Peristiwa Nakhlah dan iktibar dari kejahatan orang-orang kafir

Tafsir Al-Quran
Surah Al-Baqarah ayat 217


Firman Allah SWT,

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya)".

Huraian ayat

Kenapa ayat ini diturunkan ?

Para mufassirin menjelaskan sebab ayat ini diturunkan kerana pada penghujung bulan Jamadil Akhir tahun ke dua hijrah (dua bulan sebelum tercetusnya peperangan Badar) Rasulullah saw telah menghantar satu pasukan kecil (Sariyyah) untuk menuju ke satu tempat yang diarahkan oleh baginda. Pasukan kecil ini terdiri daripada 8 orang Muhajirin, diketuai oleh saudara sepupu baginda sendiri yang bernama Abdullah bin Jahsyi.

Sebelum mereka berangkat Rasulullah saw telah memberi sepucuk surat kepada Abdullah bin Jahsyi dengan sabdanya,

“ Berangkatlah kamu dengan nama Allah dan janganlah engkau membuka surat ini melainkan engkau telah sampai ke satu tempat sejauh perjalanan dua hari. Setelah engkau berhenti, maka bukalah surat ini. Bacakan isi surat ini kepada anggota pasukanmu, kemudian engkau pergilah ke satu tempat seperti mana yang diarahkan dalam surat ini dan janganlah engkau memaksa-maksa seseorang pun dari anggota pasukanmu untuk mengikutmu”.

Selepas dua hari perjalanan, maka Abdullah bin Jahsyi membuka surat ini dan membaca isi kandungannya di hadapan setiap anggota pasukannya. Antara isi kandungan surat tersebut ialah,

"Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Apabila engkau membaca suratku ini maka teruskanlah perjalanan sehingga ke satu tempat yang bernama Nakhlah yang terletak antara Mekah dan Taif. Di situ engkau intiplah rombongan perdagangan Quraisy dan kumpulkan maklumat mereka untuk kami."

Lalu Abdullah pun memberitahu para sahabat yang terlibat dalam operasi ini bahawa dia sama sekali tidak memaksa mereka untuk terlibat bagi menjayakan operasi ini. Kata Abdullah,

"Siapa di kalangan kamu takut mati takut mati, maka sampai setakat di sini sahajalah perjalanan kalian, maka kamu boleh pulang. Tetapi siapa yang ingin mati syahid, dia boleh terus bersama-sama denganku kerana aku sendiri akan meneruskan misi ini," katanya.

Respon daripada ucapannya, Alhamdulillah tidak ada seorang pun di kalangan anggota dalam kumpulannya yang ingin berpatah balik dan pulang semula ke Madinah. Kesemuanya berikrar untuk terus bersama Abdullah bin Jahsyi sekaligus menyerahkan segala urusan hidup dan mati mereka kepada Allah SWT.

Namun apabila mereka sampai di satu tempat yang bernama Najran, tiba-tiba dua orang daripada anggota kumpulan ini telah terpisah kerana tersesat jalan. Puncanya kerana mereka mencari unta masing-masing yang terlepas lari. Mereka yang tersesat ini ialah Saad bin Abi Waqqas dan Utbah bin Ghazwan.

Maka tinggallah baki mereka seramai enam orang untuk meneruskan operasi ini. Apabila sampai ke Nakhlah, mereka melihat melihat ada 4 orang rombongan dagang Quraisy iaitu Amru bin Al-Hadhrami, Hakim bin Kisan, Usman dan saudaranya Naufal bin Abdullah Al-Makhzumi sedang dalam perjalanan untuk pulang ke Mekah. Mereka membawa pelbagai aneka barang dagangan termasuk anggur kering dan juga lauk pauk.

Melihat hal ini Abdullah bin Jahsy kemudian berbincang dengan anggota kumpulannya apakah wajar mereka membiarkan sahaja rombongan Quraisy itu balik ke Mekah atau merampas harta-harta dagangan mereka.

Semasa berbincang salah seorang anggota kumpula berkata,

"Wahai Abdullah , sekarang kita berada pada hari terakhir di bulan Jamadil Akhir sebelum masuk bulan Rejab iaitu bulan yang diharamkan berperang. Kalau kita memerangi rombongan Quraisy ini bererti kita menceroboh kesucian bulan haram. Tetapi kalau kita biarka mereka, pasti mereka akan dapat memasuki Mekah tanpa sebarang halangan. Justeru misi kita untuk menyekat menyekat dan memberi pengajaran kepada orang-orang Quraisy gagal”.

Akhirnya mereka bersetuju untuk menghalang rombongan perdagangan Quraisy ini. Mereka berusaha untuk menyerang sebelum masuknya bulan Rejab namun usaha ini gagal kerana kesuntukkan masa. Mahu tidak mahu serangan ini berlarutan sehingga masuk ke bulan Rejab.

Salah seorang anggota kumpulan yang bernama Waid bin Abdullah as-Sahmi melepaskan anak panah dan tepat mengenai Amru bin Al-Hadhrami lalu terbunuh. Manakala dua orang anggota perdaganan Quraisy iaitu Hakim bin Kisan dan Usman bin Abdullah Al-Makhzumi berjaya di tawan. Tetapi saudara Usman iaitu Naufal bin Abdullah Al-Makhzumi berjaya melapaskan diri dan balik ke Mekah seterusnya melaporkan peristiwa ini kepada pemimpin Quraisy.

Apabila orang Quraisy mengetahui pertempuran ini, mereka menuduh Muhammad telah menghalalkan pertumpahan darah dan merampas harta-harta penduduk Mekah pada bukan suci yang diharamkan berperang.

Berita kemarahan orang-orang Mekah telah sampai kepada pengetahuan Nabi Muhammad saw. Kebetulan ketika itu Abdullah bin Jahsyi bersama anggota rombongannya telah selamat tiba ke Madinah membawa sejumlah harta dagangan yang dirampas serta dua orang tawanan.

Nabi saw bersabda kepada mereka,

“Aku tidak menyuruh kamu supaya berperang pada bulan haram”

Nabi saw kemudian mengarahkan supaya harta rampasan itu hendaklah disimpan dahulu kerana baginda tidak mahu mengambilnya. Dengan kata-kata dan tindakan Nabi saw ini menyebabkan Abdullah bin Jahsyi dan anggota kumpulannya merasa bersalah serta menyesal atas serangan yang mereka lakukan ke atas pedagang Quraisy.

Tidak lama selepas itu turunlah ayat ini,

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah..”

Dalam ayat ini Allah SWT menjawab, memang benar berperang pada bulan-bulan haram itu adalah berdosa besar, tetapi siapakah yang memulakan peperangan tersebut ? Bukankah selama ini musyrikin Mekah yang memulakan tindakan ganas ke atas umat Islam, menyekat umat Islam dari beribadat kepada Allah, menyeksa dan membunuh orang-orang Islam semata-mata kerana mereka mentauhidkan Allah SWT, mencabuli kesucian Masjidil Haram dengan kerja-kerja kufur serta mengusir dan merampas segala harta penduduk-penduknya yang beriman ?

Sesungguhnya perbuatan orang-orang Quraisy Mekah yang mengganas, mengusir, dan menindas penduduk Mekah yang beriman adalah lebih besar dari dari berperang di bulan haram seperti yang dilakukan oleh beberapa orang sahabat Nabi saw.

Bila turun sahaja wahyu ini, maka legalah Nabi saw dan para sahabat. Lalu harta yang dirampas Nabi saw bahagikan kepada lima bahagian. Satu bahagian nabi saw ambil dan selebihnya dibahagi-bahagikan kepada tentera yang terlibat dalam serangan ini.

Kemudian Allah SWT berfirman lagi,

“Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan..”

Yang dimaksudkan dengan fitnah di sini ialah menyekat kebebsan manusia untuk hidup beragama dan memaksa manusia supaya terus kufur kepada Allah SWT. Ada juga pendapat yang mengatakan fitnah di sini ertinya Syirik, yang mana dosanya lebih besar daripada membunuh.

Firman Allah SWT lagi,

“Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian);..”

Dalam ayat ini ini Allah SWT mengingatkan orang-orang Islam supaya berwaspada terhadap sikap orang-orang kafir yang berazam untuk memerangi dan memurtadkan orang-orang Islam. Yang dimaksudkan memerangi di sini bukan sahaja dalam bentuk fiikal tetapi juga dalam bentuk pemikiran, hiburan, ideologi dan kebudayaan.

Justeru hari ini tidak hairan jika ada orang-orang Islam yang berfikiran seperti orang-orang kafir, ada pemimpin-pemimpin Islam yang berideologikan komunis dan ada orang-orang Islam yang mengamalkan budaya orang-orang bukan Islam.

Firman Allah SWT lagi,

“..dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya)”.

