Friday, July 20, 2012

Bersahur melatih bangun awal

Selamat berpuasa buat ibu dan anak-anakku 

Bulan Ramadhan ialah bulan kursus, bulan tarbiah atau bulan training. Tidak kira tua atau muda, miskin atau kaya apabila sudah cukup syarat-syaratnya mereka wajib menjalani kursus selama sebulan di sekolah Ramadhan.

Lulus atau tidak kursus yang dijalani perlu dilihat kepada amalan selepas Ramadhan. Bagi mereka yang berpuasa dengan penuh keimanan dan ihtisab sudah tentulah ada perubahan pada dirinya selepas bulan Mubarak ini.

Tetapi jika masih terus malas menunaikan solat, atau mendirikan solat secara ‘touch & go’,  mengumpat, mengata, memfitnah, berbohong, curi tulang, membiarkan anak dan isteri melakukan kemungkaran maka inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW,

“Berapa ramai orang yang berpuasa, dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali rasa lapar”. (HR Ibnu Majah)

Salah satu subjek ‘elektif’ semasa Ramadhan ialah bersahur. Walaupun ia bukan subjek teras (wajib) malah ‘optional’ namun Rasulullah SAW sangat menggalakkannya. Sabda baginda,  

“Bersahurlah kamu, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (HR Bulhari & Muslim)

Maksud keberkatan di sini sangat luas. Bukan sahaja dapat menahan diri daripada lapar semasa berpuasa malah ia mendisplinkan kita supaya bangun lebih awal sebelum Fajar.

Seperti yang kita maklum bersahur adalah sunat ditakhirkan. Dalam sebuah hadis riwayat Zaid bin Tsabit r.a,

“Kami pernah makan sahur bersama Rasulullah SAW. Kemudia kami melaksanakan solat. Kemudian aku bertanya : Berapa lamakah waktu antara keduanya (antara makan sahur dengan solat)?. Rasulullah SAW menjawab : Selama bacaan lima puluh ayat”. ( HR Muslim)  

Jika membaca al-Quran lima puluh ayat dengan kadar bacaan yang sederhana, kita mengambil masa 15 ke 20 minit untuk menyudahkannya.

Demikianlah diari kehidupan seorang mukmin, selama 30 hari bersahur secara istiqamah, insya Allah amalan ini akan menjadi kebiasaan pada dirinya di luar Ramadhan. Mereka akan menjadi umat yang terbiasa untuk bangun awal menjelang Fajar.

Jika solat Subuh yang cukup berat dilakukan, tetapi boleh dilakukan tepat pada waktunya, insya Allah seseorang itu akan dapat menunaikan solat-solat fardhu yang lain dengan menepati waktu seperti Zuhor, Asar, Maghrib dan Isyak. 

Seorang sahabat pernah bertanya Rasulullah SAW mengenai amalan yang disukai oleh Allah SWT. Jawab baginda SAW,

“Solat pada waktunya…” (HR Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasaei)

Di kesempatan ini saya menyeru diri saya, isteri, anak-anak, kaum keluarga dan rakan-rakan agar kita sama-sama bersahur di bulan Ramadhan ini walaupun dengan segelas air dan sebiji kurma.

Mudah-mudahan Ramadhan tahun ini meningkatkan iman dan taqwa buat kita semua. Aminn…

Abu Sofeya 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.