Jangan tersalah memilih pemimpin ......

Mayat Firaun laknatullah, pemimpin yang zalim, akhirnya mati lemas, mulutnya disumbat lumpur kerana keceluparannya menentang Allah dan menolak ajaran yang dibawa oleh Nabi Musa a.s. Jadikan iktibar di atas kematiannya.

Firman Allah SWT, “Dan Sesungguhnya kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah) mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. mereka Itulah orang-orang yang lalai". (Al-A’raaf : 179)

Diterangkan dalam kitab Tanbihul Ghafilin, dalam neraka, Iblis akan diberi peluang untuk berucap kepada semua penghuni neraka. Pakaiannya daripada api, mahkotanya daripada api serta dia diikat dengan tali daripada api.

Iblis berlepas diri…

Iblis pun berucap, “Wahai para penghuni neraka, wahai orang-orang kafir, wahai orang-orang munafik dan fasik, sesungguhnya Allah telah menunaikan janjinya kepada kamu hari ini. Justeru itu janganlah kamu semua menyalahkan aku, tetapi hendaklah kamu salahkan diri kamu sendiri. Kenapa semasa di dunia dahulu kamu tidak mahu menyembah Allah ? Kenapa kamu degil tidak mahu mematuhi segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya ? Bukankah Allah itu Tuhan kamu ? Bukankah Dia adalah Tuhan yang Maha Pencipta segala sesuatu ?

Wahai penghuni neraka, hari ini aku tidak dapat menyelamatkan kamu semua daripada seksaan Allah. Hari ini aku berlepas diri dari kamu semua. Hari ini aku tidak mahu bertanggungjawab tentang apa-apa yang pernah aku katakan kepada kamu sebelum ini.” Mendengar sahaja kata-kata Iblis itu maka semua penghuni neraka melaknat serta memakinya. Malaikat Zabaniyah kemudiannya memukul iblis dengan tombak daripada api neraka dan tersungkurlah iblis itu dari atas mimbarnya sehingga dia terhumban ke dalam kawah neraka yang paling bawah, selama-lamanyalah dia di sana.

Kata malaikat Zabaniyah kepada semua penghuni neraka, “Hari ini tidak ada kematian untuk kamu semua dan tidak ada pula kesenangan, semua kamu akan berada di sini selama-lamanya”.

Padah menjadi penyokong pemimpin yang zalim...

Dalam Al-Quran Allah SWT berfirman dalam surah Hud ayat 113.

“ Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, Kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan”.

Berdasarkan dalil di atas, siapa yang terus menyokong golongan atau pemimpin yang zalim serta mempermainkan ayat-ayat Allah maka sesungguhnya dia adalah sama-sama menanggung dosa dengan pemimpin tersebut walaupun hanya sekadar ahli biasa parti sahaja.

Ambil iktibar kisah Firaun dan penyokong-penyokongnya….

Firman Allah SWT dalam surah Al-Qasas ayat 4,

“ Sesungguhnya Fir'aun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka Sesungguhnya Fir'aun termasuk orang-orang yang berbuat kerusakan. ”

Golongan yang zalim akan menggunakan kuasa yang ada padanya untuk mengekalkan kuasa politiknya. Begitulah yang terjadi pada Firaun, sanggup membunuh anak-anak lelaki di zamannya kerana bimbang kuasa politiknya tergugat.

Pemerintah yang zalim seperti Firaun ini akan ada sepanjang zaman. Apabila mereka berkuasa, mereka akan gunakan kekuasaannya untuk membolot harta rakyat demi kepentingan peribadi mereka. Untuk itu mereka akan gunakan pelbagai tektik dan cara untuk mengekalkan kuasa pemerintahan. Mereka bimbang sekiranya mereka tumbang, maka segala penyelewengan mereka akan terbongkar.

Dalam Al-Quran Allah SWT menyebut perihal Firaun dan kuncu-kuncunya dihumban ke dalam api neraka,

“Kepada mereka dinampakkan neraka pada pagi dan petang dan pada hari terjadinya kiamat. (Dikatakan kepada malaikat): "Masukkanlah Fir'aun dan kaumnya ke dalam azab yang sangat keras". (Surah Al-Ghafir ayat 46)

Firaun adalah lambang kepada golongan yang berkuasa yang zalim. Firaun melakukan kezaliman ini tidak bersendirian, mereka mempunyai cabinet terdiri dari Menteri dan juga para penasihat yang terdiri daripada ahli nujum yang sentiasa memberi idea. Raja yang zalim itu akan sentiasa wujud sepanjang zaman. Bukan sekadar Presiden, Perdana Menteri yang zalim sahaja yang akan dihumban oleh Allah Taalah dalam neraka, tetapi menteri kabinet, timbalan menteri dan pegawai-pegawai serta rakyat yang menyokong mereka turut dihumban ke dalam api neraka.

Dalam neraka, pemimpin yang zalim dan penyokongnya saling berbantah

Setelah mereka dicampak ke dalam neraka jahannam, mereka menyalahkan orang lain. Terutama kepada orang yang telah diberikan ketaatan, yakni kepada pemimpin-pemimpin yang menyesatkan mereka dari jalan Allah. Mereka berbantah-bantah di dalam api neraka, sebagaimana yang dijelaskan dalam Al-Quran,

“ Dan (ingatlah), ketika mereka berbantah-bantah dalam neraka, Maka orang-orang yang lemah Berkata kepada orang-orang yang menyombongkan diri: "Sesungguhnya kami adalah pengikut-pengikutmu, Maka dapatkah kamu menghindarkan dari kami sebahagian azab api neraka?" (Surah Al-Ghafir ayat 47)

Tidak ada apa-apa yang boleh dibuat oleh golongan mustakbirin (pemimpin-pemimpin yang zalim) yang telah menyesatkan mereka kerana mereka juga sama-sama diseksa dalam api neraka. Jawab golongan mustakbirin ini,

“ Orang-orang yang menyombongkan diri menjawab: "Sesungguhnya kita semua sama-sama dalam neraka Karena Sesungguhnya Allah Telah menetapkan Keputusan antara hamba-hamba-(Nya)". (Surah Al-Ghafir ayat 48)

Menyesal tak sudah…

Demikianlah balasan bagi mereka yang menjadi pengikut setia para pemimpin yang zalim, akhirnya mereka turut dihumban ke dalam api neraka bersama-sama dengan pemimpin mereka. Penghuni neraka sangat kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin mereka, barulah mereka sedar bahawa mereka tersalah memilih pemimpin semasa di dunia dahulu sehingga mereka mendapat azab Allah yang sangat tidak terperi.

Minta tolong dengan malaikat...

Oleh kerana tidak tahan dengan seksaan Allah SWT, lalu mereka memohon kepada malaikat Malik yang menjaga pintu neraka,

“ Dan orang-orang yang berada dalam neraka berkata kepada penjaga-penjaga neraka Jahannam: "Mohonkanlah kepada Tuhanmu supaya dia meringankan azab dari kami barang sehari". (Surah Al-Ghafir ayat 49)

Mereka merayu supaya Malaikat penjaga pintu neraka memohon kepada Allah agar mereka diringankan azab walaupun sehari. Setelah menunggu 4o tahun maka Malaikat penjaga neraka pun menjawab,

“ Penjaga Jahannam berkata: "Dan apakah belum datang kepada kamu rasul-rasulmu dengan membawa keterangan-keterangan?" mereka menjawab: "Benar, sudah datang". penjaga-penjaga Jahannam berkata: "Berdoalah kamu" dan doa orang-orang kafir itu hanyalah sia-sia belaka”. (Surah Al-Ghafir ayat 50)

Jawapan malaikat itu sebenarnya tempelak kepada golongan kuffar itu, jika di dunia dahulu mereka merasa angkuh dan sombong untuk menerima Islam yang dibawa oleh para Rasul, jika demikian kata malaikat berdoalah kamu, sedangkan doa mereka adalah sia-sia belaka.

Mereka pun berdoa kepada Tuhan. Wahai Tuhan apalah kiranya Engkau keluarkan kami daripada tempat seksaan ini. JIka Engkau keluarkan kami, dan kami masih melakukan kezaliman, maka Engkau seksalah kami. Doa mereka tidak dijawab oleh Tuhan selama umur dunia ini dua kali. Kemudian Allah SWT menjawab, Hinalah kamu semua di dalam neraka, dan janganlah kamu berkata-kata lagi selepas ini.

Wallahualam

Comments

  1. Assalammualaikum Ustaz

    Selamat Hari Raya. Pertama kali saya melayari blog coretan Ustaz ini. Artikal di blog ini penuh pengisian yang berguna untuk pembaca seperti saya. Syabas kerana berjaya mengupas isu-isu yang biasanya dipandang remeh oleh sesetengah orang.

    Jika ada masa yang terluang, jemputlah ke blog 'Jom Sewa Buku' saya.
    Wassalam

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu