Mereka yang terkhilaf



Selamat Hari Jadi Ahmad Afif Arifuddin, 4.12.2004

“Seorang mualaf 32 tahun, baru sahaja memeluk Islam (tanpa pengetahuan keluarga) pada bulan Ramadhan yang lalu. Bekerja di Hospital Swasta Seremban. Beliau sedang mencari jodoh yang berusia 30 tahun ke bawah. Utk keterangan lanjut dan No H/Pnya sila hubungi saya”

Para pembaca sekalian…,

Apa yang saya catat ini merupakan kisah benar yang berlaku dalam hidup saya.

Semenjak saya mengiklankan hasrat seorang mualaf yang mahu mencari jodoh dua bulan yang lalu, bermacam-macam panggilan telefon, email dan sms yang saya terima.

Ada yang benar-benar memahami maksud iklan yang tertera di atas, di samping ada juga yang tidak memahaminya. Mereka sangkakan sayalah mualaf yang dimaksudkan.

Mereka sebenarnya terkhilaf.

Bayangkan seorang gadis menghantar email yang maksudnya begini,

“Ustaz…, ustaz kata ustaz seorang mualaf. Baru masuk Islam bulan puasa yang lalu. Tapi bila saya baca kisah hidup ustaz, ustaz pernah belajar di sekolah agama. Macam mana tu ? Tak pahamlah ”

Satu lagi email berbunyi,

“Ustaz yang dihormati…, saya sudi menjadi isteri ustaz. Saya dari Jeli Kelantan, berusia 32 tahun. Saya suka kepada kanak-kanak”.

Semua email ini telah pun saya padamkan serta merta. Saya bimbang kalaulah isteri saya membacanya…, habis!

Alamat bergegarlah rumah tangga saya.

Mungkin lebih hebat gegarannya dari Gunung berapi Merapi, Indonesia.

SMS yang mendebarkan

Saya juga pernah menerima sms yang mampu mencairkan iman.

“Ust..,saya terbaca blog Ustaz. Ustaz sedang mencari jodoh rupanya….Untuk makluman ustaz Saya seorang gadis yang sedang mengalami kesakitan…. Tolonglah datang untuk mengubati saya… ”.

Cis !

Saya terus membuang sms yang menggoda ini.

Panggilan telefon

Beberapa hari lepas ketika sedang memandu kereta membawa keluarga balik ke kampong Sekinchan , tiba-tiba saya menerima satu panggilan.

“Na…, tolong jawabkan”, kata saya kepada isteri.

“Hello…., ya…, ya… nak cakap dengan dia ?”, tanya isteri saya.

“Bang…ada seorang perempuan nak cakap dengan abang”, isteri saya menyerahkan handphone kepada saya sambil wajahnya masam mencuka.

“Waalaikumussalam”,respon saya menjawab salam yang diberi.

“Ustaz Hishamuddin …, nama saya Nor………. Saya telefon ini dari Syarikat S…a…s.”, kata suara pemanggil.

Gaya suaranya agak memikat dan manja. Mungkin dia bekerja sebagai penyambut tetamu di Syarikat yang hebat ini.

Dan yang terpenting, mungkin Syarikat ini sedang mencari penceramah agama untuk menyampaikan ceramah Maal Hijrah yang semakin hampir.

Kalau begitu, beruntunglah saya. Dalam ramai-ramai penceramah yang hebat-hebat dan tersohor di tanah air, penceramah 'kerdil' seperti saya ini pula yang dijemput.

Apa nak buat…sudah rezeki, bisik hati kecil. Saya mula tersenyum lebar.

Kalau dapat duit saguhati dari syarikat ini nanti bolehlah saya gunakannya untuk membeli baju sekolah anak-anak. Ringan sedikit bebanan saya.

“Ya ada apa Puan Nor….. memanggil saya ?”, tanya saya sambil memperlahankan kenderaan.

Bagi saya penggilan seperti ini cukup penting. Segala maklumat tentang lokasi ceramah, tarikh dan masanya perlu dihafal dalam minda fikiran.

“Tak usahlah ustaz berpuan-puan pula dengan saya…, saya masih belum berkahwin”, katanya dengan nada suara perlahan, tetapi manja menggoda.

“Ya.., cik Nor …… apa hajat cik Nor…. menghubungi saya”, tanya saya tidak sabar menunggu jawapan.

“Ustaz Hishamuddin …..sebelum ini ustaz sudah banyak menyampaikan kuliah agama di masjid dan surau di Negeri Sembilan ya ?”, tanya suara manja ini lagi.

“Ya”, jawab saya.

Hati saya sudah mengagak, memang Syarikat gergasi ini mahu menjemput saya menyampaikan ceramah agama. Sebab itu mereka bertanyakan soalan seperti ini untuk mengesahkan sama ada saya sudah berpengalaman menyampaikan ceramah atau sebaliknya.

Pengalaman saya sebelum ini, memang ada pejabat-pejabat, syarikat , organisasi , surau dan masjid yang akan interview saya terlebih dahulu melalui panggilan telefon untuk mengetahui status saya sama ada saya adalah penceramah pro pembangkang atau kerajaan atau sebagainya.

Ada juga yang bertanyakan ijazah kelulusan saya, surat tauliah mengajar…, dan tidak kurang juga yang meminta nombor siri surat tauliah untuk dirujuk ke Jabatan Agama bagi memastikan ia benar atau palsu.

Maklumlah, zaman sekarang macam-macam perkara boleh dipalsukan.

Saya faham itu adalah prosedur bagi sesetengah syarikat, organisasi , masjid mahu pun surau. Dari satu segi, ia bagus untuk mengelakkan sebarang kontroversi.

Di Cheras, satu hari dalam kuliah wanita, saya pernah mendengar komplen dari beberapa orang muslimat yang mengatakan ada seorang penceramah mingguan di surau mereka menyampaikan kuliah seperti berikut,

“Ketika sertu, hendaklah membasuh dengan 7 kali basuhan, 6 kali dengan air lumpur dan satu kali dengan air mutlak”.

Saya beristighfar panjang.

“Di mana Ustaz menyampaikan kuliah..?”, tanya si gadis ini. Suaranya ‘maintain’ manja.

“Banyak ….antaranya masjid Sikamat Seremban.., Masjid Negeri dan bla..bla…”, jawab saya lancar.

Mungkin jawapan saya sedang direkod oleh si gadis pemanggil untuk dilaporkan kepada pihak pengurusan tertinggi Syarikat ini.

Kemudian pihak pengurusan tertinggi akan membuat keputusan sama ada saya layak atau tidak berceramah di Syarikat tersebut.

“Err…err… bolehkah saya berjumpa Ustaz di Masjid sekian-sekian ?”,tanya gadis ini lagi.

“Kenapa ?”, jawab saya hairan.

Hati saya menduga, mungkin si gadis ini mahu menyerahkan surat jemputan menyampaikan ceramah kepada saya secara 'by hand'.

Maklumlah Maal Hijrah hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Kalau di pos surat jemputan itu secara manual mungkin memakan masa berhari-hari untuk sampai ke tangan saya. Apatah lagi bulan Disember ini, tentu ramai posman bercuti untuk bersama keluarga.

“Sebenarnya…, sebenarnya…., saya ..saya...", tiba-tiba suara si gadis tersekat-sekat.

Saya masih bersangka baik. Mungkin line Celcom hari ini tidak berapa clear.. Sebab itu dia bercakap sepatah, sepatah bagi memastikan saya mendengar maklumat yang bakal di sampaikan.

"Ya..., teruskan, teruskan saya dengar suara cik Nor...", jawab saya.

Kereta diberhentikan di tepi highway.

Saya mengambil pen di kotak 'handbreak' , untuk mencatatkan tarikh ceramah, tajuk dan masanya.

Sebentar lagi, si gadis tentu akan menjelaskan kepada saya sedetail-detailnya.

"Sebenarnya saya...., saya ...ingin berkenalan dengan Ustaz. Saya ada terbaca dalam blog ustaz. Ustaz ini seorang mualaf yang sedang mencari jodoh…”, kata gadis manja ini dalam keadaan suaranya tertahan-tahan, mungkin malu untuk meluahkan hasrat.

“Ya Allah ….”, jawab saya spontan.

Saya terus mematikan handphone.

Isteri saya menjeling,

“Wah…lama betul awak bercakap dengan perempuan tu . Siapa dia tu ?”, tanya isteri yang sedang cemburu.

Saya diam. Kaki menekan pedal minyak. Pesona 1.6 (Auto)terus meluncur laju meredah highway.

Salam Maal Hijrah 1432 daripada saya sekeluarga dari Sekinchan Selangor.

Wassalam.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu