Tuesday, July 24, 2012

Tazkirah Ramadhan : Azab kubur



            Bulan Ramadhan datang lagi. Setiap kali datangnya bulan ini, maka akan bertambahlah umur kita sekaligus mendekatkan diri kita dengan kematian.

Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia, tidak kira dia  mukmin atau kafir, mereka pasti akan menempعhi alam barzakh aatau juga dikenali sebagai alam kubur. Di sana manusia akan terbahagi kepada dua sama ada mereka menerima nikmat atau azab sengsara. 

Menyentuh tentang azab kubur, maka hendaklah kita yakini bahawa ia adalah benar. Sehingga Nabi saw sering berdoa,

أعوذ بالله من عذاب القبر

Maksudnya : Aku mohon berlindung dengan Allah daripada azab kubur.

Bagi orang kafir sudah tentu mereka akan diazab dengan azab yang sengsara disebabkan kekufuran mereka.

Sabda Rasulullah saw,  

يهود تعذب في قبورها عذابا تسمعه البهائم

Maksudnya : Orang Yahudi diseksa dalam kubur dengan seksaan yang didengar oleh binatang. (HR Muslim)

Dalam sebuah lagi hadis ,

فيضربه بها ضربة يسمعها ما بين المشرق والمغرب إلا الثقلين فيصير ترابا ثم يعاد فيه الروح

Maksudnya : Maka dipukulnya dengan pukulan yang didengar di antara timur dan barat kecuali manusia dan jin, lalu ia menjadi debu dan dikembalikan roh kepadanya. (HR Abu Daud)

Imam Bukhari telah meriwayatkan sepotong hadis yang berbunyi,

اذا وضعت الجنازة واحتملها الرجال على أعناقهم فان كانت صالحة  قالت : قدمونى
 وان كانت غير صالحة قالت لأهلها : يا ويلها أين يذهبون بها ؟ يسمع صوتها كل شىء الا الانسان , ولو سمع الانسان لصعق

Maksudnya : Apabila mayat telah diletakkan dalam keranda dan dipikul oleh kaum lelaki di atas bahu mereka, jika ia seorang yang soleh ia akan berkata bawalah aku (segera) dan jika ia bukan orang yang soleh ia berkata kepada ahli keluarganya : Wahai celakanya ! kemanakah kamu hendak membawaku ? Suaranya didengar oleh segala sesuatu melainkan manusia. Dan sekiranya di dengari oleh manusia nescaya akan  pengsan.

Sungguhpun begitu terdapat orang yang dikecualikan daripada azab kubur, Antara mereka ialah golongan yang mati syahid.  Sabda Rasulullah saw,

       Semua orang yang meninggal dunia akan terputus amalnnya kecuali mereka yang bersiap sedia membela agama Allah (sehingga mati syahid) Amalnya itu akan terus tumbuh sehingga hari Qiamat serta aman daripada dua fitnah kubur.

Menurut Imam al-Qurthubi dan As-Sayuti orang yang mati syahid akhirat juga terlepas daripada seksaan kubur. Berkata Syeikh Luqani dan Syekh Abdus Salam dalam Syarah Ithaf al-Murid: Telah warid daripada Nabi saw, bahawa terdapat 40 jenis orang yang dikecualikan daripada fitnah kubur. Di antaranya :

 Orang yang mati di dalam menuntut ilmu syar’ie, orang yang mati dalam keadaan bermusafir kerana tujuan yang baik, orang yang mati kerana diterkam binatang yang buas atau digigit oleh binatang yang beracun, orang yang mati kerana taun, orang yang mati kerana tenggelam (lemas), orang yang mati terbakar, orang yang mati dihempap oleh runtuhan, perempuan yang mati kerana besalin, orang yanag mati kekal seumur hidup melakukan solat Dhuha, orang yang mati kekal mengamalkan puasa tiga hari tiap-tiap bulan, orang yang mati ketika menerima amanah di muka bumi iaitu matinya para ulama, orang yang mati kerana mempertahanka nyawa, orang yang mati kerana mempertahankan harta, orang yang mati kerana mempertahankan keluarga dan orang yang mati dalam keadaan sentiasa berwudhuk.  

  Selain itu ialah mereka yang sering membaca surah al-Mulk pada setiap malam sebelum tidur. Terdapat hadis sohih yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi , Ibnu Majah dan ramai lagi yang menjelaskan kelebihan membaca surah Al-Mulk. Hadisnya berbunyi,

أن سورة ثلاثين أية شفعت فى صاحبها حتى غفرله تبارك الذى بيده الملك وينجى من عذاب القبر

Maksudnya : Sesungguhnya terdapat surah yang mengandungi tiga puluh ayat yang memberi  syafaat kepada pembacanya sehingga diampunkan dosanya “ Maha Berkat Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) ”. Dan ia menyelamatkan dari azab kubur.

Daripada Ibnu Mas’ud r.a, Nabi saw bersabda :

Barangsiapa yang membaca  Tabarakal Lazi biyadihi Mulku …. Pada tiap-tiap malam, nescaya Allah akan memeliharanya dengan berkah surah ini daripada azab kubur.

Selain surah al-Mulk, mereka  yang beramal dengan surah al-Ikhlas juga  akan bebas daripada azab kubur.  Sabda Rasulullah saw,

من قرأ قل هو الله أحد فى مرضه الذى يموت فيه لم يفتن في قبره وأمن من ضغطة القبر وحملته الملائكة بأكفها حتى يجيزه من الصراط الى الجنة

Maksudnya : Barangsiapa yang membaca Qulhuwallahua Ahad dalam masa sakitnya yang membawa kepada kematiannya, nescaya dia terlepas daripada fitnah kubur, aman dari himpitan kubur dan malaikat pula membawanya dengan tapak tangannya sehinggalah dia berjaya melintasi jambatan As-Sirath ke Syurga.

            Mereka yang meninggal dunia pada hari Jumaat atau malamnya juga terlepas daripada fitnah kubur. Sabda Nabi saw,

عن عبدالله بن عمرو قال,  قال رسول الله (ص) ما من مسلم يموت يوم الجمعة
أو ليلة الجمعة الا وقاه الله فتنة القبر

Maksudnya :  Daripada Abdullah bin ‘Amru katanya, telah bersabda Rasulullah saw : Tidaklah sesiapa di kalangan orang Islam yang mati pada hari Jumaat atau malamnya melainkan dipelihara oleh Allah daripada fitnah kubur.

            Selain daripada itu ialah mereka yang sentiasa mengekalkan wuduk. Hal ini sabit dengan keterangan sebuah hadis di mana Rasulullah  saw bersabda,   

             “Pada malam ini aku melihat satu keajaiban; aku melihat seorang lelaki dari kalangan umatku yag diseksa di dalam kuburnya. Maka datang amalan wuduknya dan menyelamatkannya dari azab kubur.” (HR Tabrani)

            Dan yang seterusnya ialah mereka yang beristinjak dengan bersih apabila selesai daripada membuang air kecil serta tidak mengadu domba.

إنهما يعذبان وما يعذبان فى كبير أما أحدهما فكان لا يستبرئ من البول ويروى : لا يستنزه من البول وأما الأخر فكان يمشى بالنميمة ثم أخذ جريدة رطبة قشقها نصفين ثم غرز فى كل قبر واحدة وقال لعله يخفف عنهما ما لم ييبسا

Maksudnya : Sesungguhnya dua penghuni kubur ini sedang diseksa dan keduanya tidaklah diseksa disebabkan dosa besar, ada pun salah seorang daripadanya kerana dia tidak membersihkan air kencingnya. Dan yang seorang lagi maka dia suka mengadu domba. Kemudian baginda saw mengambil pelepah tamar yang basah lalu dibelah dua kemudian dipacakkan pada setiap kubur dan bersabda : Semoga pelepah ini akan meringankan seksaan kedua orang ini selama mana ia belum kering. (HR Bukhari)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.