Catatan hari ini : Sepanjang Kursus Haji Perdana 1431 H
Dari kiri wakil USIM, saya dan dua orang Guru Pembimbing Ibadah Haji yang senior iaitu Ust Muslal dan Ust Dato' Haji Arshad
Syukur Alhamdulillah, kursus Haji Perdana 1431H di stadium tertutup Nilai pada 2 dan 3 hb Oktober 2010, telah berjaya berjalan dengan lancar.
Ini merupakan tugas pertama saya sebagai Guru Pembimbing Ibadah Haji yang paling junior di kalangan Guru-Guru Pembimbing Ibadah haji yang lain.
Sebagai orang baru, tentulah saya merasa bimbang, risau dan takut jika gagal melaksanakan tanggungjawab seperti yang diharapkan.
Apa pun ia adalah satu pengalaman yang cukup bernilai buat saya. Banyak perkara yang saya belajar sepanjang memimpin bakal-bakal tetamu Allah yang mulia ini.
Justeru sekali lagi saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan merasa amat terhutang budi kepada Lembaga Tabung Haji Negeri Sembilan di atas kepercayaan dan amanah yang diberi.
Peserta memberi komitmen yang baik
Pada pengamatan saya, boleh dikatakan semua bakal jemaah Haji dari seluruh Negeri Sembilan sangat berdisplin, mematuhi arahan dan memberi komitmen yang cemerlang sepanjang kursus ini berlangsung.
“Saya kira kursus Haji Perdana tahun ini adalah yang terbaik”, kata seoraang Pegawai Tabung Haji dari daerah Bahau kepada saya.
Bakal jemaah Haji mendengar arahan dari Ust Nor Azamir (Ketua Guru Pembimbing Ibadah Haji)
Saya mendoakan bakal-bakal jemaah haji pergi ke tanah suci dengan selamat dan balik semula ke tanah air dengan selamat.
Semoga mereka semua mendapat Haji yang mabrur. Insya Allah.
Dato’ Mohd Yunus bin Rahmat (Exco Kerajaan Negeri)
Seramai hampir 1200 jemaah telah dibahagikan kepada 3 maktab. Saya diberi amanah untuk memimpin maktab 2 yang terdiri dari bakal-bakal jemaah haji dari Jelebu, Rembau, Tampin dan Port Dickson.
Dato' Mohd Yunus bin Rahmat (Baju biru), Exco Kerajaan Negeri
Sesuatu yang menarik mengenai maktab yang saya pimpin ialah adanya seorang VIP iaitu Dato’ Mohd Yunus bin Rahmat, Exco Kerajaan Negeri Sembilan.
Pada mulanya saya merasa cuak untuk memimpin VIP ini. Namun sikapnya yang ramah dan low profile menjadikan saya tidak kekok memimpinnya.
Bakal-bakal jemaah Haji dari Maktab 2 sedang bersiap untuk melakukan lontaran Jamratul Aqabah
Dia akur, patuh dan taat apa sahaja arahan yang keluar dari mulut saya.
“Tuan-tuan dan puan sekalian, syukur kita telah pun berada di Mina. Saya minta tuan-tuan dan puan-puan duduk bersila di lantai dan anggaplah sekarang tuan-tuan dan puan-puan sedang berada di dalam khemah. Sebentar lagi petugas-petugas Tabung Haji akan memaklumkan kepada tuan-tuan masa untuk berangkat ke Jamrah untuk melakukan lontaran pada hari ke 11 Zulhijjah”, saya memberi arahan.
Saya melihat Dato’ Mohd Yunus Rahmat dan isterinya akur lalu duduk bersila di lantai.
Bermacam soal jawab dari bakal-bakal Haji
Berikut adalah soalan-soalan yang ditanya oleh bakal-bakal jemaah Haji Maktab 2.
“Ustaz, kalau kita kutip batu lebih dari 70 biji di Muzdalifah boleh tak?”, tanya seorang bakal jemaah Haji yang agak muda usianya.
Suasana ketika Qiamullail
“Boleh, tak ada masaalah. Tapi yang sunatnya kutip hanya 7 biji batu sahaja untuk melontar Jamratul Aqabah pada keesokkan harinya. Batu yang selebihnya tuan-tuan boleh kutip di Mina nanti", kata saya.
“Ustaz, semasa tawaf nanti boleh ke kita jinjing selipar dalam uncang?”, tanya seorang bakal jemaah haji wanita.
“Boleh, tuan-tuan dan puan-puan boleh menjinjing selipar dalam uncang, namun pastikan selipar itu tidak mengandungi najis”, jawab saya.
“Ustaz, perlu ke kita bergunting selepas selesai Saie Haji”, tanya seorang bakal jemaah Haji yang agak senior umurnya. Ketika itu praktikal Saei baru sahaja selesai.
“Tidak perlu, kerana tuan-tuan sudah pun bergunting setelah melontar Jamratul Aqabah pada 10 Zulhijjah yang lalu”, jawab saya.
Namun ada juga soalan yang saya tidak boleh jawab seperti,
Sebahagian bakal jemaah Haji wanita di majlis penutup
“Ustaz, bilakah tarikh penerbangan saya ke tanah suci ? Sehingga sekarang saya masih belum menerima apa-apa maklumat dari Tabung Haji ?”, tanya seorang Pakcik yang kelihatan terlalu excited untuk ke Mekah.
“Minta maaf, saya tidak boleh menjawab soalan ini kerana urusan jadual penerbangan tuan-tuan dan puan-puan diuruskan oleh Tabung Haji. Sebelum berangkat ke tanah suci banyak-banyakkan bertenang dan bersabar”, respon saya.
Demikianlah sebahagian daripada soalan-soalan yang saya terima dari bakal-bakal jemaah Haji dari maktab 2.
Majlis penutup
Pukul 10.38 minit pagi, Ahad (3hb Oktober 2010) YAB Menteri Besar Negeri Sembilan hadir untuk Majlis Perasmian Penutup.
Sebelum bersurai Tuan Haji Ishak bin Itam Penyelia Pentadbiran Tabung Haji Negeri Sembilan mengingatkan saya,
"Ustaz hari Selasa nanti(5hb Oktober 2010) jemput datang ke Tabung Haji Seremban untuk jamuan Hari Raya. Jangan lupa pula..."
"Insya Allah", jawab saya.
Wallahualam.
Comments
Post a Comment