Tuesday, April 19, 2011

Sesuatu itu dijadikan mengikut ukurannya

Tafsir Al-Quran
Surah Al-Qamar ayat 49


Firman Allah SWT,

“Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu menurut ukuran”. (Al-Qamar 049)

Huraian ayat

Ayat ini menjelaskan bahawa segala ciptaan Allah SWT baik di langit dan di bumi telah ditetapkan kadar atau kesesuaiannya sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Jika kadar itu terlebih atau terkurang, nescaya akan binasalah dunia ini dan segala makhluk yang wujud di dalamnya.

Berikut ialah beberapa contoh kejadian setiap sesuatu berdasarkan ukuran yang telah ditetapkan Allah SWT.

Pertama : - Allah SWT telah menetapkan jarak antara matahari dan bumi. Jarak tersebut adalah amat sesuai dan tepat. Sekiranya matahari itu berada lebih dekat daripada kedudukannya sekarang, tentulah bumi akan menjadi bertambah panas. Ini akan mengakibatkan berlakunya pencairan ke atas gunung-gunung air batu di kutub utara dan selatan. Sekiranya ia berlaku dunia akan karam dengan sebab pertambahan air di lautan.

Kedua : - Jika jarak bumi ini jauh daripada matahari sekali ganda daripada yang ada sekarang nescaya berkuranganlah kepanasan yang sampai ke permukaan bumi ini dan bumi pula terpaksa mengambil masa yang lebih panjang untuk mengelilingi matahari. Ekoran daripada itu akan menjadi panjanglah musim sejuk sehingga mengakibatkan benda-benda yang hidup dan cair di permukaan bumi akan sejuk serta membeku.

Ketiga : - Allah SWT telah menetapkan kadar oksigen yang tepat dan sesuai di muka bumi ini. Sekiranya nisbah oksigen yang ada di bumi ini berubah kepada 50 peratus menggantikan 21 peratus yang ada sekarang nescaya semua benda yang terdapat di bumi ini akan terbakar.

Keempat : - Allah SWT juga telah menetapkan kadar hujan yang turun di bumi. Tidak terlalu sedikit sehingga tidak mencukupi untuk keperluan makhluk di bumi dan juga tidak terlalu berlebihan sehingga mungkin menjadikan bumi ini karam seluruhnya.

Kelima : - Tarikan graviti yang ada di bumi ini tidak terlalu kuat sehingga menjadikan segala benda melekat di bumi. Tarikan graviti ini juga tidak terlalu kurang daripada apa yang ada sekarang sehingga menjadikan segala benda termasuk manusia terapung-apung di permukaan bumi.

Keenam : - Allah SWT juga telah menjadikan air laut itu masin. Sekiranya air itu laut itu manis nescaya akan busuklah segala kehidupan yang ada di dalamnya kerana air manis tidak dapat mencegah daripada sesuatu itu menjadi busuk dan rosak kecuali air masin.

Ketujuh : - Di tengah-tengah penciptaan manusia yang sempurna terdapat juga segelintir manusia yang cacat. Kepada golongan cacat ini Allah SWT tidak membebankan mereka dengan tugas dan tanggungjawab seperti orang yang sihat dan sempurna.

Kelapan : - Di dalam penciptaan haiwan-haiwan di atas muka bumi ini Allah SWT telah menentukan kadar bilangan haiwan yang bermanfaat agar tidak terlalu sedikit sehingga boleh mengancam keperluan manusia kepadanya. Haiwan yang berbisa dan berbahaya pula dijadikan sedikit, dan habitatnya juga dicipta jauh dari kehidupan manusia untuk memelihara keselamatan manusia dari gangguan binatang-binatang tersebut.

Kesembilan : - Bumi ini sentiasa berganti siang dan malam. Allah SWT membahagikan kedua-dua masa itu sangat sesuai sekali dengan kadar yang dihajati oleh penghuni-peghuni alam yang terdiri daripada manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan.

Sebagai contoh tumbuh-tumbuhan akan layu jika terlalu lama disinari cahaya matahari dan jika waktu malam berpanjangan pula ia akan mati kerana ketiadaan cahaya matahari untuk memproses makanan. Kesimpulannya, Allah SWT menjadikan siang untuk penghuni bumi menjalankan urusan kehidupan mereka dan waktu malam pula sebagai masa untuk berehat.

Kesepuluh : - Allah SWT juga menentukan ajal makhluk berdasarkan kadar kesesuaiannya. Ahli sains telah memberi contoh sekiranya sepasang lalat itu membiak tanpa mati nescaya dalam tempoh lima tahun ia akan membina lapisan setinggi 5cm di permukaan bumi. Jika ini berlaku, akan sukar pula kehiduppan lain untuk tinggal di atas muka bumi ini.

Segala contoh-contoh di atas adalah bukti kesempurnaan di dalam penciptaan Allah SWT di alam ini. Setiap sesuatu kejadiannya telah ditetapkan ukuran dan sukatan sesuai dengan keperluan kehidupan yang ada. Justeru, semuanya berperanan untuk menunjukkan kebesaran dan kekuasaan Penciptanya.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.