati ibu kerana ibu berada di pihak yang benar”.
Akhirnya ibu ini bersama dengan anaknya turut terkorban syahid apabila terjun dalam parit yang berapi itu. Sedangkan Raja dan askar-askarnya hanya memerhatikan tanpa sedikit pun rasa bersalah. Justeru itulah Allah SWT melaknat mereka.
Firman Allah SWT pada ayat ke 10,
“Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat)”
Ayat ini menujukkan betapa Pengampunnya Allah SWT, masih memberi peluang kepada mana-mana hamba-Nya untuk bertaubat. Sesudah orang-orang kafir ini membunuh orang-orang yang beriman dengan cara membakar mereka di dalam parit besar, Allah SWT masih membuka peluang kepada orang-prang kafir ini beriman dan bertaubat kepada-Nya. Tetapi jika mereka masih tidak mahu bertaubat Allah SWT tetap akan membalas kejahatan yang dilakukan iaitu menyiksa mereka di dalam neraka Jahannam.
Dan pada ayat 11 Allah SWT berfirman,
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar”.
Maksudnya balasan orang yang beriman dan tetap melakukan amal soleh mereka akan menerima syurga yang mengalir di bawahnya air sungai yang sejuk dan nyaman. Itulah balasan bagi orang yang mencapai kemenangan yang besar.
Wallahualam.
Comments
Post a Comment