Pendidikan Dato' Abu Hassan Sail di timur tengah

      
        Pendidikan Abu Hassan di timur tengah terbahagi kepada dua iaitu di Mekah al-Mukarramah dan juga di negara Mesir.  Pendidikan di Mekah bermula apabila ayahnya Haji Sail hendak berangkat menunaikan fardhu Haji pada tahun 1937. Oleh kerana mahu melihat anaknya berjaya dalam pendidikan agama, Haji Sail telah meminta keizinan daripada Sheikh Haji Ahmad untuk membawa Abu Hassan pergi bersama.

          Permintaan Haji Sail diperkenankan oleh Sheikh Haji Ahmad, memandang beliau telah mendidik dan mengasuh Abu Hassan. Hampir tiga tahun, malahan usia Abu Hassan pada waktu itu telah pun meningkat 17 tahun, iaitu umur  yang dianggap sesuai untuk hidup berdikari dan merantau mencari ilmu  di negara orang.

           Peluang untuk ke Mekah memang sentiasa dinanti-nantikan oleh Abu Hassan kerana sebelum ini beliau pernah  beberapa kali meluahkan hasratnya kepada rakan-rakan untuk menimba ilmu pengetahuan di kota kelahiran Nabi s.a.w.  Cuma hasratnya  tidak pernah dinyatakan kepada kedua ibu bapanya, bimbang mungkin akan membebankan mereka berdua, apatah lagi untuk menyediakan segala perbelanjaan kewangan. Justeru apabila bapanya sendiri yang ingin untuk  menghantar beliau  ke Mekah, sudah tentu peluang ini di terima dengan sukacita ibarat ‘orang yang mengantuk disorongkan bantal’.

            Di kota suci kelahiran Nabi s.a.w ini, Abu Hassan telah menuntut ilmu pengetahuan hampir lapan tahun  Bermula pada awal tahun 1938, beliau telah diterima masuk ke Darul Ulum ad-Diniyyah, sebuah sekolah yang dikendalikan oleh para ulama keturunan Melayu dari Malaysia, Indonesia, Selatan Thailand dan Singapura. Di sekolah ini beliau telah berpeluang belajar bersama sekumpulan pelajar-pelajar pintar. Sewaktu menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Darul Ulum ad-Diniyah, Abu Hassan telah muncul sebagai pelajar terbaik, mengatasi pelajar-pelajar cemerlang yang lain. ( An Nur 1991 : 2 )

           Soal bahasa dan komunikasi dengan masyarakat Arab tidak menjadi masalah kepada beliau. Ini kerana sebelum berangkat ke kota suci Mekah, hasil usaha yang bersungguh-sungguh di Madrasah as-Sa’idiyyah, beliau sememangnya telah mampu berbahasa Arab walaupun tidak seberapa fasih.  Setelah beberapa bulan berada di Mekah, beliau mampu berbahasa Arab secara fasih serta boleh menguasai dialek tempatan. 

Lapan tahun berada di kota suci Mekah, merupakan saru tempoh yang lama dan selama itulah beliau menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran khususnya dari segi kewangan. Tambahan pula sebatang kara serta berjauhan daripada keluarga menyebabkan beliau tidak berpeluang mengadu sebarang masalah yang dihadapinya. Setahun sekali ayahnya hanya mengirimkan wang sebanyak RM 100.00 sahaja. Dengan wang sebanyak itu, Abu Hassan  berjimat cermat dalam menanggung segala kos perbelanjaan di sana.

 Abu Hassan tamat belajar di Sekolah Darul Ulum al-Diniyyah pada tahun 1945, sewaktu Jepun menduduki Tanah Melayu. Biarpun sudah tamat pengajian, tetapi beliau masih terus menetap di Mekah dengan melakukan pelbagai kerja untuk menyara kehidupannya. Kerja-kerja yang pernah beliau lakukan ialah seperti menjadi tukang masak pada musim-musim Haji, sebagai kerani menjual alat-alat ganti kereta di bandar Jeddah, mengambil upah Haji dan Umrah serta membuat cincin.