Dalam ayat ini Allah SWT mengingatkan orang-orang Islam akibat daripada perbuatan murtad. Antaranya segala amal ibadah yang dilakuakan oleh orang murtad serta merta akan hancur binasa tidak diterima oleh Allah SWT. Malah di akhirat mereka akan di azab dan tinggal kekal dalam neraka selama-lamanya.

Seseorang itu boleh menjadi murtad dengan sebab melakukan salah satu daripada tiga cara iaitu sama ada dengan perbuatan, percakapan atau iktiqad (kepercayaan dalam hati).

Murtad melalui perbuatan contohnya melakukan perkara-perkara seperti menghina Al-Quran atau hadis sama ada dengan cara mengoyak, memijak dan membuangnya di dalam longkang. Begitu juga dengan memakai lambang-lambang agama lain seperti salib atau menyertai upacara ibadah kepercayaan orang-orang kafir dan sebagainya.

Murtad melalui percakapan seperti mencela Allah SWT, sifat-sifatNya atau nama-namaNya, bersumpah selain daripada namaNya, menghina Nabi dan Rasul sama ada sifat-sifat nya mahupun ajarannya, mengaku dirinya menjadi Nabi dan Rasul, mengengkari kewujudan malaikat-malaikat, mengeluarkan kata-kata yang menghina Islam, menolak segala hukum-hukum yang terkandung di dalam Al-Quran, mengatakan tidak adanya azab kubur, menafikan kewujudan neraka, syurga, kewajipan menutup aurat, menyanyi lagu-lagu yang bertentangan dengan kalimah tauhid dan sebagainya.

Murtad melalui ikiqad seperti seseorang itu berkeyakinan dalam hati bahawa alam ini terjadi dengan sendiri, atau menolak dalam hati tentang kebenaran Al-Quran, beriktiqad bahawa Nabi Muhammad saw itu adalah manusia biasa bukan bertaraf Nabi, atau beriktiqad bahawa Ghulam Ahmad Qadiani sebagai Nabi atau Rasul, atau mempercayai di dalam hati bahawa undang-undang ciptaan manusia itu lebih baik daripada undang-undang Allah SWT.

Begitu juga murtad sekiranya seseorang beriktiqad dalam hati bahawa tidak salah meminum arak, tidak salah meninggalkan solat, tidak salah berzina, tidak salah berjudi sedangkan dia sudah mengetahui bahawa semua perbuatan itu adalah haram di sisi Allah SWT.

Menurut jumhur ulama bahawa orang yang melakukan kesalahan murtad hukumannya adalah bunuh samada dia seorang lelaki atau perempuan, tua atau pun muda.

من بدل دينه فاقتلوه

Maksudnya : Barangsiapa yang menukar agamanya maka bunuhlah dia.

Walaubagaimanapun seseorang yang murtad melalui iktiqad, tidak boleh dikenakan hukuman bunuh selagi mana ia tidak menzahirkan kemurtadannya melalui perbuatan atau percakapan. Oleh itu dia masih dianggap muslim mengikut hukuman di dunia tetapi di akhirat maka terserahlah kepada Allah SWT untuk menentukan kedudukannya.

Menurut jumhur ulama yakni Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad, orang yang murtad tidak boleh terus dihukum bunuh melainkan hendaklah disuruh bertaubat terlebih dahulu.

Mengenai tempoh masa yang diberikan agar orang yang murtad itu bertaubat dan kembali kepada Islam menurut mazhab Maliki ialah tiga hari tiga malam bermula daripada masa dia di sabitkan melakukan kesalahan itu. Manakala menurut Imam Abu Hanifah, tempoh masa yang diberikan ialah terpulang kepada budi bicara pihak pemerintah.

Jika ada harapan bahawa pesalah itu akan bertaubat atau dia meminta agar hukuman yang dikenakan kepadanya ditangguhkan maka pemerintah boleh menangguhkan selama 3 hari. Tetapi sekiranya tidak ada harapan untuknya bertaubat atau tidak mahu meminta agar ditangguhkan hukuman, maka bolehlah dilaksanakan hukuman bunuh pada masa itu juga.

Apabila orang yang murtad itu telah dibunuh, maka adalah haram bagi umat Islam menguruskan mayatnya samada dimandikan, disolatkan atau dikuburkan di kawasan perkuburan orang-orang Islam. Manakala segala harta bendanya akan menjadi hak milik orang rama (harta fai’) dan tidak boleh dipusakai sama ada waris-warisnya yang Islam atau yang bukan Islam. Inilah pendapat Mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali.

Wallahualam.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu