"Menanti di pintu Baqi'..." : Amalan sunat sebelum berniat ihram



Episod 6 : Amalan sunat sebelum berniat  ihram

“Sebelum seseorang itu berniat Haji atau umrah adalah sunat dia melakukan perkara-perkara seperti  mengerat kuku, merapikan misai, janggut dan rambut, menanggalkan bulu ketiak, bulu ari-ari, memakai wangi-wangian pada badan bukan pada pakaian ihram dan memakai minyak rambut”, terang Ust Haji Abdullah.

“Seterusnya disunatkan juga seseorang itu mandi sunat ihram...", Ust Haji Abdullah melanjutkan lagi penerangannya sebelum disampuk oleh Dato' Hashim. 

“Macam mana mahu mandi sunat ihram dan niatnya Ustaz?”, Dato’ Hashim mengambil pensel untuk mencatat. 

“Sama seperti mandi wajib, cuma niatnya sahaja yang berbeza iaitu Nawaitu ghusla lil ihraami  sunnatal lillahi Taala atau dalam bahasa melayunya Sahaja aku mandi sunat ihram kerana Allah Taala”, jelas Ust Haji Abdullah bagaikan berceramah di dalam masjid.

Dato’ Hashim dan Datin Hasnah khusyuk mendengar penerangan yang disampaikan. Bagi mereka walaupun amalan ini hanyalah sunat, tetapi mereka berazam untuk melakukannya sebagai menambah pahala dan keberkatan Haji yang bakal dilaksanakan nanti.

“Di mana mahu mandi sunat ihram Ustaz?”, kini giliran Datin Hasnah pula mencelah.

“Adalah afdhal mandi sunat ihram di miqat, tetapi bagi kes Dato’ dan Datin yang penerbangan  terus ke Mekah maka saya syorkan supaya melakukannya di rumah sebelum berangkat ke Kelana Jaya. Sebab sukar untuk mandi sunat di dalam kapal terbang”, jawab Ust Haji Abdullah.  

“Bila masa yang sesuai untuk kita memakai kain ihram Ustaz?”, tanya Dato’ Hashim. 

“Memakai kain ihram adalah sunat selepas mandi sunat ihram. Tetapi sekiranya dia memakai pakaian biasa selepas mandi sunat ihram hukumnya adalah harus, cuma kurang pahala.  Yang pentingnya ialah wajib seseorang itu memakai kain ihram apabila dia hendak berniat Haji atau Umrah”,  jelas Ust Haji Abdullah.

Dato’ Hashim dan Datin Hasnah mengangguk-anggukan kepala.

Bersambung…. 

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu