Kisah dua beradik
Gempa bumi
Di zaman dahulu ada dua orang adik beradik. Si abang seorang yang rajin beribadat, sangat dikasihi oleh keluarga dan masyarakat, manakala adik pula seorang yang kaki maksiat, dibenci oleh keluarga dan juga masyarakat.
Satu hari Syaitan membisikkan kepada hati abang,
“Pergilah buat maksiat, selepas itu engkau bertaubatlah kepada Allah SWT nescaya Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Pengasih”.
Hasutan syaitan ini membuatkan hati abang berkata,
“Betul juga... Kenapa aku tidak sesekali menghiburkan diri? Bukankah hidup ini hanya sekali sahaja. Baiklah.., malam nanti aku bercadang untuk ke rumah pelacuran mahu bersuka ria dan bersenang-lenang dengan wanita-wanita cantik bersama dengan adikku. Bila dah puas berhibur, aku akan pulang ke rumah dan bertaubat kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT Pengampun lagi Maha Pengasih".
Manakala adiknya di rumah pelacuran pula dalam masa yang sama berfikir,
“Sudah bertahun-tahun aku hidup bergelumang dengan dosa. Apakah aku akan terus hidup dengan maksiat begini? Sudahlah keluarga membenciku kerana perbuatanku, malah masyarakat juga menyisihku kerana kejahatanku. Kenapa aku tidak mencuba hidup seperti abangku ? Bagaimanakah keadaanku bila mati kelak ? Kalau beginilah keadaanku, sudah tentu aku dihumban ke neraka, sedangkan abangku akan bersenang lenang di dalam syurga. Selepas Maghrib nanti aku bercadang untuk bertemu dengan abangku di Masjid untuk beribadat bersama-sama dengannya".
Malam itu selepas Maghrib…
Si abang pergi ke rumah pelacuran mencari adiknya untuk berhibur bersama, manakala adiknya pula pergi ke masjid mencari abangnya untuk beribdat bersama. Jalan yang diambil oleh kedua adik beradik ini tidak sama, menyebabkan mereka tidak berjumpa di tengah jalan.
Sampai di rumah pelacuran, abang pun mencari adiknya. Namun tidak ada. Orang ramai yang berada di rumah pelacuran itu pun tidak tahu ke mana adiknya pergi. Walaupun tidak bertemu adiknya, si abang tetap meneruskan hajatnya untuk berhibur dan melempiaskan nafsu syahwatnya dengan perempuan-perempuan cantik.
Adiknya pula bila sampai di masjid, mencari-cari abangnya, namun tidak berjumpa. Meskipun tidak berjumpa, adiknya telah nekad untuk melakukan solat taubat dan beristighfar sebanyak-banyaknya.
Tiba-tiba ….
Negeri tersebut berlaku gempa bumi.
Orang ramai bertempiaran lari termasuklah mereka yang berada di dalam masjid. Namun si adik tetap khusyuk dengan istighfarnya kepada Allah sehingga tidak sedar apa yang berlaku di sekelilingnya. Manakala si abang pula sedang hanyut dengan arak dan perempuan sehingga tidak sedar gempa bumi yang melanda kuat. Akibat gempa bumi itu, banyak bangunan yang runtuh termasuklah masjid dan rumah perlacuran.
Keesokkan harinya...
Setelah keadaan reda, orang ramai pun mencari mayat saudara mara yang hilang dan terkorban. Alangkah terperanjatnya mereka apabila melihat mayat si adik yang selama ini bergelumang dengan dosa ditemui mati dalam masjid, keadaannya sedang mendakap Al-Quran. Manakala mayat abangnya pula ditemui mati di rumah perlacuran dalam keadaan bertelanjang, sedang mendakap seorang pelacur.
Orang ramai yang melihat keadaan ini menangis. Meraka tidak henti-henti berfikir, bagaimana orang yang selama ini dikenali sebagai ahli ibadah tetapi boleh mati dengan cara yang sedemikian kejinya. Sedangkan si adik yang selama ini dikenali sebagai ahli maksiat boleh mati dalam husnul khatimah.
Pengajaran
Dengan peristiwa ini dapatlah masyarakat pengajaran, bahawa kematian boleh datang bila-bila masa. Hanya Allah SWT sahaja Maha Mengetahui. Sebagai orang yang beriman hendaklah kita bersiap sedia sentiasa…. Dan janganlah sekali-kali menurut kehendak hawa nafsu…
Comments
Post a Comment