Thursday, March 11, 2010

Sempurnakan solat anda......(siri 1)


1. Mengadap Qiblat

Dalil mengadap Qiblat ialah firman Allah SWT,

Maksudnya : Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap ke kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram (tempat letak Kaabah) ; dan di mana sahaja kamu berada, maka hadapkanlah wajah kamu ke arahnya. (al-Baqarah 144)

2. Meletakkan penghadang

Adalah sunat hukumnya meletakkan penghadang atau pun sutrah seperti tiang, beg, bantal, payung atau tongkat yang diletakkan di hadapannya, dengan jarak yang mencukupkan dirinya untuk sujud dengan tujuan untuk memusatkan pemikiran ketika solat tanpa diganggu dengan lalu orang ramai. Dalilnya ialah hadis Rasulullah saw,

“ Apabila seseorang kamu ingin bersolat, maka hendaklah ia meletakkan di hadapannya sesuatu, sekiranya tiada letaklah tongkat, jika tiada buatlah satu garisan kemudian tiada lagi mudarat sesiapa yang lalu di hadapanmu “.

Jika orang yang sedang solat telah mengadakan sutrah, maka dilarang melintas melainkan di sekeliling luar sutrah itu. Jika tidak dapat, maka hendaklah tunggu hingga pensolat selesai Sesiapa yang melintas di antara pensolat dan sutrahnya, maka kesalahan tercatat di bahu pelintas.

Sabda baginda,

إذا صلى أحدكم إلى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ من الناس فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بين يَدَيْهِ فَلْيَدْفَعْهُ فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هو شَيْطَانٌ

Maksudnya : Apabila seorang kamu sedang solat dan mempunyai sutrah menghalangnya, dan jika tiba-tiba ada orang yang ingin mencerobohi hadapannya maka hendaklah ingin menegahnya, jika ia (yang ingin menyeberang) enggan berhenti, hendaklah kamu bersungguh menghalangnya kerana ia adalah Syaitan" ( Riwayat Al-Bukhari)

Namun jika seseorang itu solat tanpa mengadakan sutrah sehingga dilintasi oleh orang lain, maka kesalahan tercatat di bahu orang yang bersolat. Ini kerana pensolat itu telah mengabaikan apa yang diwajibkan oleh agama ketika bersolat.

3. Berdiri tegak (Bagi yang berkemampuan)

Dalilnya ialah firman Allah SWT,

Dan berdirilah kerana Allah dengan keadaan kamu taat setaatnya. (al-Baqarah 238)

Adapun berdiri ketika menunaikan solat sunat maka hukumnya tidak wajib. Justeru, boleh menunaikan solat sunat dalam keadaan duduk sekali pun ia mampu berdiri. Cuma pahalanya kurang dibandingkan dengan solat sunat secara berdiri. Sabda Rasulullah saw,

صلاة الرجل قاعدا نصف الصلاة

Maksudnya : Solat yang dilakukan sambil duduk pahalanya sama seperti separuh solat. (Mutafaqqun ‘alaih)

Jarak di antara dua kaki ketika berdiri menurut mazhab Syafie ialah kadar sejengkal. Adapun ketika solat berjemaah, jarak antara kaki dengan kaki jemaah di sebelah ialah sehingga menyentuh jari kaki mereka. Sabda Rasulullah saw,

“Adalah semua kami (sahabat) bersentuh bahu kami dengan yang lain demikian juga hujung kaki”. (HR Bukhari)

Adalah penting semasa menunaikan solat berjemaah untuk merapatkan saf sebagaimana sabda Rasulullah saw,

سووا الصفوف فإن تسوية الصفوف من إقامة الصلاة

Maksudnya : Luruskanlah saf-saf kamu kerana meluruskan saf itu termasuk kesempurnaan solat. (Mutaffun ‘alaih)

4. Niat

Dalilnya ialah sabda Rasulullah saw,

إنما الأعمال بالنيات

Maksudnya : Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat. (HR Bukhari dan Muslim)

Niat ialah ketika mengangkat Takbiratul Ihram. Menurut Mazhab Syafie adalah sunat jika dimulai dengan lafaz niat bagi membantu hati. Jika ditinggalkan lafaz niat maka solatnya tetap sah.

5. Takbiratul Ihram

Dalilnya ialah sabda Rasulullah saw,

مفتاح الصلاة الطهور وتحريمها التكبير وتحليلها التسليم

Maksudnya : Kunci solat ialah bersuci, pembukaannya ialah bertakbir dan penutupnya ialah memberi salam.

Lafaz takbiratul ihram ialaah Allahu Akbar. Maka tidak sah solat sekiranya ditukar kepada ArRahmanu Akbar, Akbar Allah atau sebagainya. Mengikut hukum tajwid melafazkan kalimah Allah hanyalah 2 harakat sahaja. Namun begitu ada juga sesetengah ulama membenarkan untuk dipanjangkan sehingga 20 harakat.

Tidak dibenarkan memanjangkan dalam 3 perkara berikut :

1. Iaitu memanjangkan lafaz “Akbaaaar”.
2. Iaitu memanjangkan lafaz “Aaaaakbar”
3. Iaitu memanjangkan lafaz “Aaaaaallah”

Disyaratkan bertakbiratul ihram itu hendaklah di dengar oleh telinganya sendiri dalam suasana yang tidak bising. Wajib disertakan disertakan niat dalam hati ketika mengangkat takbiratul ihram seperti “Sahaja aku menunaikan solat fardhu Zuhor”.

Mengangkat tangan ketika takbiratul ihram hukumnya adalah sunat berdasarkan hadis Rasulullah saw,

كان رسول الله (ص) إذا قام إلى الصلاة رفع يديه مدا

Maksudnya : Rasulullah saw jika berdiri ketika solat diangkatnya kedua tangannya dengan terkembang. (Hadis Khamsah)

Mengenai paras mana tangan itu diangkat, menurut mazhab Syafie ialah paras bahu. Ini berdasarkan dalil dari ibnu Umar katanya, Solat 4 mazhab ms 223

كان رسول الله (ص) إذا قام إلى الصلاة رفع يديه
حتى يكونا حذومنكبيه ثم يكبر

Maksudnya : Rasulullah saw jika berdiri hendak solat, diangkatnya kedua belah tangannya hiingga setentang dengan kedua bahunya, lalu bertakbir. (Mutafaqqun ‘alaih)

Manakala mazhab Hanbali, seseorang itu boleh mengangkat tangan ketika takbiratul ihram sehingga tinggi ke paras telinga. Mazhab Hanafi pula meereka berijtihad bahawa mengangkat tangan ketika takbiratul ihram hendaklah ibu jari berada di paras bawah cuping telinga.

Bila seseorang itu sudah mengangkat takbiratul ihram, bermula dari saat itu maka haramlah bagi dirinya melakukan beberapa perkara iaitu makan, minum, berjalan, melompat, ketawa dan sebagainya.

6. Meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri

Selepas mengangkat takbiratul ihram, kedua belah tangan hendaklah disedakapkan. Caranya ialah meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri. Dalilnya ialah hadis Rasulullah saw,

إنا معشر الأنبياء أمرنا بتعجيل فطرنا وتأخير سحورنا , وأن نضع أيما ننا على شمائلنا فى الصلاة

Maksudnya : Kami para Nabi diperintahkan untuk menyegerakan berbuka puasa, melambatkan makan sahur dan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri ketika solat.

Tangan kanan hendaaklah berada di posisi di awal pergelangan tangan kiri sebagaimana yang diriwayatkan oleh seorang sahabat yang bernama Wail r.a katanya,

Nabi saw meletkkan tangan kanannya di atas permukaan tangan kirinya dan pergelangan dan awal tangaan. (HR Muslim dan Ahmad)

Menurut mazhab Syafie juga tangan tersebut hendaklah diletakkan di bawah dada dan di atas pusat. Dalilnya sebuah hadis dari Halab at-Ta’ei,

رأيت رسول الله (ص) يضع اليمنى على اليسرى على صدره فوق المفصل

Maksudnya : Saya melihat Rasulullah saw melatkkan tangan kanan di atas tangan kiri di atas pusat. (Hr Tirmizi)

7. Mengadap pandangan ke tempat sujud

Apabila solat Rasulullah saw akan menundukkan kepala dan mengarahkannya ke lantai sebagaimana hadis,

Adalah Rasulullah saw menundukkan kepala baginda dan melontarkan pandangannya ke bumi. (HR al-Baihaqi dan al-Hakim)

Rasulullah saw melarang para sahabat solat mengadap ke langit. Sabda baginda saw yang mafhumnya,

Hendaklah orang-orang yang mengadapkan pandangannya ke langit menghentikan perbuatan itu atau pandangan mereka akan tersambar.

Terdapat khilaf di kalangan ulama mengenai hukum memejam mata ketika solat. Beberapa ulama di kalangan mazhab Syafie menghukumkan makruh kerana menyerupai Yahudi.

Ibnu Qaiyyim pula berndapat : Jika membuka mata tidak menganggu kekhusyukkan solat maka ia adalah lebih elok dari memejam mata. Dan pandangan yang mengatakan elok pejam mata adalah lebih bertepatan dengan prinsop dan tujuan solat berbanding pandangan yang memakruhkannya.

8. Membaca Doa Iftitah

Membaca doa Iftitah hukumnya adalah sunat menurut Mazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali. Dalam hal ini kita bebas memilih mana-mana doa yang pernah dibaca oleh Nabi saw. Antaranya ialah,

سبحانك اللهم وبحمدك وتبارك اسمك زتعالى جدك ولا اله إله غيرك

Maksudnya : Maha Suci Engkau ya Allah, dan Maha Terpuji, Maha Berkat Namu-Mu, Maha Tinggi kemuliaan-Mu dan tiada Tuhan selain Engkau. (Hadis Muslim)

Walaubagaimanapun majoriti umat Islam di Malaysia mengamalkan doa Allahu Akbar Kabira …..

9. Membaca Fatihah

Sabda Rasulullah saw,

Maksudnya : Tiada solat bagi mereka yang tidak membaca Fatihatul Kitab.

Majoriti mazhab berrpendapat membaca al-Fatihah adalah rukun yang perlu dibaca pada setiap rakaat. . Maka barangsiapa yang meninggalkannya secara sengaja maka batallah solatnya. Barangsiapa yang terlupa membacanya dan teringat sebelum sampai ke rakaat selepas itu maka Wajib untuk mengulangi berdiri dan membaca al-Fatihah. Sekiranya sudah memasuki rakaat yang seterusnya kemudian baru dia teringat maka terhapuslah rakaat sebelumnya.

Jangan diselangi antara ayat-ayat Fatihah yang dibaca dengan ayat lain seperti mengucap Alhamdulillah ketika bersin. Jika seseorang itu tidak boleh membaca Fatihah hendaklah dia menggantikan dengan ayat-ayat lain atau zikir syaratnya jangan kurang hurufnya dengan surah al-Fatihah. Jika tidak mampu juga maka hendaklah berdiri sekadar lamanya bacaan al-Fatihah.

Membaca Fatihah hendaklah dimulai dengan bacaan Bismillah. Maka tidak sah solat tanpa membaca Bismillah dalilnya ialah, Solat 4 mazhab 210

إذا قرأتم الفاتحة فاقرؤوا بسم الله الرحمن الرحيم فإنها إحدى أياتها

Maksudnya : Apabila membaca Fatihah, maka bacalah Bismillahirrahmanir Rahim, sebab ia adalah salah satu ayatnya.

Manakala menurut imam-imam Mazhab yang lain seperti Hanafi dan Hanbali , Bismillah bukanlah suatu ayat dari surah al-Fatihah. Hukum membacanya adalah sunat saja. Mazhab Maliki pula berpendapat bahawa membaca surah al-Fatihah hukumnya adalah makruh.

Wallahualam.

Dikuliahkan pada 11.3.2010
Sek. Men. Vokasional Ampangan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.