Wednesday, July 28, 2010

Enam atau lapan masa ?


Petikan dari manuskrip buku bertajuk “ Jika misionari Kristian bertanya anda…”

Kalau dilihat dalam beberapa ayat Al-Quran, Allah SWT menjelaskan bahawa Dia telah mencipta langit dan bumi selama enam masa. Hal ini boleh dilihat dalam surah Al-‘Araf ayat 54,

“Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia bersemayam di atas 'Arsy. Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti), dan (Dia pula yang menciptakan) matahari, dan bulan dan bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekelian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekelian alam” (54)


Cantiknya

Dalam surah Yunus ayat 3,

“ Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, Kemudian Dia bersemayam di atas 'Arsy, mentadbirkan segala urusan. Tidak ada siapa yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya. (Yang bersifat demikian) itulah Allah, Tuhan (yang memelihara dan mentadbirkan keadaan) kamu ; maka tunduklah dan taatlah kamu kepada perintahNya; patutkah kamu setelah mengetahui kenyataan yang tersebut tidak mahu mengingatiNya? ”(3)

Dalam surah Al-Furqan ayat 59,

“ Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy, Dialah Ar-Rahman, (Tuhan Yang Maha Pemurah); maka bertanyalah akan hal itu kepada Yang Mengetahuinya” (59)


Keagungan Allah

Dalam surah As-Sajdah ayat 4,

“Allah yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa kemudian Dia bersemayam di atas Arasy ; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pember syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredhaanNya) ?”(4)

Tetapi yang menjadi musykil, apabila merujuk surah Fussilat ayat 9-12, Tuhan menyebut secara terperinci tentang penciptaan langit dan bumi dan jumlah masa keseluruhan adalah lapan masa. Perhatikan ayat tersebut,


Subhanallah

“Katakanlah (wahai Muhammad) : Sesungguhnya tidak patut kamu kufur kepada Tuhan yang menciptakan bumi dalam dua masa dan kamu jadikan bagiNya sekutu-sekutu yang lain, Dia itulah Tuhan semesta alam (9) Dan Dia menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya (tersergam tinggi) di atasnya, serta Dia melimpahkan berkat padanya dan Dia menentukan ada padaNya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka ; (semuanya itu berlaku ) dalam empat masa (10) Kemudian Dia menujukan kehendakNya kea rah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi : Turutlah kamu berdua akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa ! Keduanya menjawab : Kami berdua sedia menurut patuh dengan sukarela (11) Lalu Dia menjadikannya tujuh langit , dalam dua masa ; dan Dia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing. Dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang –bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa,lagi Maha Mengetahui “(12).



Menakjubkan

Sekiranya di jumlahkan penciptaan bumi dalam dua masa, penciptaan gunung dan mencita bahan keperluan hidup di atas muka bumi dalam empat masa kemudian menjadikan tujuh langit dalam dua masa. Jumlah keseluruhan ialah lapan masa. Bukankah ia menunjukkan berlakunya kontradiks antara ayat-ayat Al-Quran ?

Jawapan

Sesungguhnya tidak ada kontradiks dalam ayat-ayat yang di sebutkan di atas. Apabila Allah SWT menjelaskan bahawa Dia mencipta langit dan bumi enam masa, fakta ini akan kekal sampai hari Qiamat. Mengenai surah surah Fussilat ayat 9-12, kita perlu fahami ayat ini betul-betul.


Hebat

Dalam ayat ke 9 Allah SWT menjelaskan bahawa Dia telah mencipta langit dan bumi dalam dua masa. Kemudian pada ayat ke 10, Allah SWT menjelaskan bahawa Dia telah menjadikan gunung-gunung dan makanan-makanan dalam empat masa. Kalau difahami ayat ini betul-betul, Allah SWT mahu memberitahu bahawa Dia selesai mencipta bumi dalam dua masa, kemudia diteruskan mencipta gunung-gunung dan makanan-makanan di atas muka bumi sampailah kepada empat masa. Maknanya jumlah masa Allah SWT mencipta bumi, segala isi-isinya termasuk gunung-gunung dan makanan-makanan ialah tetap empat masa.

Yang menyebabkan kekeliruan missionary Kristian di sini ialah apabila mereka menjumlahkan dua masa penciptaan bumi dan empat masa penciptaan gunung-gunung makanan menjadikan kesuruhannya ialah enam masa. Sesungguhnya kiraan seperti itu tidak tepat atau salah.


Masya Allah

Sama seperti jarak perjalanan antara Seremban ke Alor Star ialah enam jam. Manakala jarak masa antara Seremban ke Ipoh ialah dua jam. Jumlah keseluruhan jarak masa antara Seremban ke Alor Star ialah tetap enam jam, tidak boleh dicampurkan dengan jarak masa antara Seremban dengan Ipoh kerana Ipoh sudah termasuk antara Seremban ke Alor Star.

Kemudian dalam ayat ke 12 Allah SWT menjelaskan bahawa Dia mecipta tujuh langit selama dua masa. Maka jumlah keseluruhan Allah SWT mencipta langit dan bumi ialah enam masa. Kesimpulannya tidak ada pertentangan dalam ayat-ayat Al-Quran berhubung jumlah masa Allah SWT mencipta langit dan bumi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.