Kisah wanita bakhil
Dalam sepotong hadis daripada Aisyah r.anha menceritakan,
Ada seorang wanita telah datang kepada Rasulullah saw sedangkan tangan kanannya dalam keadaan lumpuh. Wanita itu berkata, “Ya Rasulullah sudilah kiranya kalau engkau mohon kepada Allah agar disembuhkan tanganku yang lumpuh ini”.
Maka Nabi saw bertanya, “Wahai perempuan apakah yang menyebabkan tangan kananmu lumpuh ?”
Wanita itu menceritakan, “Ya Rasulullah pada satu malam aku bermimpi seolah-olah neraka Jahim telah menyala-nyala dan syurga telah sedia terbuka di hadapanku. Aku melihat ibuku berada dalam neraka sedangkan di tangannya terdapat sepotong lemak dan di tangannya yang sebelah lagi memegang kain lap. Dengan lemak dan kain lap itulah ibuku menahan kepanasan daripada bahang api neraka".
"Aku pun bertanya kepada ibu : Wahai ibu, mengapa ibu dalam keadaan begini ? Bukankah semasa di dunia dahulu ibu adalah seorang yang taat kepada perintah Allah dan ibu juga seorang yang berbuat baik kepada ayah dan ayah pun telah redha dengan kebaikan ibu ?”
Jawab ibuku : “ Wahai anakku aku diseksa dalam neraka ini kerana aku semasa di dunia dahulu seorang yang sangat bakhil ”.
Aku pun bertanya lagi : “ Wahai ibu apakah ertinya lemak dan kain lap pada tangan ibu itu ?” Ibuku menjawab : “ Wahai anakku seumur hidup aku tidak pernah bersedekah melainkan inilah dua barang yang pernah aku sedekahkan kepada orang”.
Aku pun bertanya lagi : “ Wahai ibu dimanakah ayah ?” Ibuku menjawab : “Wahai anakku ayahmu sekarang tinggal bersama-sama orang yang dermawan kerana semasa di dunia dahulu dia sangat dermawan”.
Maka aku pun datang kesyurga untuk melihat ayahku dan ternyata ayah sedang berdiri di telaga Kauthar sedang memberi minum kepada orang ramai yang dahaga.
Aku berkata kepada ayah : “Wahai ayah sesungguhnya ibu yang juga isteri ayah seorang yang taat kepada perintah Tuhannya, manakala ayah pun telah redha di atas kebaikannya. Tahukah ayah yang ibu sekarang ini sedang hangus di bakar dalam neraka ? Wahai ayah berilah sedikit air minuman itu kepada ibu .”
Kata ayahku : “ Wahai anakku, sesungguhnya Allah Taala telah mengharamkan orang-orang yang bakhil dan orang-orang yang berdosa dari mendekati telaga ini”.
Aku pun dengan tanpa izin ayahku terus mengambil air dari telaga itu lalu aku berikan kepada ibuku yang kehausan dalam neraka. Tiba-tiba ada suara yang berkata : “Mudah-mudahan Allah melumpuhkan tanganmu kerana engkau telah memberi minum air telaga Nabi saw kepada orang yang bakhil”.
“Maka aku pun terbangun dari tidur dan ternyata tanganku lumpuh seperti ini ya Rasulullah .”
Kata Aisyah r.aanha setelah Nabi saw mendengar cerita dari perempuan tersebut maka Nabi saw meletakkan tongkatnya pada tangan wanita itu sambil berdoa : “Wahai Tuhanku , melalui kebenaran mimpi yang diceritakan oleh perempuan ini maka sembuhkanlah tangannya".
Maka tangannya menjadi sembuh seperti sedia kala.
Moral kisah
1. Jadilah orang yang pemurah dan bersama dengan orang yang pemurah
2. Jangan jadi orang yang bakhil dan bersama dengan orang yang bakhil
Tazkirah Ramadhan,
Di Surau At-Taufiqiyah Pinggiran Senawang.
22.8.2010
Comments
Post a Comment