Indahnya Ramadhan


Alif (tengah) anak YAB MB Terengganu

Bulan Ramadhan bulan yang banyak memberi erti dalam kehidupan saya.

Enam belas tahun dulu, di bulan yang penuh berkat ini saya melamar seorang gadis yang bernama Zaharatol Jannnah bt Mohd Abd Rahman sebagai isteri.

Ketika itu kami sama-sama belajar di Fakulti Pengajian Islam UKM sebelum masing-masing membawa haluan di tahun 3, di mana beliau mengambil bidang Al-Quran dan As-Sunnah manakala saya lebih fokus di bidang Pengajian Dakwah dan Kepimpinan.

Di bilik Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam, bersaksikan rakan-rakan terdekat serta berlandaskan syariat saya berkata,

“ Saya ingin mengambil awak sebagai isteri saya”.

“Nantilah dulu, saya tanya keluarga saya”, jawab si gadis sambil tersipu-sipu.

Hari ini gadis yang dilamar sudah pun menjadi isteri dan ibu kepada anak-anak saya seramai lima orang.

Alhamdulillah.

Justeru setiap kali bulan Ramadhan tiba, kami akan tersenyum mengenang nostalgia lama.

Ramadhan tahun ini

Ramadhan tahun ini sama seperti Ramadhan tahun-tahun sebelumnya.

Selepas berbuka, saya akan segera ke Kolej Tuanku Jaafar untuk mendirikan solat Terawih bersama para pelajar.


Menuju ke Surau

Dalam seminggu saya akan memperuntukkan 3 atau 4 malam bersama mereka. Selebihnya saya akan berterawih di surau yang berhampiran atau memenuhi undangan menyampaikan tazkirah di surau dan masjid sekitar Seremban.

Perkembangan buku

Alhamdulillah surat perjanjian antara saya dengan pihak penerbit sudah pun di terima melalui email.

Minggu depan saya bercadang untuk menghantarnya secara pos.

Saya diberitahu oleh wakil PTS, buku saya dikategorikan sebagai 'projek khas' yang tidak perlu menunggu giliran untuk diterbitkan.

Dengan kata lain pihak penerbit akan menerbit dan mengedarkannya secepat yang mungkin.

Syukur, ini satu lagi anugerah yang Allah SWT berikan kepada saya.

Sebidang tanah

Bulan lepas, saya ke Pejabat Peguam menguruskan pembelian sebidang tanah di Lot 15407 Taman Perwira untuk dijadikan milik keluarga.Lokasinya berhadapan dengan rumah Pakcik Yazid, tukang masak terkenal di Taman Perwira.


Mak di hadapan tanah milik keluarga

Semua adik beradik bermuafakat untuk meletakkan nama kakak saya Norifah bt Mansor sebagai penama dan pemilik tanah ini.

Insya Allah, tanah ini akan kami jadikan kebun dan menanam pokok buah-buahan.

Kami juga akan mendirikan sebuah pondok untuk adik beradik dan anak-anak saudara bersantai sambil menikmati buah-buahan yang segar.


Sudah mula tanam pokok

Kami berdoa kepada Allah semoga keharmonian dan permuafakatan adik beradik akan kekal selama-lamanya sepanjang hayat.

Naluri seorang ibu …”Engkau anak yang benar”.

Ketika berkunjung ke rumah mak di Taman Perwira baru-baru ini, saya menceritakan kepada mak apa yang saya lalui sejak dua bulan yang lepas.

Kata mak,

“Mak tahu …, kau benar. Kawan-kawan mak di Taman Perwira pun tahu siapa yang benar dan siapa yang salah. Kalau kau salah sudah tentu Allah SWT akan tutup pintu rezeki engkau”, jawab mak ceria.

Terima kasih mak.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu