Friday, July 16, 2010

Bertandang ke Labu


Menjelang waktu Maghrib

Sebenarnya ada dua isi yang hendak saya sampaikan di Masjid Qaryah Gadong Jaya, Labu pada malam ini. Namun oleh kerana masa terbatas, saya cuma sempat menyentuh mengenai solat sahaja.

1. Orang yang tidak solat

Rasulullah saw melihat satu golongan yang menghempap-hempapkan kepala mereka dengan batu yang besar. Setiap kali mereka menghempapkan kepala mereka dengan batu sehingga pecah , kepala mereka akan bercantum kembali seperti sediakala dan mereka akan mengulangi perbuatan itu dengan tidak henti-henti . Maka Baginda pun bertanya kepada Jibril, "Siapakah gerangan ini wahai Jibril?'. Malaikat Jibril menjawab :

"Merekalah golongan yang berat kepalanya untuk mengerjakan sembahyang Fardu".

Betapa hinanya orang yang meninggalkan solat seperti yag dikisahkan di zaman Nabi Musa a.s. Di zaman ini, ada seorang sepasang suami isteri yang sudah lama berumahtangga , namun tidak mempunyai zuriat, lalu terdetik di dalam hati suami untuk bernazar.

"Kalau aku dapat anak, aku akan minum air kencing anjing hitam."

Dengan izin Allah SWT, isteri lelaki tadi pun hamil dan melahirkan seorang anak. Bila sudah mendapat anak, laki ni pun runsing bagaimaa dia mahu menunaikan nazarnya iaitu meminum air kencing anjing, lalu dia mengadu kepada Nabi Musa a.s.

Nabi Musa a.s menjawab bahawa lelaki itu tidak perlu minum air kencing anjing hitam, tapi minumlah air yang lebih hina dari air kencing anjing hitam dengan menadah air yang jatuh dari bumbung rumah orang yang tidak sembahyang. Demikianlah betapa hina orang yang meninggalkan solat.

2. Zakat

Rasulullah saw juga telah menemui suatu kaum yang berpakaian koyak rabak, koyak di depan dan koyak di belakang, mereka berkelakuan seperti binatang, memakan makanan daripada kayu-kayu yang berduri, pohon-pohon yang pahit maung dan tulang belulang daripada neraka Jahannam.


Sebahagian jemaah yang hadir

Maka Nabi saw bertanya Jibril, siapakah mereka itu ? Jawab Jibril : Mereka itulah orang-orang yang tidak membayar zakat harta.

Pentingnya membayar zakat sehinggakan apabila Rasulullah saw wafat, Saidina Abu Bakar r.a mengambil alih tempatnya sebagai pemerintah Negara, maka sebahagian daripada suku-suku Arab telah kufur kerana enggan membayar zakat.

Khalifah Abu Bakar yang terkenal dengan sikapnya yang lemah lembut telah mengistiharkan perang ke atas golongan ini. Ketika beliau bersiap sedia untuk memerangi mereka, beliau di datangi Saidina Umar bin al-Khattab, lalu berkata kepadanya, bagaimana kita harus menentang mereka sedangkan Rasulullah saw telah bersabda,

أمرت أن أقاتل الناس حتى يقولوا لا اله الا الله ،
فمن قالها فقد عصم منى ماله ونفسه وحسابه على الله


Maksudnya : Aku telah diperintah untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucap Laa Ilaaha Illallaah. Maka barangsiapa yang mengucapkannya, dia terlindung daripadaku pada hartanya dan jiwanya, sedang perhisabannya kelak terserah kepada Allah.

Jawab Abu Bakar, Demi Allah aku akan memerangi sesiapa pun yang membezakan antara sembahyang dengan zakat, kerana sesungguhnya zakat itu adalah suatu hak terhadap harta. Demi Allah, jika mereka menahan seekor kambing kecil yang dahulu pernah mereka menyerahkannya kepada Rasulullah sebagai harta zakat, nescaya aku akan memerangi mereka disebabkan mereka menahannya.

Saidina Umar kemudiannya bersetuju dengan pandangan Abu Bakar.

Akhir kalam

Terima kasih kepada Nazir Masjid dan AJK-AJKnya, Ketua Kampung dan semua yang hadir mendengar ceramah saya malam ini.

Saya mohon ampun dan maaf jika ada sebarang kekurangan dalam menyampaikan ceramah.

Yang baik itu datangnya daripada Allah, yang buruk itu kerana kelemahan saya sendiri.

Insya Allah jika panjang umur kita berjumpa lagi……

Wallahualam,

Petikan Ceramah Israk wal Mikraj
Di Masjid Qaryah Gadong Jaya, Labu
Seremban.

16.7.2010

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.