BSN Ampangan meletup : Terima kasih dan tahniah PDRM !




















BSN Ampangan (Cawangan Perbankan Islam)terbakar hangus!

Minggu lepas, minggu yang penuh cabaran bagi kami Anak-Anak Hajah Sariah.

Manakan tidak, salah seorang daripada ahli keluarga kami Norizah binti Mansor, Pengurus BSN cawangan Ampangan menerima ujian yang paling hebat apabila dipanggil oleh polis kerana kehilangan wang sejumlah lebih RM 200,000.

Wang itu disimpan di peti besi yang sedikit pun tidak ada kesan kebakaran atau pun diumpil.

Hairan bin Ajaib !

Bagaimana wang itu boleh hilang sedangkan hanya kakak saya sahaja yang memegang kunci itu.

Siapa yang ambilnya ?

Orang dalam ?

Kalau orang dalam, siapa ?

Lantas mata tertumpu kepada .....

Hari Khamis malam Jumaat , 23.12.2010

Hampir semua adik beradik berkumpul di rumah mak. Masing-masing berwajah muram kerana kami percaya ahli keluarga kami tidak bersalah.

Dia sebenarnya teraniaya.

Kami mendirikan solat Hajat dan membaca Yasin. Kami berdoa bersungguh-sungguh supaya Tuhan tunjukkan kebenaran.

“Ya Allah …, Engkau pandanglah kami dengan belas kasihan-Mu, Berilah pertolongan kepada ahli keluarga kami yang terniaya…, sesungguhnya dia tidak bersalah…., makbulkanlah doa kami….”, demikianlah rayuan demi rayuan yang saya panjatkan kepada Tuhan sambil diaminkan oleh kaum keluarga.

Selepas solat Isyak, saya sempat memberi tazkirah ringkas di hadapan semua adik beradik.

“Anggaplah apa yang berlaku kepada ahli keluarga kita sebagai ujian daripada Allah SWT. Hisham yakin…, kes ini akan selesai secepat yang mungkin. Mari kita tawakal dan serahkan kepada Allah SWT. Lagi pun PDRM pasti akan menyiasatnya secara profesional”, kata saya.

Hari Selasa malam Rabu, 28.12.2010….

Menjelang Maghrib, abang Zul yang turut bekerja di BSN menghantar sms,

‘Hisham….Syukur Alhamdulillah berkat doa semua adik beradik kes telah selesai. Duit yang hilang dah dapat semula bersama perompaknya’.

Justeru selepas solat Isyak saya terus menelefon abang Zul untuk mengetahui siapakah perompaknya.

“Maaf, polis tak mahu beritahu, tapi perompak itu sudah pun mengaku salah”, kata abang Zul dengan suara yang ceria.

Saya telefon pula mak.

“Alhamdulillah…, mak sekarang ni ada di rumah kak Izah kau”, kata mak meraikan anaknya yang sudah berjaya melepasi ujian.

Syukur segala-galanya telah selesai.

Hari Rabu…, 29.12.2010

Waktu Zuhor saya telah diundang ke BSN Seremban untuk memimpin bacaan Yasin dan solat Hajat.

Sampai di surau BSN (tingkat 4), seorang pegawai kanan BSN memberitahu saya,

“Ustaz…, kita ubah agenda kepada maajlis membaca Yasin dan doa kesyukuran sahaja, tak perlu buat solat Hajat”, kata pegawai ini.

“Kenapa?”, tanya saya.

“Kes sudah selesai ”, jawabnya yang tersenyum gembira.

Saya perhatikan semua pekerja BSN yang hadir sungguh ceria.

TERIMA KASIH PDRM !

Bagi pihak Anak-Anak Hajah Sariah, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan rasa terharu dengan kepantasan Polis Diraja Malaysia yang begitu cekap dan profesional melaksanakan tugas sehingga tertangkapnya perompak tersebut.

Ada hikmah di sebalik kes ini

Kes ini merapatkan lagi hubungan kekeluargaan kami yang sememangnya sudah rapat. Dan yang paling penting ia telah merapatkan hubungan kami dengan Tuhan sebagai tempat mengadu.

Hampir semua adik beradik bangun setiap malam menunaikan solat Hajat memohon pertunjuk.

Hari ini , 31.12.2010….

Selepas solat Jumaat, saya berkunjung ke rumah mak . Kak Padilah pun ada bersama.

“Insya Allah, kak Izah nak ikut engkau pergi Umrah tahun depan”, kata mak.

“Lah pun nak ikut juga….”, sampuk kak Padilah.

“Ya ke … Al-hamdulillah”.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu