Segalanya bermula dengan niat






















Sabda Rasulullah saw,

إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى. فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله, فهجرته إلى الله ورسوله . ومن كانت هجرته لدنيا يصيببها أو امرأة ينكحها , فهجرته إلى ما هجر إليه

Maksudnya : "Segala amalan itu bergantung dengan niatnya. Dan tiap-tiap seorang akan mendapat sekadar apa yang diniatkannya. Barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya maka hijrahnya kerana Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia serta ingin memperolehinya, atau pun berhijrah kerana seorang perempuan yang ia ingin nikahinya maka hijrahnya itu adalah (mengikut) apa yang ia (niat) berhijrah kerananya". (HR Bukhari & Muslim)

Huraian

“Segala amalan itu bergantung dengan niatnya….

Yang dimaksudkan dengan niat ialah maksud atau tujuan untuk melakukan sesuatu perkara yang datangnya dari hati manusia. Menurut istilah syarak niat itu ialah maksud atau tujuan untuk melakukan sesuatu ibadat, kemudian terus mengamalkannya dengan sempurna serentak semasa meniatkannya.

Adapun niat itu ada tujuh perkara :

1. Hakikat niat : Iaitu mengkasadkan untuk membuat sesuatu amalan dan terus membuatnya serentak ketika berniat. Maka dapatlah seseorang itu dua pahala, iaitu pahala berniat melakukan kebaikan dan pahala ketika melakukan kebaikan. Tetapi jika dia hanya berniat untuk melakukan kebaikan, namun tidak dapat melakukannya kerana halangan-halangan tertentu maka dia hanya dapat satu pahala, iaitu pahala berniat untuk melakukan kebaikan sahaja. Inilah yang dimaksudkan dalam sebuah lagi hadis,

“Barangsiapa keluar mengerjakan haji lalu mati, ditulis baginya pahala orang yang mengerjakan haji sehingga hari Qiamat. Barangsiapa keluar mengerjakan umrah kemudian mati, ditulis baginya pahala orang yang mengerjakan umrah sehingga hari Qiamat. Dan sesiapa keluar berperang di jalan Allah kemudian ia mati, ditulis baginya pahala orang yang berperang sehingga hari Qiamat.”

Begitu jika seseorang itu berniat untuk melakukan kejahatan, maka ketika hendak melakukan kejahatan, tiba-tiba tidak jadi melakukannya kerana merasa takut kepada Allah SWT, maka dia mendapat pahala kerana tidak meneruskan perbuatan jahat tersebut.

Namun jika seseorang berniat hendak melakukan kejahatan dan kemudian terus melaksanakan kejahatan tersebut maka, maka dia mendapat dosa kerana kejahatan yang dilakukannya itu.

Walaubagaimana pun dosa ini Allah SWT akan ampunkan sekiranya dia bertaubat kepada-Nya. Sabda Rasulullah saw,

التائب من الذنب كمن لا ذنب له

Maksudnya : "Orang yang bertaubat dari dosanya sama seperti orang yang tidak berdosa lagi".

2. Hukum berniat : Dalam melaksanakan sesuatu amal ibadah, maka hukum berniat adalah wajib.

3. Tempat niat : Iaitu di dalam hati, manakala melafaznya hanyalah sunat sahaja.

4. Masa niat : Iaitu pada ketika hendak memulakan sesuatu ibadat.

5. Cara niat : Ialah menurut jenis-jenis ibadat yang dilakukan

6. Syarat niat : Hendaklah orang yang berniat itu orang Islam, Mumaiyiz dan mengerti apa yang diniatkannya.

7. Maksud niat : Ialah untuk membezakan antara amalan yang merupakan ibadat atau amalan yang dilakukan sebagai perbuatan biasa. Sebagai contoh duduk dalam masjid kerana iktikaf dengan duduk di dalam masjid kerana hendak berehat.

Sabda Rasululah saw lagi,

“Dan tiap-tiap seorang akan mendapat sekadar apa yang diniatkannya…”

Maksudnya jika seseorang berniat menunaikan solat, puasa, zakat dan Haji kerana Allah SWT, kemudian melaksanakannya maka dapatlah dia pahala melaksanakan ibadat tersebut. Tetapi jika melakukannya kerana hendak mendapat pujian dan sanjungan daripada orang ramai, maka dapatlah dia pujian dan sanjungan dari orang ramai, namun di sisi Allah SWT amalan seperti ini ditolak kerana ada unsur-unsur riyak.

Mungkin ada yang tidak mahu melaksanakan ibadat tertentu di hadapan orang ramai kerana dibimbangi ada perasaan riyak. Dalam hal ini kata Al-Fudhail bin Iyadh,

“Meninggalkan sesuatu ibadah kerana orang lain juga adalah riyak, sebagaimana melakukannya juga kerana orang ramai. Justeru pokok pangkal sesuatu ibadah untuk diterima oleh Allah SWT ialah ikhlas kerana-Nya”.

Kesimpulannya, ibadah yang dilakukan oleh seseorang pada setiap hari hendaklah terus dilaksanakan walau pun di hadapan orang ramai. Tetapi jika ada pilihan untuk melaksanakannya di tempat lain tanpa pengetahuan orang ramai maka itulah yang digalakkan dalam Islam.

Sabda Rasulullah saw,

“Barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya maka hijrahnya kerana Allah dan RasulNya…”.

Yang dimaksudkan berhijrah di sini ialah hijrah dari Mekah ke Madinah yang berlaku di pada tahun 622M. Peristiwa hijrah merupakan satu ujian yang Allah SWT berikan kepada orang-orang Islam Mekah untuk meninggalkan harta benda, kampung halaman dan saudara mara untuk pergi ke satu tempat yang bernama Yathrib yang jaraknya lebih kurang 500 km. Untuk sampai ke Yathrib mereka perlu merentasi padang pasir yang berdebu dan menempuh cuaca yang panas yang memakan masa hampir sebulan lamanya.

Saidina Abdur Rahman bin Auf contohnya seorang yang kaya raya di Mekah, namun beliau meninggalkan segala hartanya demi menyahut seruan Allah dan RasulNya untuk berhijrah ke bumi Yathrib. Demikian juga sahabat-sahabat yang lain seperti Mus’ab bin Umair, Suhaib bin Sinan Ar-Rumi dan ramai lagi.

Namun ada juga di kalangan sahabat yang berhijrah kerana faktor keduniaan. Hal ini merujuk kepada seorang sahabat yang bernama Hatib yang berhijrah ke Yathrib kerana menyintai seorang gadis yang bernama Ummu Qais. Hatib telah meminang Ummi Qais sewaktu di Makkah lagi, tetapi ditolak oleh Ummu Qais.

Apabila sampai seruan hijrah, maka berhijrahlah Ummu Qais dan keluarganya ke Yathrib. Apabila Hatib mendapat tahu kekasihnya sudah berhijrah ke Yathrib, maka dia sangat berdukacita lalu mengambil keputusan untuk turut berhijrah ke Yathrib bagi menjejaki langkah Ummi Qais.

Jadi tujuan Hatib berhijrah bukanlah kerana hendak mencari tempat perlindungan bagi agamanya, tetapi ada maksud iaitu untuk menagih cinta dari kekasihnya Ummi Qais supaya menerima peminangannya.

Cerita Hatib ini telah disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. Justeru itulah Nabi saw bersabda,

"Dan barangsiapa hijrahnya kerana dunia (sebab-sebab keduniaan) yang ia ingi memperolehinya, ataupun kerana seorang perempuan yang ia ingin menikahinya maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang ia berhijrah kepadanya."

Maksudnya hijrah yang dilakukan oleh Hatib tidak mendapat pahala kerana tujuan hijrahnya bukan bukan kerana Allah dan Rasul. Walaupun hadis ini ditujukan kepada Hatib, namun pengajarannya hendaklah diambil oleh semua umat Islam.

Sebagai contoh, dalam menjalankan perintah-perintah Allah SWT, janganlah hendaknya kita menyaingi ibadat-ibadat kita itu dengan kerja-kerja lain menunaikan t Haji tujuannya untuk berniaga. Melakukan kenduri walimatul Urus kerana mahu mendapat pulangan dalam bentuk hadiah atau wang ringgit dari orang ramai.

Pengajaran lain yang boleh diambil dari kisah Hatib ini ialah betapa hebatnya pengaruh seorang wanita ke atas kaum lelaki. Disebabkan kerana gilakan Ummi Qais, Hatib hilang pertimbangan sehingga sanggup menyeberangi gurun pasir yang sejauh 500 km, meninggalkan tanah airnya demi menagih cinta Ummi Qais.

Hari ini, ada suami yang berlaku curang terhadap keluarga, sehingga sanggup mengabaikan tanggungjawab ke atas anak dan isterinya kerana jatuh cinta kepada seorang perempuan. Ada yang wang gaji habis diberikan kepada seseorang perempuan kerana hendak memikatnya. Mengikut sahaja telunjuk dan kemahuan perempuan itu tanpa berfikir panjang.

Sebab itulah Allah SWT telah mengingatkan kaum lelaki,

"Dihiaskan (dinampakkan seindah-indahnya) kepada manusia itu perasaan kasih kepada hawa nafsu dan wanita..." (Ali Imran : 14)

Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadis,

النظر إلى محاسن المرأة سهام إبليس

Maksudnya : "Melihat kepada kejelitaan seorang wanita adalah dari anak panah iblis".

Oleh itu kaum lelaki hendaklah berhati hati dengan godaan-godaan seperti ini.

Bagi mengatasi masalah ini, Allah SWT telah membuat garis panduan,

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menahan (menundukkan) pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka...” [ An-Nur :30].

Manakala kaum wanita pula hendaklah berwaspada dan berhati-hati dalam segala tingkah lakunya supaya tidak terperangkap dalam hasutan Iblis dan Syaitan. Berkata setengah ulama,

ما أيس الشيطان من إنسان قط إلا أتاه من قبل النساء

Maksudnya : "Bilamana syaitan putus asa dari seseorang manusia maka dia akan mencuba lagi menerusi kaum wanita pula".

Di nukil dari kitab,

Kuliah Subuh oleh Syed Ahmad bin Semait

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu