Thursday, July 22, 2010

Kuliah Penghayatan Ramadhan


Esok Cikgu Hasmol Watan Shamsol (Ketua Warden SMV Ampangan) akan berpindah ke Melaka

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 183-184,

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. [183]Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. “[184]

Huraian ayat

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa….”

Ayat ini turun pada bulan Syaaban tahun kedua hijrah.Ia merupakan perintah wajib daripada Allah SWT kepada orang-orang yang beriman untuk berpuasa di bulan Ramadhan. Justeru, orang yang mengingkari kefardhuan puasa adalah murtad.

Dari segi hukum feqah, orang yang wajib berpuasa itu ialah :

1. Islam, orang-orang kafir tidak wajib berpuasa
2. Sampai umur (akil baligh), tidak sah puasa kanak-kanak yang belum mumayyiz kerana puasa memerlukan niat dan niat ini hanya boleh dilakukan oleh orang-orang yang berakal sahaja.
3. Berakal (siuman), maka tidak sah puasa orang gila dan orang yang pitam sepanjang hari dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Tetapi jika orang yang pitam itu sedar walau pun sekejap di siang hari maka sah puasanya.
4. Mampu, orang sakit yang memudaratkan, orang tua yang lemah dikecualikan
5. Bermukim, orang yang dalam bermusafir lebih dari dua marhalah tidak diwajibkan berpuasa.

Firman Allah SWT,

“……sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu….”

Ayat ini menunjukkan ibadah puasa ini sudah diamalkan oleh umat-umat terdahulu. Nabi Nuh AS sebagi contoh berpuasa sepanjang tahun. Nabi Daud a.s pula berpuasa sehari dan berbuka sehari. Manakala Nabi Isa a.s berpuasa sehari dan berbuka satu atau dua hari.


Pelajar-pelajar Sek. Men. Vokasional Ampangan

Sedangkan Nabi Muhammad SAW dan umatnya berpuasa sebulan penuh di bulan Ramadhan.

Firman-Nya di akhir ayat 183,

“……supaya kamu bertaqwa….”.

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan hikmah puasa iaitu taqwa. Apakah dia taqwa ?

Rasulullah pernah bertanya kepada Abu Hurairah :” Pernahkah engkau bertemu jalan yang berduri ? Bagaimana tindakanmu pada waktu itu ?” Kata Abu Hurairah, “Apabila aku melihat duri. Aku akan menghindar ke tempat yang tidak berduri atau aku langkahi, atau aku mundur”. Rasulullah pun bersabda :”Itulah dia taqwa”.

Dengan kata lain orang yang bertaqwa ialah mereka yang menyedari dan beringat dengan kehadiran Allah SWT pada dirinya sama ada ketika jaga mahupun tidur. Dengan ada kesedaran inilah manusia akan patuh melakukan ketaatan dan meningglkan larangan Allah SWT.

“ Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu…”

Maksudnya puasa itu diwajibkan dalam bulan Ramadhan. Ramadhan asalnya daripada kalimah ض م ر yang membawa maksud kepanasan yang membawa kepada dahaga. Menurut Imam Al‐Qurtubi berkata: Dinamakan Ramadhan kerana ia membakar segala dosa dengan amalan soleh yang dilakukan.

Sabda Rasulullah saw,

من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

Maksudnya: Siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, nescaya diampun baginya dosa yang terdahulu.


Bermacam ragam pelajar

Firman Allah SWT,

“….maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain…

Berdasarkan ayat ini keringanan untuk tidak berpuasa itu diberikan kepada mereka yang sakit. Yang dimaksudkan sakit di sini yang boleh membahayakan keselamatan dirinya jika berpuasa. Untuk menilai tahap sakitnya maka perlu kepada pandangan doctor. Orang yang tidak berpuasa kerana sakit, maka ia wajib mengganti puasa yang ditinggalkannya di bulan lain jika ia sudah sihat.

Termasuk dalam kategori ini ialah wanita yang hamil dan menyusukan anak yang bimbang keselamatan dirinya jika ia berpuasa, maka hendaklah dia menqadhak semula puasanya pada hari-hari lain. Tetapi sekiranya dia takut akan keselamatan janin atau bayinya, maka wanita ini wajib mengqadha' puasanya serta membayar fidyah yang berupa memberi makan kepada orang miskin.

Kadar Fidyah dikira berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk) sebanyak secupak iaitu bersamaan 675 gram. Kadar tersebut berubah mengikut harga yang ditetapkan pemerintah di sesuatu tempat. Fidyah boleh diganti dari beras kepada duit. Cara akadnya,

Kata pembayar : "Bismillahirrahmani Rahim, inilah duit bagi menggantikan beras, bagi sebagai fidyah yang wajib ke atas aku atau nama orang yang mewakilkan bagi tahun ini, atau tahun sebelumnya atau bagi tahun-tahun yang tertunggak sebelumnya, aku sedekahkan kepada engkau kerana Allah Taala.

Jawab penerima: "Aku terima”

Selain itu orang yang diberi keringanan untuk tidak berpuasa ialah mereka yang bermusafir lebih dari dua marhalah iaitu kira-kira 89 km. safar (dalam perjalanan). Golongan ini wajib mengganti puasanya itu pada hari lain sejumlah hari yang dia tidak berpuasa.

Firman Allah SWT,

“….dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin…”.

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan orang yang sudah lanjut usia dan tidak sanggup untuk berpuasa maka wajib bagi dirinya membayar fidyah yakni dengan memberi makan kepada orang miskin sebanyak hari yang ditinggalkan.

“…..Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya…”

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT menejlaskan jika seseorang itu berhajat untuk membayar fidyah lebih daripada jumlah yang sepatutnya, maka itu adalah sedekah yang digalakkan dalam Islam.

Firman Allah SWT pada akhir ayat 184,

“…dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui”.

Maksudnya, jika golongan yang diberi kelonggaran itu seperti orang yang bermusafir, terdaya untuk melakukan iabadah puasa, maka itu alah lebih baik baginya daripada membayar fidyah jika mereka megetahui.

Selain itu ada juga pendapat yang mengatakan, maksud ayat ini ialah puasa sunat. Dengan kata lain, selain puasa wajib di bulan Ramadhan ada puasa-puasa sunat yang amat baik untuk diamalkan jika kita mengetahui fadhilatnya.

Antaranya puasa sunat enam hari di bulan Syawal, puasa pada setiap hari Isnin dan Khamis, berpuasa pada 9 dan 10 Muharam, berpuasa pada hari Arafh dan sebagainya.

Sek. Men Vokasional Ampangan
Khamis, 22.7.2010

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.