           Beliau juga pernah mengajar Al-Quran selama setahun di Madrasah al-Fakhriyyah, sebuah sekolah kepunyaan orang-orang India Muslim di Mekah. Di Madrasah ini dibayar gaji sebanyak 50.00 Rial sebulan. (An-Nur 1991 : 2)

           Pada tahun 1948 (selepas perang dunia kedua tamat) Abu Hassan pulang semula ke sekolah asalnya di Darul Ulum ad-Diniyyah. Di sekolah ini beliau bekerja sebagai guru pelatih, mendidik pelajar-pelajar yang baru datang dari luar negara Arab khususnya dari rantau Melayu. Berbeza dengan Madrasah al-Fakhriyyah, khidmat beliau di sekolah ini hanyalah sukarela tanpa sebarang imbuhan gaji sehinggalah tahun 1951.

PENGAJIAN DI UNIVERSITI AL-AZHAR, MESIR
         Pada musim haji setiap tahun, ramai pembesar dan pemimpin  Tanah Melayu yang pergi menunaikan fardu haji di Mekah. Kebiasaannya para pemimpin yang pergi ke Mekah itu akan mengambil kesempatan untuk bertemu dengan para pelajar Tanah Melayu yang berada di Kota Mekah.  Pada tahun 1951, Menteri Besar Negeri Sembilan pada waktu itu,  Dato’ Abdul Malek bin Yusuf  pergi menunaikan fardu Haji di Mekah dan telah mengadakan pertemuan dengan para pelajar  Tanah Melayu khususnya anak Negeri Sembilan.
Dalam pertemuan tersebut, Menteri Besar telah memberi kata-kata semangat kepada pelajar-pelajar agar bersungguh-sungguh mendalami ilmu  kerana kerajaan amat memerlukan cerdik pandai agama untuk membantu menguruskan pentadbiran hal ehwal Islam di Negeri Sembilan. khususnya bagi persediaan bagi mencapai kemerdekaan dari British.   
           Dalam sesi soal jawab, Abu  Hassan telah mengambil kesempatan  untuk mengutarakan masalah mengenai kesukaran pelajar-pelajar Melayu untuk mendapatkan biasiswa  bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi  di Universiti Al-Azhar, Mesir. Sebagai contoh, beliau sangat berminat untuk ke sana tetapi di sebabkan masalah kewangan, hasratnya itu terpaksa dipendamkan. Oleh itu beliau sangat berharap agar kerajaan Negeri Sembilan dapat memberi bantuan kewangan khususnya kepada anak-anak negeri yang berhajat menyambung pengajian ke Mesir. 
           Berdasarkan kesungguhan dan masalah yang telah dikemukakan Menteri Besar bersetuju untuk membantu dan bersedia untuk membiayai  pengajian beliau ke Mesir di bawah skim Tabung Warisan Rembau. Dato’ Abdul Malek bin Yusuf, pada waktu itu juga merupakan Pengerusi kepada  Tabung Warisan Rembau ini  dan tabung memang menyediakan dana untuk    membantu pelajar-pelajar yang datang dari keluarga kurang berada untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Keutamaan diberikan kepada mereka yang datang dari daerah Rembau.  Memandangkan Abu Hassan adalah anak jati dari daerah tersebut,  maka tidak ada masalah bagi kerajaan negeri untuk membiayai pengajiannya ke Mesir atas pembiayaan Tabung Warisan Rembau
            Setelah lulus  ujian kelayakan,  pada 24hb November 1951, Abu Hassan mula  mendaftar di Universiti al-Azhar untuk memulakan pengajiannya. Sesungguhnya kejayaan memasuki al-Azhar amat bermakna buat dirinya kerana telah berjaya memenuhi hasrat dan cita-citanya untuk melanjutkan pengajian ke sebuah Universiti terulung dan masyhur serta telah berjaya melahirkan ramai tokoh cendekiawan dan ilmuwan Islam di seluruh dunia.
           Di Universiti ini, Abu Hassan telah mengambil pengkhususan dalam bidang Usuluddin selama empat tahun. Tidak seperti belajar di  Mekah, kali ini beliau tidak lagi berdepan dengan masalahlah kewangan kerana setiap bulan kerajaan negeri akan menghantar wang saku yang cukup kepadanya. Oleh itu tumpuannya hanyalah satu iaitu menimba ilmu pengetahuan sehinggalah beliau berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam pengkhususan dalam bidang Usuluddin pada tahun 1955.
           Semangat dan keinginannya untuk terus belajar dan mendalami ilmu pengetahuan terus membara dan selepas itu beliau meneruskan pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang   al-Wa’az wal ‘Irsyad selama dua tahun  dan berjaya memperoleh Ijazah Sarjana  dari Universiti al-Azhar pada tahun tahun 1957.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu