Beriman dengan Kitab


            Al-Quran ialah kitab suci terakhir mengandungi pertunjuk dan pengajaran yang sedikit pun tidak terdapat  keraguan apatah lagi kesalahan.

            Firman Allah SWT,

            “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa”. (Al-Baqarah 002)

            Membaca Al-Quran serta bertadabbur dengannya menjadikan hati yang keras bertukar lembut. Ramai tokoh-tokoh manusia yang pada awalnya menolak Islam akhirnya beriman kepada Allah SWT setelah mendengar, membaca dan mengkaji Al-Quran. Jika di zaman Rasulullah SAW antara mereka ialah Saidina Omar bin Al-Khattab maka di zaman moden pula ialah  Malcolm X, Mike Tyson dan ramai lagi.

             Allah SWT menurunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad saw melalui perantaraan Jibril a.s dengan dua peringkat. Peringkat pertama diturunkan al-Quran itu sekaligus dari Lauh al-Mahfuz (langit ketujuh)  ke Baitul Izzah (di langit dunia)  pada malam Lailatul Qadar iaitu malam yang penuh barakah di dalam bulan Ramadhan. Peringkat kedua ialah dari Baitul Izzah, al-Quran di bawa oleh Jibril a.s kepada Nabi Muhammad SAW  secara beransur-ansur selama 23 tahun.

              Oleh kerana Allah SWT yang menurunkan Al-Quran, maka Dia jugalah  yang berhak menjaga dan memelihara kesucian kitab ini daripada dicemari oleh pengubahsuaian manusia. Hal ini sangat jelas sebagaimana yang difirmankan  oleh Allah SWT, 

              “ Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”. (Al-Hijr 009)

            Buktinya, sehingga kini tidak ada seorang manusia  yang sanggup mencipta satu ayat yang setanding dengan al-Quran. Sedangkan ketika ia  diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, masyarakat arab jahiliah cukup mahir bersajak dan  bersyair.  Dalam keadaan memiliki kemahiran yang tinggi itu pun mereka tidak sanggup membuat satu ayat yang setanding dan setara dengan al-Quran.

             Al-Quran ialah kitab mukjizat. Kemukjizatannya boleh dilihat sehingga ke akhir zaman.  Di dalamnya terkandung pelbagai rahsia yang tersembunyi dan hikmah yang tinggi yang boleh dikaji, diselidiki dan diterokai oleh umat manusia sehingga  hari Qiamat.

             Al-Quran menceritakan perihal ghaib yang tidak mampu dijangkau oleh pemikiran manusia. Kisah syurga yang penuh dengan segala nikmat  menjadi pedorong untuk manusia melakukan ketaatan dan beramal soleh. Manakala kisah neraka yang di dalamnya penuh dengan azab dan sengsara dijelaskan supaya manusia takut melakukan kemungkaran dan kemaksiatan.   

             Al-Quran menjelaskan janji-janji Allah SWT yang Maha Benar. Sebagai contoh, di waktu permulaaan Islam, Allah SWT telah memberitahu Rasulullah SAW bahawa kaum muslimin akan memiliki kekuasaan di atas muka bumi.

            Firman-Nya,

             “ Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman di kalangan kamu semua dan yang mengerjakan kebaikan bahawasanya mereka akan dikurniakan kedudukan sebagai khalifah di bumi, sebagaimana yang telah diberikan kepada orang-orang yang sebelum mereka dan akan diteguhkan agama yang telah diredhai oleh Allah untuk mereka itu dan pula akan mengganti keadaan mereka sesudah ketakutan menjadi aman sentosa…”. ( Surah An-Nur : 55)

              Apabila turun ayat ini kaum musyrikin mengejek-ngejek Rasulullah SAW dan para sahabat kerana mana mungkin mereka boleh berkuasa sedangkan ketika itu umat Islam berada dalam keadaan lemah dan dhaif, ditindas, diseksa malah jauh sekali berperanan kuat di kota suci Mekah.

             Tetapi Allah SWT yang menguasai semesta alam pasti memenuhi apa yang dijanjikan-Nya. Setelah umat Islam berhijrah ke Madinah, Rasulullah SAW telah mendapat kekuasan dan kedudukan sebagai peneraju pemerintahan yang sah di bumi Allah SWT ini. Para sahabat pula berperanan penting dalam mendaulatkan negara Islam yang pertama di Madinah. Beberapa tahun selepas itu umat Islam terus ke mercu kejayaan apabila berjaya membuka kota Mekah sekaligus meranapkan kekuasaan kafir Quraisy. Jelas segala yang dijanjikan Allah SWT itu benar-benar berlaku.

             Walaupun bukan kitab sains, al-Quran turut mengandungi maklumat saintifik. al-Quran membicarakan cap jari manusia yang berbeza di antara satu sama lain. Hikmahnya ialah sebagai tanda pengenalan sekaligus memudahkan urusan kehidupan.

             Firman Allah SWT,

             “Adakah manusia mengira bahawa kami tidak akan mengumpulkan kembali tulang belulang mereka. Bukan demikian, kami mampu menyusun jari jemari mereka dengan sempurna”. (Surah Al-Qiyamah : 3-4)

            Berdasarkan hakikat ini, al-Quran adalah benar-benar wahyu daripada Allah SWT. Jika manusia masih terus berdegil dengan apa yang diturunkan ke atas Nabi akhir zaman ini dan berkeras tidak mahu beriman dengan apa yang terkandung di dalamnya, maka tiada apa yang mereka boleh lakukan untuk menyelamatkan diri di akhirat melainkan hendaklah bersiap sedia dengan azab neraka yang mengerikan.    

              Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir”. (Surah Al-Baqarah : 23-24)

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu