Saturday, March 27, 2010

Sifat-sifat orang munafik

Rasulullah saw berdepan dengan golongan munafik di bumi Madinah

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 8-16,

" Di antara manusia ada yang mengatakan: "Kami beriman kepada Allah dan hari kemudian," pada hal sesungguhnya mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman.(8)

Selepas Allah SWT menceritakan perihal sifat-sifat orang yang beriman pada mukaddimah surah, di susuli pula dengan sifat-sifat orang kafir, kemudian Allah SWT menyatakan pula golongan yang ketiga iaitu puak munafik yang menzahirkan keimanan tetapi pada hakikat sebenarnya mereka kufur dan tidak beriman kepada Allah SWT.

"Mereka cuba hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka sebenarnya hanya menipu dirinya sendiri sedangkan mereka tidak sedar".(9)

Maksudnya mereka cuba hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman dengan cara mengelabui mata orang ramai kononnya mereka pun mengerjakan ibadah, bersedekah dan sebagainya. Pada hakikatnya apa yang mereka buat itu bukanlah datang daripada perasaan ikhlas, tetapi kerana terpaksa, bimbang tidak mahu dipinggirkan oleh masyarakat Islam.

Di akhir ayat Allah menjelaskan mereka yang menipu ini sebenarnya menipu diri mereka sendiri. Maksudnya kalau dengan manusia bolehlah mereka menipu tetapi dengan Allah SWT mereka sama sekali tidak boleh menipu. Sampai masanya nanti Allah SWT akan menzahirkan kemunafikkan mereka.

"Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksaan yang sangat pedih, disebabkan mereka berdusta".(10)

Pada ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa dalam hati orang munafik itu ada penyakit. Maksud penyakit di di sini ialah penyakit jiwa seperti dengki, ego, dendam kesumat, serta menganggap diri mereka amat pintar. Pada sangkaan mereka perbuatan menipu, bohong dan berpura-pura di depan orang ramai itu tidak akan terbongkar, tetapi jangkaan mereka meleset, kerana Allah SWT akhirnya membongkarkan pembohongan merekasehingga diketahui oleh orang-orang yang beriman.

Bila Allah SWT bongkarkan pembohongan mereka, maka bertambahlah terseksa jiwa mereka kerana malu yang amat sangat dengan orang ramai. Inilah yang dimaksudkan oleh Allah SWT Lalu Allah SWT tambahkan lagi penyakitnya.

Dihujung ayat ini Allah SWT menyatakan bahawa mereka akan di azab dengan azab yang sangat pedih, maksudnya kalaulah di dunia lagi mereka sudah mendapat seksaan yang yang amat parah dalam bentuk penyakit jiwa, tidak tenteram, gelisah, dengki, ego dan bermacam-macam lagi, apatah lagi akhirat kelak yang mana Allah SWT akan menyediakan mereka sekaan yang sangat dahsyat dan amat pedih disebabkan perbuatan mereka yang berdusta.

Dan bila dikatakan kepada mereka:"Janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi". mereka menjawab: "Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang mengadakan kebaikan."(11)

Menurut tafsir Al-Azhar, ayat ini ditujukan kepada golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bi Salul. Sebelum Nabi saw datang ke Madinah, Abdullah adalah tokoh yang dihormati oleh penduduk Aus dan Kahzraj. Namun apabila orang-orang Madinah tahu ketidakjujuran Abdullah, setelah Rasulullah saw tiba di Madinah maka mereka melantik Rasulullah saw sebagai pemimpin Madinah.

Sejak kedatangan Nabi saw, Abdullah bin Ubai bin Salul kerjanya hanya mencemuh dan memperolok-olokkan dakwah Nabi saw daripada belakang. Hati mereka sakit apabila melihat orang Madinah baik dan rapat dengan Nabi saw. Justeru dengan lempar sembunyi tangan, mereka berusaha menghalang orang ramai melakukan kebaikan.

Apabila mereka diberi nasihat supaya jangan buat kerosakkan yang boleh memecah belahkan perpaduan umat , mereka menjawab tujuan mereka tidak lain hanyalah untuk melakukan kebaikkan sahaja. Ibarat kata pepatah lidah tidak bertulang, kata-kata mereka penuh dengan janji manis padahal isinya kosong. Sebaliknya Allah SWT menyangkal dakwaan mereka yang kononnya mereka melakukan kebaikan. FirmanNya,

"Ketahuilah, Sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerusakan, tetapi mereka tidak sedar".(12)

HAMKA menyatakan maksud tidak sedar ialah mereka tidak sedar akibat yang berlaku ke atas mereka di belakang hari hasil perbuatan mereka yang mencemuh Rasulullah saw dan orang-orang yang beriman. Sudah tentulah perbuatan mereka itu menjerut leher mereka sendiri.

Apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang yang telah beriman." mereka menjawab: "Adakah patut kami beriman seperti orang-orang bodoh yang telah beriman ?”. Ketahuilah sesungguhnya mereka itulah yang sebenarnya bodoh, tetapi mereka tidak sedar". (13)

Yang mereka maksudkan orang-orang yang bodoh itu ialah sahabat-sahabat Nabi yang telah beriman kepada Allah SWT. Apabila memeluk Islam, darjat para sahabat dengan golongan miskin dan hamba-hamba sahaya yang memeluk Islam adalah sama. Kerana Islam mengajar tidak ada perhambaan sesama manusia, sebab semua manusia adalah sama di sisi Allah SWT. Inilah yang tidak boleh diterima oleh golongan munafik. Mereka menganggap bergaul dengan orang miskin dan hamba itu tidak sepadan dengan darjat mereka. Kesimpulannya sifat sombong memang sudah terpasak di dalam hati orang-orang munafik.

Dan bila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan: "Kami Telah beriman". dan bila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka mengatakan: "Sesungguhnya kami sependirian dengan kamu, kami hanyalah berolok-olok sahaja."(14)

Dalam ayat ini Allah SWT menyatakan dengan jelas perangai orang-orang munafik. Bila di depan orang-orang yang beriman, mereka menyatakan bahawa mereka juga beriman tetapi apabila mereka berjumpa sesama rakan-rakan yang lain (yang sama-sama jadi syaitan), atau ketua-ketua mereka, mereka akan kata, apa yang mereka akui kononnya mereka beriman itu hanyalah palsu semata-mata. Tujuannya hanyalah untuk mengelabui mata orang-orang Islam.

Mereka rasa amat puas kerana dapat menipu orang-orang Islam secara bulat-bulat. Lantas Allah SWT berfirman,

"Allah akan (membalas) olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terombang-ambing dalam kesesatan mereka".(15)

Orang-orang munafik ini tidak sedar siapa yang sebenarnya mereka olok-olokkan itu ? Mereka ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Nabi Muhammad saw yang disokong oleh wahyu, dan wahyu ini pula datangnya daripada Allah SWT. Tegasnya mereka seolah-olah juga memperolok-olokkan Allah. Mana mungkin Allah SWT boleh diperolok-olokkan. Maka dengan sebab itulah Allah SWT menyatakan dengan tegas, Dia akan memperolok-olok dan mengejek-ejek mereka pula dengan balasan azab yang setimpal.

Mereka juga dibiarkan sesat tanpa pedoman, hidup penuh dengan kepura-puraan, hati mereka sebenarnya gelisah, sebab mereka sebenarnya tahu apa yang mereka buat itu salah. Tapi apakan daya oleh kerana perasaan ego yang menguasai diri dan tanpa hidayah Allah SWT, maka Allah SWT biarkan mereka hidup sesat dengan jiwa yang sakit berpanjangan. Kemudian Allah SWT menyatakan lagi perihal orang munafik itu dengan firmanNya,

"Mereka Itulah orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk, Maka tidaklah beruntung perniagaan mereka dan tidaklah mereka mendapat petunjuk ".(16)

Ertinya orang-orang munafik itu telah di datangkan petunjuk kebenaran. Hati kecil mereka mengakui bahawa pertunjuk yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw itu betul. Tetapi kerana rayuan hawa nafsu dan syaitan yang menolak pertunjuk itu maka terjadilah perjuangan batin. Akhirnya mereka kalah dalam perjuangan batin itu, mereka menolak kebenaran dan sanggup menerima kesesatan. Inilah yang dimaksudkan oleh Allah SWT mereka membeli kesesatan dengan pertunjuk. Justeru orang yang seperti ini tidak akan mendapat pertunjuk daripada Allah SWT.

Wallahualam.

Dikuliahkan oleh,

Ust Mohd Hishamuddin bin Mansor.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.