Islam Menjawab 20 Hujah Mubaligh Kristian
Orang-orang Islam percaya bahawa orang Kristian adalah
kafir berdalilkan surah al-Maidah ayat
72-73,
“ Demi sesungguhnya! Telah
kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni
Maryam". Padahal Al-Masih sendiri berkata:" Wahai Bani Israil!
Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan
Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya
Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun
bagi orang-orang yang berlaku zalim". (72)
Demi
sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan". Padahal tiada
Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka
tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang
kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.
(73)
Namun dalam surah al-Baqarah ayat 62
pula Allah SWT menjelaskan orang-orang Islam, Yahudi, Nasrani (Kristian) dan
Shabe’in mereka tetap berpeluang masuk ke syurga asalkan mereka jujur dan
ikhlas dalam melaksanakan ajaran agama masing-masing.
Firman Allah SWT,
“Sesungguhnya orang-orang yang
beriman dan orang-orang Yahudi, dan orang orang Nasrani, dan orang-orang
Shabe’in, sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan beriman kepada
kepada Hari akhirat serta beramal salih, maka bagi mereka pahala balasannya di
sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang
tidak baik) kepada mereka dan mereka pula tidak akan berduka cita”.
Di hujung ayat ini Tuhan menyatakan semua penganut agama-agama tadi janganlah bimbang dan berdukacita kerana mereka tetap diberi peluang untuk memasuki syurga oleh Allah SWT.
Jawapan :
Bagi menjawab hujah ini, hendaklah kita memahami bahawa surah al-Baqarah ayat 62 dan surah al-Maidah ayat 72-73 dimulai dengan menyebut orang-orang yang beriman iaitu umat Islam dari dahulu sehingga sekarang.
Syarat untuk ke
syurga hendaklah beriman sepenuhnya
kepada Allah, hari Akhirat dan juga
melakukan amal soleh.
Inilah yang difirmankan Allah dalam surah al-Baqarah
ayat 25,
“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang
beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di
bawahnya beberapa sungai…..” (al-Baqarah ayat 25)
Justeru, berdasarkan ayat di atas dan banyak lagi ayat-ayat Al-Quran menunjukkan keimanan seseorang itu perlu dibuktikan dengan melakukan amal soleh sebagai syarat untuk kesyurga.
Kemudian disebut golongan kedua, iaitu kaum Yahudi yang merujuk kepada kaum Yahudi di zaman Nabi Musa a.s. Di kalangan mereka ada yang beriman kepada Allah SWT dan Hari Akhirat serta melakukan amal soleh. Golongan ketiga ialah kaum Nasara, yakni umat Nabi Isa a.s, yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta melakukan amal soleh.
Manakala golongan keempat ialah kaum Shabe’in iaitu satu kaum yang pada awalnya menyembah patung berhala. Apabila sampai seruan Nabi Isa a.s kumpulan ini terbahagi kepada dua. Kumpulan pertama membenarkan ajaran Nabi Isa a.s beriman kepada Allah, dan Hari Akhirat serta melakukan amal soleh sedangkan kumpulan kedua terus kekal dengan agama menyembah patung berhala.
Inilah kumpulan-kumpulan yang dimaksudkan oleh Allah SWT, mereka diberi pahala atas amal soleh yang mereka lakukan di dunia. Di akhirat nanti mereka tidak akan berduka cita mahu pun bersedih berbanding dengan kumpulan yang tidak mahu beriman kepada Allah, kepada hari Akhirat dan enggan melakukan amal soleh.
Jika benarlah agama Kristian hari ini betul, tidak perlulah Nabi saw mengajak penganut-penganut agama Kristian dari bumi Najran untuk bermubahalah.
Kisah mubahalah bermula apabila orang-orang Kristian Najran meragui penerangan Nabi saw yang mengatakan bahawa Nabi Isa a.s itu adalah manusia biasa. Sebaliknya mereka berpendapat, Nabi Isa adalah anak Allah yang bersatu di dalam diri Allah. Bagi menjawab persoalan yang ditimbulkan, Rasulullah saw membaca sepotong ayat al-Quran,
“Sesungguhnya perbandingan (kejadian)
Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah
menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya ; "Jadilah
engkau!", maka jadilah ia (seorang manusia)”.(ali-‘Imraan : ayat 59)
Orang-orang Kristian tetap berdegil dan menolak hujah Nabi saw. Maka turunlah ayat yang menyuruh Nabi saw bermubahalah dengan mereka,
“Maka sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad)
mengenainya (kisah Nabi Isa) sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar,
maka katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru (memanggil) anak-anak
kami serta anak-anak kamu dan wanita-wanita kami serta wanita-wanita kamu dan
diri-diri kami serta diri-diri kamu kemudian kita bermubahalah (memohon
kepada Allah dengan bersungguh-sungguh) dan kita meminta supaya laknat Allah
ditimpakan ke atas orang-orang yang berdusta”.( ali-‘Imraan : ayat 61)
Kesimpulannya, hanya agama Islam
sahaja yang diredhai dan diterima oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam
surah ali-‘Imraan ayat 13,
“Sesungguhnya agama yg diredhai di
sisi Allah SWT hanyalah Islam”
Juga
dalam surah yang sama ayat 85,
“Dan
sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya
dan di hari akhirat dia dari kalangan orang-orang yang rugi”. (85)
Keterangan lanjut sila dapatkan buku ini di pasaran dengan harga RM10.00 senaskhah.
Comments
Post a Comment