Pancaindera beri pedoman manusia renung kebesaran Pencipta
MANUSIA makhluk menakjubkan yang Allah letakkan kepada mereka banyak rahsia kekuasaan Ilahiyah dan tempat melahirkan inayah ketuhanan-Nya. Mereka dipilih Allah sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi seperti firman-Nya:
"Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Al-An'am ayat 165)
Kalau dikaji ayat al-Quran, terdapat banyak perintah Allah menyuruh manusia mengkaji diri mereka sendiri. Pada diri manusia itu terdapat tanda kebesaran, rahsia dan kekuasaan Allah yang perlu direnungi sebagai pedoman dan iktibar. Hanya mereka yang berakal memahami hakikat ini.
Firman Allah bermaksud:
“Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?” (az-Zariyat ayat 21)
Firman Allah SWT lagi bermaksud:
“(Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan dari apa ia diciptakan.” (at-Tariq Ayat 5)
Sesungguhnya Allah mencipta setiap anggota manusia dengan sempurna, cantik dan tersusun. Cuba perhatikan anggota yang wujud di kepala manusia seperti lidah, telinga dan mulut. Lidah yang dicipta sentiasa digunakan manusia untuk bertutur di samping berperanan sebagai deria rasa untuk menikmati makan dan minuman.
Di kanan dan kiri kepala manusia pula, Allah mencipta sepasang telinga untuk mendengar. Di kepala itu juga terdapat sepasang mata untuk melihat.
Tiga pancaindera yang terletak di kepala ini sangat penting dalam kehidupan manusia. Ia membantu manusia menguruskan kehidupan harian mereka. Jika ditanya kepada manusia, adakah mereka mahu dibisukan lidah, dibutakan mata atau dipekakkan telinga, tentu sekali mereka akan mengatakan tidak kerana tanpa ketiga-tiga pancaindera ini kehidupan mereka amat sukar.
Persoalannya siapakah yang mencipta dan menganugerahkan pancaindera yang hebat ini secara percuma kepada manusia? Jika rosak, adakah pancaindera yang sangat berharga ini boleh dibeli atau ditempah sebagai gantinya? Seterusnya adakah wujud cerdik pandai di dunia ini yang boleh mencipta pancaindera itu yang sama dan setanding seperti asal?
Persoalan seperti ini tidak mampu dijawab oleh manusia melainkan ia perlu kembali kepada yang menciptanya. Siapakah yang mampu mencipta pancaindera yang sebegitu hebat? Tidak lain Dialah Tuhan yang bersifat Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih kepada seluruh makhluk-Nya.
Contoh lain, jika seseorang manusia yang mahu tidur, namun matanya tidak mahu lelap sedangkan sudah puas dia berusaha untuk memejamkan matanya, adakah dia yang mahu supaya matanya tidak lelap? Atau ada kuasa lain yang menahan matanya supaya lelap? Jika ya, adakah manusia boleh melawan kuasa itu? Sudah tentu jawapannya tidak.
Ini menunjukkan betapa lemahnya manusia. Jika matanya sendiri tidak berupaya untuk dilelapkan apatah lagi jika mahu dibanding dengan kekuasaan Penciptanya. Demikianlah beberapa contoh yang terdapat pada diri manusia yang perlu direnungi, moga-moga dengan cara itu manusia akan mengenali siapa dirinya, siapa Tuhannya dan ke mana akhirnya perjalanan hidup mereka.
( sumber : Mohd Hishamuddin Mansor, Berita Harian, 17 Mac 2011, Kuala Lumpur )
Comments
Post a Comment