Pluralisme Agama : Menafikan perjuangan Nabi
Dr. Uthman Muhammady, antara ulama yang gigih menentang 'Pluralisme Agama' melalui pena, seminar dan diskusi ilmiah
Dewasa ini muncul fahaman sesat yang meresapi sebahagian kecil umat Islam di negara kita. Fahaman ini dikenali sebagai fahaman ‘Pluralisme Agama’ yang menganggap bahawa semua agama di dunia ini adalah sama dan sedarjat.
Doktrin sesat
Dengan memetik beberapa ayat Al-Quran serta menyelewengkan tafsirannya, pendokong fahaman ini mendakwa semua agama baik Islam, Kristian, Yahudi , Buddha atau Hindu, mengajar manusia menyembah Tuhan yang sama dan melakukan kebaikan.
Cuma cara dan metodnya sahaja yang berbeza. Hakikatnya, di akhirat semua penganut agama ini bakal memperolehi pahala dan berpeluang masuk ke syurga.
Perlu ditentang
Fahaman sesat ini perlu ditentang kerana ia bercanggah dengan Al-Quran dan juga Hadis. Sesungguhnya Allah SWT hanya mengiktiraf agama Islam sahaja sebagai agama yang diredai-Nya.
Tidak ada agama lain yang boleh membawa kesejahteraan kepada manusia di dunia dan akhirat melainkan Islam.
Firman Allah SWT,
Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Al-'Imran 085)
Orang-orang kafir sama sekali tidak boleh memasuki Syurga walaupun mereka beramal soleh. Untuk ke syurga mereka perlu mendapatkan lesen iaitu mengucap dua kalimah syahadah serta beramal soleh mengikut acuan agama Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah al-Furqan ayat 23,
Dan kami periksa amal kebajikan mereka, kemudian Kami jadikannya bagaikan debu-debu yang berterbangan.
Memperkecilkan dakwah Rasulullah dan sahabat
Pandangan yang mengatakan semua agama adalah sama merupakan pandangan yang menafikan perjuangan Nabi saw yang begitu gigih berusaha membasmi amalan syirik di kalangan musyrikin Quraisy.
Baginda juga sangat istiqamah dalam menyebarkan Tauhid kepada penganut Kristian, Yahudi dan juga Majusi.
Fahaman ini juga secara tidak langusng menidakkan sumbangan para sahabat yang berhabis-habisan berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir demi mempertahankan akidah yang suci.
Nama-nama harum seperti Hamzah bin Abi Talib, Jaafar bin Abi Talib dan Zaid bin Haritah sentiasa meniti di bibir umat Islam sebagai syuhada yang besar jasanya dalam membela agama Allah.
Nasihat Rasulullah
Rasulullah saw pernah mengingatkan akan adanya golongan yang cuba mentafsirkan Al-Quran mengikut hawa nafsu. Sabda baginda,
سيقرأ القران رجال لا يجاوز حناجرهم يمرقون من الدين كما يمرق السهم من المية
Maksudnya : Kelak akan ada orang-orang yang membaca Al-Quran yang tidak sampai melampaui tenggoroknya (tidak sampai merssap dalam hati). Mereka sebenarnya lepas dari agama bagaikan lepasnya anak panah dari busurnya. (Riwayat Abu Ya’la)
Islam menghormati penganut agama lain mengamalkan ajaran agama mereka, sebagaimana perjanjian yang pernah dimeterai antara Rasulullah saw dengan orang bukan Islam ketika di awal pembentukan negara Madinah.
Tetapi itu tidak bermakna Islam mengiktiraf kebenaran agama-agama tersebut.
Firman Allah SWT,
Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. (Al-'Imran 019)
Kesimpulan
Umat Islam perlu kepada pengukuhan akidah yang mantap dalam membentengi diri dari fahaman sesat lagi menyesatkan. Tanpa keimanan yang teguh , amat mudah umat Islam tergelincir ke lembah kesesatan. Nau’zubillah.
Wallahualam.
Comments
Post a Comment