Tuesday, July 31, 2012

"Menanti di pintu Baqi'..." : Niat Haji Ifrad


Episod 5 : Niat Haji Ifrad

Dato’ Hashim meletakkan perakam suara di atas meja untuk merekod penerangan yang bakal disampaikan oleh Ust Hj Abdullah. Manakala Datin Hasnah duduk di sofa sambil memasang telinga.

“Mana-mana jemaah yang mahu mengerjakan Haji Ifrad, ketika masuk ke Mekah  hendaklah berniat mengerjakan Haji dahulu. Kemudian setelah selesai mengerjakan Haji maka jemaah dikehendaki mengerjakan Umrah pula. Cara ini tidak dikenakan dam sekiranya umrah itu dilaksanakan pada tahun yang sama”, jelas Ust Haji Abdullah.  

 “Oh ya Ustaz…, Macam kami yang akan terus ke Mekah, di mana kami perlu berniat Ustaz ?”, tanya Dato’ Hashim. Sebenarnya dia sudah tahu jawapannya, tapi oleh kerana mahu mengukuhkan lagi kefahaman, dia mengajukan solan ini kepada Ust Haji Abdullah.

Datin Hasnah terus memasang telinga.

“ Seseorang yang hendak mengerjakan Haji Ifrad dia perlu berniat ihram di miqat yang ditentukan. Bagi jemaah Haji Malaysia tempat untuk berniat (bermiqat) ada dua. Pertama di Bir Ali iaitu bagi jemaah Haji yang masuk ke Mekah melalaui Madinah. Kedua ialah di Qarnul Manazil iaitu bagi jemaah yang datang dari KLIA terus ke Mekah melalui Jeddah seperti Dato’ dan Datin”, jelas  Ust Haji Abdullah.

 “Mengenai niatnya pula ‘ Nawaitul Hajja Wa Ahram tu Bihi Lillahi Taala. Kalau seseorang itu tidak boleh berniat dalam bahasa Arab, dia boleh berniat dalam bahasa Melayu. ‘Sahaja aku mengerjakan Haji dan berihram dengannya kerana Allah Taala’”, terang Ust Haji Abdullah.

 “Tetapi…, Dato dan Datin perlu ingat….”, sambung Ust Haji Abdullah.

 “Yang penting dan wajib ialah berniat di dalam hati. Ada pun melafazkan niat itu hukumnya sunat sahaja”, kata Ust Haji Abdullah.

 Dato’ Hashim memandang isterinya. Dia mahu Datin Hasnah sama-sama faham dengan penerangan yang disampaikan oleh Ust Haji Abdullah.

“Awak tak ada soalan nak tanya Ustaz…”?, kata Dato’ Hashim kepada Datin Hasnah.

 “Ustaz.., sebelum kita berniat, ada tak apa-apa yang perlu kita lakukan ?”, tanya Datin Hasnah.

 “Ada…..”, Ust Haji Abdullah menghirup air kopi sebelum menyambung penerangannya.

Bersambung….   

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.