Iktibar dari bumi Iraq, Tunisia dan Mesir

Tulisan ini hanyalah pandangan peribadi saya. Ia sama sekali tidak dipengaruhi oleh mana-mana individu atau sentimen parti politik.

Saya menulis dengan jujur dan datangnya dari hati yang ikhlas.

Saudara pembaca sekalian,

Pada tahun 2003 tentera Amerika melanggar Iraq. Tidak sampai dua minggu, akhirnya kota Babylon ini berjaya ditakluk oleh kuasa besar dunia di bawah pimpinan George Bush ketika itu.

Manakala rejim Saddam Hussein yang memerintah negara melebihi 30 tahun akhirnya tumbang menyembah bumi.

Tidak berapa lama selepas itu Saddam Hussein yang digelar sebagai ‘Hero Arab’ telah ditangkap, dibicarakan sehinggalah membawa kepada hukuman mati ke atasnya pada tahun 2006.

Demikianlah nasib yang menimpa arwah Saddam Hussein.

Kenapa Tuhan tidak memakbulkan doa umat Islam ?

Ketika serangan besar-besaran dilakukan oleh tentera Amerika, umat Islam di Iraq berdoa kepada Allah SWT agar tentera mereka berjaya mengalahkan kuasa mustakbirin ini.

Mengiringi doa rakyat Iraq ialah doa dari jutaan umat Islam di seluruh dunia melalui solat Hajat yang didirikan di masjid-masjid. Umat Islam memohon supaya Allah SWT menghancurkan tentera-tentera kafir yang diketuai oleh si durjana George Bush.

Di Mekah, Imam Besar Masjidil Haram turut berdoa di depan Kaabah (tempat yang paling mustajab berdoa) menangis dan merayu-rayu supaya Tuhan mengalahkan tentera Amerika.

Para makmum di belakangnya pula menangis sebak mengaminkan doa Imam Sudais yang terkenal dengan suaranya yang merdu dan sayu.

Tetapi…

Sejarah menyaksikan, biar pun umat Islam dari seluruh dunia berdoa siang dan malam, tetapi Allah SWT tetap tidak memakbulkan doa tersebut.

Sebaliknya tentera kafir Amerika pula mencapai kemenangan gilang gemilang !

Kenapa doa umat Islam tidak dimakbulkan Tuhan?

Bukankah doa itu merupakan senjata yang ampuh untuk melawan musuh ?

Mustahil dalam jutaan umat Islam yang berdoa itu, tidak ada seorang pun di kalangan hamba-hamba–Nya yang bertaraf 'Waliullah' dimana doanya cukup makbul di sisi Tuhan ?

Sebab kekalahan

Para pembaca sekalian,

Jangan diberi alasan senjata yang ‘old fashion’ menjadi penyebab utama tentera Iraq kalah. Jika itu alasannya bagaimana pula di zaman Rasulullah saw apabila para sahabat yang tidak mempunyai senjata, meruncingkan pelepah tamar untuk dijadikan pedang buat melawan tentera Quraisy dalam perang Badar.

Hakikatnya tentera Islam tetap menang walaupun senjata dan kuantiti tenteranya tidak sehebat seperti mana tentera Quraisy.

Bukti lain, lihat sahaja tentera Mujahidin Afghanistaan apabila berjaya menghalau tentera Soviet Union dari negara mereka suatu ketika dahulu.

Adakah senjata yang digunakan oleh tentera Mujahidin ini sungguh hebat sehingga memaksa tentera komunis berundur dangan perasaan aib ?

Justeru kekuatan senjata bukan faktor utama yang menentukan kemenangan dalam sesuatu pertempuran. Ia hanyalah sebagai faktor sampingan.

Kembali kepada persoalan, dimanakah puncanya doa umat Islam tidak dimakbulkan Tuhan ?

Punca sebenar terletak kepada pemimpin negara Iraq yang bernama Saddam Hussein.

Dia seorang pemimpin yang zalim.

Lebih 30 tahun dia memerintah negaranya, adakah dia sudah mendaulatkan hukum-hukum Allah SWT dalam negaranya ?

Saddam Hussein sama seperti sebahagian pemimpin-pemimpin negara Islam yang lain, sungguh selesa mengambil hukum dan undang-undang ciptaan manusia menggantikan undang-undang Allah SWT .

Sedangkan Allah SWT mengistiharkan mereka yang tidak berhukum dengan undang-undang-Nya sebagai golongan yang zalim.

Firman Allah SWT,

“Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” (Al-Maidah 45 )

Mustahil Saddam Hussein tidak tahu dan faham ayat di atas. Bukankah dia lahir di kalangan bangsa Arab dan Al-Quran juga diturunkan dalam bahasa Arab ?

Membina patung

Di waktu pemerintahannya, Saddam Hussein turut membina patung-patung besar beliau di seluruh negara seolah-olah mengajak rakyatnya mendewa-dewakannya sebagai pemimpin yang agung.

Pembinaan patung-patung besar ini satu perbuatan syirik kepada Allah SWT.

Al-Quran menjelaskan,

“Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang sangat besar” (Luqman 13)

Jika kita katakan Presiden George Bush ketika itu zalim kerana membunuh rakyat Iraq yang tidak berdosa, tatapi Saddam Hussein juga sungguh besar kezalimannya apabila cuba membunuh akidah rakyatnya.

Ketika Saidina Omar bin al-Khattab menjadi khalifah, beliau memecat Khalid Al-Walid sebagai panglima perang kerana bimbang akidah tenteranya tergelincir akibat terlalu memuja Khalid al-Walid sebagai panglima yang sering membawa tuah dalam setiap peperangan.

Di zaman Rasulullah saw, sewaktu baginda berjaya membuka kota Mekah, arahan pertama yang baginda berikan kepada para sahabat ialah memecahkan patung-patung yang berada di sekitar Mekah khususnya di depan Kaabah.

Zaman sekarang terbalik, setelah tentera Amerika berjaya menguasai negara Iraq, perkara pertama yang mereka lakukan ialah memecahkan patung-patung Saddam Hussein.

Bezanya di zaman Rasulullah saw orang kafir yang membuat patung dan tentera Islam memecah-mecahkannya, di zaman sekarang orang islam yang membuat patung manakala orang kafir pula memecah-mecahkannya.

Sebab itu Allah SWT tidak memberi kemenangan kepada tentera Islam di Iraq kerana Dia tidak meredhai pemimpin negara tersebut yang terang-terang melakukan syirik kepada-Nya.

Di Tunisia

Sepatutnya apa yang berlaku ke atas Iraq perlu dijadikan iktibar oleh Presiden Tunisia dan pemerintah-pemerintah negara Islam yang lain.


Dengan gambar Presiden di sana sini seolah-olah mengajak rakyat memujanya

Tetapi berdasarkan gaya pemerintahan presiden Tunisia Zine El Abidine Ben Ali yang kuku besi, ditambah dengan kezaliman tidak mendaulatkan hukum-hukum Allah SWT, malah mengajak pula rakyat memuja dirinya sebagai pemimpin yang hebat seolah-olah 'TIADA PRESIDEN YANG LAYAK MEMERINTAH MELAINKAN DIA SAHAJA', akhirnya sang Presiden ini di hina Allah SWT apabila lari ‘mencicit’ meninggalkan negaranya sendiri.

Di Mesir

Para pembaca sekalian,

Saya percaya umat Islam di seluruh dunia sedang memerhatikan perkembangan di Mesir dengan penuh minat.

Pada saya, di saat ini Presiden Hosni Mubarak sedang dirundung ketakutan. Barangkali dia sudah pun bersiap sedia dengan Jet peribadinya untuk melarikan diri apabila keadaan sudah tidak terkawal.

Tidak mustahil juga pegawai-pegawainya sedang sibuk menghubungi beberapa buah negara sekutu untuk mendapatkan suaka politik bagi diri dan keluarganya.


Hosni Mubarak sepatutnya berundur

Ala kulli hal, jadikanlah iktibar apa yang berlaku ke atas Negara-negara Arab tersebut. Jangan sekali-kali kita bersekongkol dengan mana-mana golongan yang zalim dan mensyirikkan Allah SWT.

Firman-Nya,

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan" (Hud 113)

Wallahualam.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu