Sunday, July 4, 2010

Sebuah cerpen… Menanti Azan Subuh.


Tik tok, tik tok, tik tok …jam loceng Pak Hashim berdetik dan terus berdetik.

Sudah pukul tiga pagi rupanya.

Malam ini Pak Hashim tidak dapat melelapkan mata. Dia terkenangkan dua orang anaknya iaitu Hasan yang sedang menjalani rawatan di Pusat Serenti Dadah Tampin, manakala anak bongsunya pula Halim seorang usahawan yang tinggal di Kuala Lumpur.

Isteri Pak Hashim sudah lama meninggal dunia, lima tahun yang lalu.

Kini Pak Hashim tinggal keseorangan di Kg Pilin Rembau Negeri Sembilan.

“Esok aku mahu melawat Halim. Semenjak dia berhijrah ke Kuala Lumpur dua tahun lepas dia tidak pernah mengirim berita . Ah ! mungkin dia sedang sibuk dengan urusan bisnesnya”, senyum Pak Hashim cuba memujuk hatinya yang kecewa.

Keesokkan harinya

Selepas bersarapan pagi, berangkatlah Pak Hashim ke Kuala Lumpur untuk menemui anak bongsu kesayangannya yang dirindui selama ini.

Sampai di perhentian Pudu Raya, dengan berbekalkan alamat yang diberi Pak Hashim menyewa sebuah teksi lalu menuju ke Taman Tun Dr. Ismail untuk mencari rumah anaknya.

Ketika melalui kawasan perumahan ini Pak Hashim merasa kagum apabila melihat deretan rumah banglow yang dihuni oleh orang-orang kaya.

“Aku tak sangka Halim, engkau sudah berjaya dan mampu tinggal di kawasan elit ini”, bisik hati Pak Hashim bangga.

Teksi dinaikinya kemudian berhenti di sebuah rumah yang tersergam indah.

“Pakcik, dah sampai”, kata si pemandu teksi, memecah lamunan Pak Hashim.

Setelah membayar tambang , Pak Hashim turun lalu membunyikan loceng di pagar rumah.

“Ting Tong”.

Kelihatan seorang lelaki India datang menghampirinya lalu bertanya,

“Mahu jumpa siapa encik ?”

“Saya mahu jumpa anak saya, namanya Halim ", jawab Pak Hashim.

“Sila masuk. Nanti saya panggilkan boss saya”, jawab lelaki India ini. Rupa-rupanya dia adalah tukang kebun di rumah anaknya.

Pak Hashim masuk ke perkarangan rumah. Dilihatnya dua buah kereta mewah, Toyota Camry 2.4 cc dan MPV Toyota Alphard sedang ‘berehat’ di garej kereta.

“Bertuahnya aku dapat anak macam Halim ini. Dia sudah jadi tokey besar rupa-rupanya, bolehlah aku menumpang senang ,” kata hati Pak Hashim.

Selang beberapa minit kemudian pintu rumah pun di buka.

“Halim !”, terpacul perkataan itu dari mulut Pak Hashim. Betapa gembiranya setelah menatap wajah anak bongsu kesayangannya.

Pak Hashim cuba merapatkan dirinya pada Halim untuk memeluk anak yang dirinduinya itu.

Tiba-tiba…,

“Hei orang tua !, engkau ini siapa tiba-tiba datang ke rumah aku ?”, bentak Halim marah.

“Eh Halim, ini ayah engkau sayang. Tidak kah engkau ingat dua tahun lalu ayah menjual kebun getah semata-mata mahu memberi modal kepada engkau berniaga di Kuala Lumpur ”, kata Pak Hashim.

“Ayah aku sudah lama meninggal”, kata Halim.

Kemudian muncul seorang perempuan Inggeris yang sedang mabuk sambil memaut bahu Halim.

“Whats wrong Halim ”, tanya gadis Inggeris ini sambil mencium pipi Halim.

“Nothing wrong Amy, this old man try to claim that he is my father”, terang Halim kepada kekasihnya itu.

“Get lost !”, Halim menyepak Pak Hashim sehingga tersungkur di tepi longkang.

Lelaki India yang melihat peristiwa itu hanya menggeleng-geleng kepala. Manakala gadis Inggeris hanya tersenyum sinis sambil meneguk segelas wiski.

Dengan lemah longlai Pak Hashim meninggalkan rumah anak bongsu kesayangannya itu.

"Apalah nasib ku ini...", sayu hati Pak Hashim apabila melangkah keluar.

Di sebuah Masjid.

Malam itu Pak Hashim menumpang tidur di sebuah Masjid di pinggir kota. Esok selepas Subuh, dia bercadang untuk pulang semula ke kampungnya.

Oleh kerana terlalu jauh berjalan, Pak Hashim tidur dengan nyenyaknya.

“Pakcik-pakcik bangun”.

Kedengaran suara seorang lelaki mengejutkannya dari tidur.

Dengan terkesat-kesat Pak Hashim membuka matanya.

Subhanallah ! Allah SWT Maha Berkuasa. Pagi ini dia dipertemukan dengan anak pertamanya Hasan.

“Ayah!”, perkataan pertama keluar dari mulut Hasan apabila menyedari lelaki tua yang dikejutkannya tadi ialah ayahnya sendiri.

“Hasan”, menitis air mata Pak Hashim sambil memeluk erat anaknya itu.

“Allahu Akbar, Allahu Akbar”, kedengaran bilal Masjid melaungkan azan menandakan masuknya waktu Subuh.

Kedua beranak ini kemudian mendirikan solat Subuh berjemaah.

Setelah selesai solat, Hasan mempelawa ayahnya menaiki kereta Wira kepunyaanya.

“Macam mana engkau boleh jadi macam ini Hasan ? ”, tanya Pak Hashim.

“Panjang ceritanya ayah”, jawab Hasan.

Sambil memandu kereta menuju kerumahnya di Taman Keramat Hasan memulakan cerita. Katanya dia sudah lama keluar dari Pusat Serenti Dadah tiga tahun lepas. Selepas keluar, dia berazam tidak akan pulang ke kampung selagi tidak berjaya dalam kehidupan.

Dengan berbekalkan semangat yang jitu, dia memulakan kehidupannya di Kuala Lumpur dengan bekerja sebagai pelayan Restoren kepunyaan sepasang suami isteri yang warak, Haji Karim dan Hajah Aminah.

Pada sebelah malam selepas bekerja, dia sering datang ke rumah Haji Karim untuk belajar mengaji Al-Quran.

Pasangan suami iteri ini mempunyai seorang anak gadis yang bernama Ain Sofea. Bekerja sebagai Guru Agama KAFA.



Tidak mahu mendatangkan fitnah kerana sering berkunjung ke rumah mereka, akhirnya Haji Karim dan Hajah Aminah membuat keputusan menjodohkan anak gadisnya dengan Hasan.

Manakala Restoren kepunyaan mereka diserahkan kepada Hasan untuk diusahakan.

Haji Karim dan isteri sekarang sedang menetap di Mekah, menghabiskan sisa hidupnya untuk beribadah di sana. Demikianlah cerita Hasan.

Kereta Wira bewarna hitam kemudiannya berhenti di sebuah rumah teres dua tingkat.

Kelihatan seorang perempuan muda sedang mendukung anak kecil membuka pintu sambil tersenyum manis.

“Itulah isteri saya ayah... Ain Sofea. Anak yang di dukung itu ialah cucu ayah, namanya Azimuddin”, kata Hassan.

Pak Hashim tersenyum gembira. Lain yang dicari, lain yang ditemui.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.