Monday, July 30, 2012

Bertadarus di Universiti of Ramadhan


            Syukur Alhamdulillah, kita sudah masuk hari ke sembilan berpuasa. Ramadhan al-Mubarak ibarat sebuah Universiti yang mendidik kita pelbagai perkara. Jika kita masuk ke university-universiti tempatan atau swasta, tentu ada subjek teras yang wajib diambil dan subjek elektif yang boleh dipilih sama ada mahu ambil atau tidak.
            Demikian juga bulan Ramadhan, ada subjek teras yang wajib dilaksanakan seperti berpuasa dan meninggalkan perkara-perkara yang membatalkannya serta  ada subjek pilihan seperti bertadarus Al-Quran.
            Tadarus ertinya membaca al-Quran sambil disemak oleh orang lain. Nabi saw bertadarus dengan malaikat Jibril bermula ketika puasa di wajibkan pada tahun ke dua hijrah, sehinggalah pada tahun kewafatan baginda pada tahun ke sebelas hijrah.

            Dari sudut logik akal jika Rasulullah saw seorang berbangsa Arab dan al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, maka tidak perlu lagi Rasulullah saw untuk bertadarus dengan Jibril.  Ini menunjukkan jika Nabi saw seorang berbangsa Arab masih menyemak bacaan al-Quran apatah lagi umatnya yang bukan berbangsa Arab, lagi-lagilah mereka perlu menyemak bacaan al-Quran melalui amalan tadarus.  

            Kenapa kita perlu bertadarus ? Sebab kita tidak mahu menjadi orang yang dilaknat oleh  al-Quran sebagaimana sabda baginda saw,

            “Berapa ramai yang membaca al-Quran, tetapi al-Quran itu melaknatnya”.

            Siapakah golongan yang dilaknat oleh al-Quran ? Tidak lain antaranya ialah mereka yang membaca al-Quran tetapi tidak mengikut hukum tajwid atau membacanya secara lintang pukang.  Bayangkan jika orang yang membaca al-Quran pun di laknat kerana membacanya secara semborono, apatah lagi mereka yang langsung tidak membaca al-Quran dan tidak mengambil iktibar dari pengajaran yang terkandung di dalamnya. .

            Hal ini sama seperti orang yang sembahyang tetapi masuk neraka Wail. Firman Allah SWT,

            “Maka neraka Wail lah (balasannya) bagi orang yang sembahyang. Iaitu mereka yang berkeadaan lalai daripada menunaikan sembahyang.(Al ma’un : ayat 4- 5)

            Siapakah yang dimaksud oleh Allah SWT orang yang sembahyang tetapi masuk neraka Wail ? Iaitu mereka yang sembahyang tetapi tidak melakukan rukun-rukun solat dengan sempurna, bermain-main ketika solat, tidak melakukan tomakninah atau mengerjakan solat secara ‘touch and go’.

            Dalam erti kata lain sekiranya orang yang mendirikan solat juga boleh tergelincir masuk ke neraka Wail, apatah lagi orang yang tidak sembahyang,

            Seterusnya dalam sebuah hadis yang lain seperti yang diceritakan oleh Fatimah az-Zahra,

            “Sesungguhnya Jibril datang kepada Rasulullah untuk memperdengarkan bacaannya kepada Rasulullah setiap tahun sekali (di bulan Ramadhan). Dan Jibril telah melaksanakan yang demikian pada tahun Nabi wafat, dua kali”.

            Pengajaran di sini ialah semakin dekat seseorang itu dengan usia kematian, maka semakin dekat dirinya dengan al-Quran yakni  semakin banyak membacanya bukan semakin menjauhi diri daripada Al-Quran.

            Dalam sebuah hadis,

            “ Barangsiapa membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, (maka) kedua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari Pengadilan yang sinarannya lebih terang daripada cahaya matahari sekiranya matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini ”. (HR Abu Daud dan Ahmad)

            Berdarkan hadis ini jika kita kasih kepada ibu bapa maka hendaklah membaca al-Quran dan mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya.

            Dari Aisyah r.a katanya, sabda Rasulullah saw : “Seseorang yang membaca al-Quran sedang dia mahir dalam membacanya, bersamanya malaikat utusan Allah yang baik. Dan orang yang membaca al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap (berkeadaan payah), maka baginya dua pahala”. (HR Muslim)

            Maksudnya orang yang membaca al-Quran dalam keadaan fasih dan lancar mereka dijanjikan akan duduk bersama-sama dengan para malaikat yang mulia, manakala mereka yang membaca al-Quran dengan bersusah payah, tergagap-gagap dijanjikan kepadanya dua pahala. Iaitu pahala membaca al-Quran dan satu lagi pahala ialah kerana kesungguhannya dia untuk membaca al-Quran.

Wallahualam.                

Kuliah Subuh Masjid Sikamat
30 hb Julai 2012 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.