Kisah 'Manna' dan 'Salwa'
Tafsir al-Quran
Surah al-Baqarah : 57-61
“Dan Kami telah menaungi
kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada
kamu “Mann” dan “Salwa”, (serta Kami berfirman): “Makanlah dari makanan-makanan
yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”. Dan tidaklah mereka
menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka
adalah menganiaya diri sendiri.(57)Dan (kenangkanlah) ketika
Kami berfirman: “Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian makanlah dari benda-benda
yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai. Dan
masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah
ampun dengan) berkata: ‘ Ya Allah ampunilah dosa kami ‘; supaya kami ampunkan
kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang yang
berbuat baik”.(58)Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka)
itu mengubah perkataan (perintah kami) yang dikatakan kepada mereka dengan
melakukan sebaliknya; maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu
bala bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik
(menderhaka).(59)Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya
diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: “Pukullah batu itu dengan
tongkatmu”, (ia pun memukulnya), lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata
air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui
tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami berfirman): “Makanlah dan minumlah
kamu dari rezeki Allah itu, serta janganlah kamu bertebaran di muka bumi ini
dengan melakukan kerosakan”.(60) Dan
(kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu)
dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami,
supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari
sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang
dalnya), serta bawang merahnya”. Nabi Musa menjawab: “Adakah kamu mahu menukar
sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke
bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu”. Dan mereka
ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat
kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur
(mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang
membuktikan kebesaranNya); dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada
alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan
mereka pula sentiasa menceroboh”.(61)
Huraian ayat
Firman
Allah SWT pada ayat 57,
“Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di
padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”, (serta Kami
berfirman): “Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan
kepada kamu”.
Setelah Nabi Musa a.s berjaya membawa keluar Bani Israil
dari Mesir menuju ke Palestin, rombongan ini tersesat di sebuah padang pasir ‘at-Tih’
yang terletak di kawasan semenanjung Sinai. Ada juga pendapat lokasi padang
pasir ini terletak di Urdun Jordan. Mereka berada di padang pasir ini selama
empat puluh tahun.
Dalam tempoh itu mereka mengalami pelbagai penderitaan dan
kepanasan yang amat sangat. Justeru Allah SWT telah melindungi mereka dengan
awan supaya mereka dapat berteduh dari dari panas dan juga dikurniakan makanan
yang berupa Manna dan Salwa.
Menurut lbnul Mundzir dan Ibnu Abi
Hatim dari Ibnu Abbas, beliau berkata bahawa Manna adalah suatu makanan manis,
berwarna putih yang mereka dapati setiap pagi melekat pada batu-batu dan
daun-daun kayu. Rasanya manis dan enak; semanis madu, sehingga ada penafsir
yang memberi erti Manna ialah madu. Jika dimakan, mereka akan merasa kenyang.
Adapun Salwa pula ialah nama sejenis burung sebesar burung puyuh berwarna putih yang terbang
berbondong-bondong dan mudah ditangkap. Ia adalah sumber rezeki buat mereka
sebagai pengals perut yang mengenyangkan.
Firman Allah SWT di hujung ayat ini,
“ Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan
nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri”.(57)
Dengan segala nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada Bani
Israil, maka sepatutnya mereka bersyukur kepada-Nya. Sebaliknya jika mereka
tidak bersyukur, maka merekalah yang sebenarnya menganiayai diri mereka
sendiri, sedangkan Allah SWT sedikit pun
tidak akan dianiayai dengan sebab kekufuran mereka.
Firman Allah SWT,
“Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman: “Masuklah kamu ke bandar
ini, kemudian makanlah dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan
sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya
dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: ‘ Ya Allah
ampunilah dosa kami ‘; supaya kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami
akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik”.(58)
Setelah empat puluh tahun mereka di padang pasir ‘at-Tih, rombongan
Bani Israil yang dipimpin oleh Nabi Musa ini kemudian berjaya masuk ke negeri
Palestin yang subur dengan hasil makanan dan rezeki. Allah SWT memerintahkan
supaya mereka masuk dengan tunduk sambil
mengucapkan ‘Hittoh’ yang bererti meminta ampun daripada Allah SWT. Jika perintah
ini mereka lakukan, nescaya Allah SWT akan memberi mereka kebaikan dalam bentuk
pahala
Firman Allah SWT pada ayat 59,
“Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah
perkataan (perintah kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan
sebaliknya; maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala bencana
dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka)”.(59)
Dalam ayat ini Allah SWT menyatakan betapa kaum Bani
Israil ini tidak tahu bersyukur kepada-Nya kerana mereka tidak patuh kepada
perintah Tuhan. Mereka masuk ke Palestin dengan sombong manakala perkataan
‘Hittoh’ pula mereka ganti kepada ‘Hintoh’ yang bererti minta gandum dari Allah
SWT. Di sebabkan kedegilan mereka itu, Allah SWT turunkan kepada mereka azab
dari langit yang berupa penyakit taun yang membawa kematian beribu-ribu nyawa
dari kaum Bani Israil.
Kesemua kisah ini Allah SWT ceritakan kepada Rasulullah
SAW dan umat Islam untuk menunjukkan betapa degil dank eras kepalanya bangsa
Yahudi untuk mematuhi perintah Allah SWT.
Firman Allah SWT pada ayat 60,
“ Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk
kaumnya, maka Kami berfirman: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu”, (ia pun
memukulnya), lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya
tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya
masing-masing. (Dan Kami berfirman): “Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki
Allah itu, serta janganlah kamu bertebaran di muka bumi ini dengan melakukan
kerosakan”.(60)
Allah SWT menjelaskan sewaktu kaum Bani Israil merentas
padang pasir menuju ke Palestin, mereka merasa dahaga yang amat sangat. Mereka
mula berputus asa dan merungut-rungut kepada Nabi Musa mengapa mereka di bawa
ke tempat yang tandus tiada air sedangkan kalau di Mesir dahulu walaupun
diseksa oleh Firaun tetapi tidaklah sampai mereka haus dahagakan air.
Seolah-olah kehidupan yang di bawa oleh Nabi Musa a.s lebih sengsara daripada
apa yang mereka alami semasa di Mesir. Di sinilah Allah SWT mahu menunjukkan
kepada Rasullullah dan umat Islam betapa lemahnya semangat juang kaum Bani
Israil.
Melihat kaumnya yang berputus asa seperti itu, Nabi Musa
a.s berdoa kepada Tuhan agar mereka dikurniakan air. Lalu Allah SWT
memerintahkan baginda supaya memukul tongkatnya di atas batu. Dengan izin Allah
terpancarlah dua belas mata air yang mencukupi untuk mereka minum dan
menghilangkan dahaga.
Dengan nikmat makan dan minum ini Allah SWT mengingatkan
kaum Bani Israil supaya tidak melakukan kerosakan di atas muka bumi ini.
Firman Allah SWT pada ayat pangkal ayat 61,
“Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa, kami tidak
sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada
Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang
tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya,
dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya”.
Ayat ini menjelaskan betapa tidak bersyukurnya kaum Bani
Israil, setelah diberi makanan berupa Manna dan Salwa serta diberi minuman yang
menghilangkan dahaga, namun mareka tetap merungut dengan mengatakan mereka
sudah jemu dengan makanan-makanan yang Tuhan kurniakan kepada mereka. Mereka
meminta supaya Nabi Musa memohon kepada Tuhan agar dikurniakan pula makanan
yang berupa sayur-sayuran, mentimun, bawang putih, kacang dal serta bawang
merah.
Mendengar permintaan mereka, maka Nabi Musa a.s pun
menjawab :
“ Nabi Musa menjawab: “Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang
baik dengan meninggalkan yang lebih baik? ?
Ini merupakan templakan Nabi Musa ke atas kaum Bani
Israil, adakah patut mereka yang telah dikurniakan makanan yang baik berupa
madu dan daging burung mahu pula diganti
dengan makanan yang rendah mutu dan kualitinya seperti sayur-sayuran, timun,
bawang dan sebagainya?
Kata Nabi Musa lagi,
“ Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang
kamu minta itu”....
Ertinya kalau kaum Bani Israil mahu juga makanan-makanan seperti itu
hendaklah mereka balik semula ke Mesir dan kembali menjadi kaum yang terhina.
Firman Allah SWT sehingga ke hujung ayat ini,
“Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah
sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah
disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan
mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaranNya); dan mereka pula membunuh
Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah
disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh”.(61)
Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan kepada Rasulullah SAW
sebab-sebab mengapa kaum Bani Israil itu menjadi hina serta papa dari sudut
akhlak dan moralnya. Tidak lain kerana mereka mengingkari perintah-perintah
Tuhan yang terkandung dalam kitab Taurat, Injil dan al-Quran. Mereka turut
membunuh para anbiak seperti Nabi Zakaria, Yahya dan lain-lain sehingga ada
riwayat menyatakan jumlah keseluruhan para Nabi yang menjadi mangsa pembunuhan
mereka ialah seramai 70 orang.
Selain itu mereka sering menceroboh hukum-hukum Allah SWT
dengan cara meminda ayat-ayat dan firman Tuhan mengikut selera dan kehendak
nafsu mereka.
Wallahualam.
Comments
Post a Comment