Ramadan, bulan turunnya Al-Quran



Tafsir Al-Quran
Surah Al-Baqarah ayat 185


“Bulan Ramadan bulan yang diturunkan padanyaAl-Quran, yang menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan beberapa keterangan yang membawa kepada pertunjuk dan membezakan di antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (185)

Huraian ayat

“ Bulan Ramadan bulan yang diturunkan padanyaAl-Quran, yang menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan beberapa keterangan yang membawa kepada pertunjuk dan membezakan di antara yang benar dengan yang salah…”.

Ayat ini menjelaskan bahawa Al-Quran itu diturunkan kepada Nabi Muhammad saw di bulan Ramadhan untuk menjadi pertunjuk kepada manusia membezakan antara hak dan yang batil. Para ulama membahagikan penurunan Al-Quran terbahagi kepada dua peringkat.

Peringkat pertama diturunkan Al-Quran itu sekaligus dari Lauh al-Mahfuz (langit ketujuh) ke Baitul Izzah (di langit dunia) pada malam Lailatul Qadr iaitu malam yang penuh barakah di dalam bulan Ramadhan.

Inilah yang difahami dari firman Allah SWT,

“Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam yang diberkati”. (surah al-Dukhan: 3)

Firman Allah s.w.t. lagi dalam surah Al-Qadr ayat 1,

“Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr”. (1)

Peringkat kedua ialah dari Baitul Izzah, Al-Quran di bawa oleh Jibril kepada Nabi Muhammad saw secara beransur-ansur selama 23 tahun.

Adalah digalakkan umat Islam bertadrus Al-Quran pada bulan ini. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Saidatina Fatimah r.anha berkata:

“Sesungguhnya Jibril datang kepada Rasulullah untuk memperdengarkan bacaannya kepada Rasulullah setiap tahun sekali. Dan Jibril telah melaksanakan yang demikian pada tahun Nabi wafat, dua kali”.

Objektif bertadarus bukanlah untuk khatam kerana tujuan asal bertadarus itu ialah untuk memperelok dan menyemak kembali bacaan. Justeru bacalah Al-Quran dengan tenang, tertib dan tidak tergesa-gesa.

Firman-Nya lagi,

“….Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan maka hendaklah ia berpuasa bulan itu…”

Dalam menentukan awal bulan Ramadhan hendaklah melihat kepada anak bulan. Untuk melihat anak bulan perlulah kepada ilmu. Maka dalam hal ini hendaklah kita rujuk kepada mereka yang pakar dalam bidang ilmu falak .

Mungkin ada yang bertanya mengapa umat Islam di seluruh dunia tidak boleh menyambut bulan Ramadhan dalam masa yang serentak. Jawapannya ialah kerana kedudukan geografi dan iklim setiap negara adalah berbeza.

Ketika di negara kita siang, di negara lain mungkin malam. Samalah seperti jadual waktu solat yang berbeza mengikut tempat. Hikmahnya tidak lain supaya kalimah azan akan berkumandang di seluruh dunia 24 jam tanpa henti.

Firman Allah SWT,

“…. dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain..”.

Ayat ini adalah ulangan pada ayat 184 tadi. Firman Allah SWT seterusnya,

“….Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran…”

Ayat ini menjelaskan segala hukum hakam yang terdapat di dalam Al-Quran tidak pernah menyusahkan mana-mana hamba-Nya. Ada masa-masa tertentu umat Islam diberi pengecualian untuk melaksanakannya.

Firman Allah SWT dihujung ayat 185,

“…Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur ”

Maksudnya jika anak bulan Syawal tidak kelihatan, maka hendaklah dicukupkan bilangan hari di bulan Ramadhan itu sebanyak 30 hari. Kemudian pada 1 Syawal hendaklah membesarkan Allah SWT dengan membanyakkan takbir sebagai tanda kemenangan melawan hawa nafsu.

Dengan kemenangan ini kita akan menjadi umat yang bersyukur kepada Allah SWT.

Wallahualam.


Kuliah Subuh
Masjid Negeri Seremban
1.8.2010

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu