Etika memberi dan menjawab salam



Salam bererti damai, sejahtera dan selamat. Salah satu nama Allah ialah As-Salam. Memberi salam termasuk salah satu daripada hak persaudaraan dalam Islam sebagaimana hadis Rasulullah saw,

عن أبي هريرة أن رسول الله (ص) قال حق المسلم على المسلم ست قيل ما هن يا رسول الله ؟ قال إذا لقيته فسلم عليه وإذا دعاك فأجبه وإذا استنصحك فانصح له وإذا عطس فحمد الله فسمته وإذا مرض فعده وإذا مات فاتبعه

Maksudnya : “ Daripada Abu Hurairah r.anhu katanya Rasulullah saw bersabda : Hak seorang muslim terhadap seorang muslim yang lain ada enam perkara. Lalu baginda ditanya, apakah enam perkara itu ya Rasulullah ? Baginda menjawab, Bila engkau beremu dengannya ucapkanlah salam, bila dia mengundangmu maka penuhilah undangannya, Jika dia meminta nasihat daripadamu maka berilah nasihat, Jiika dia bersin lalu bertahmid maka doakanlah rahmat untuk dirinya, Jika dia sakit maka ziarahilahnya dan jika dia meninggal dunia maka iringilah jenazahnya ke kubur”.

Sabda Rasulullah saw,

إذا التتقى الرجلان المسلمان فسلم أحدهما على صاحبه فإن أحبهما إلى الله أحسنهما بشر الصاحبه فإذا تصافحا نزلت عليهما مائة رحمة للبادئ تسعون
وللمصافح عشرة

Maksudnya : Apabila berjumpa dua orang Islam, lalu yang seorang mengucapkan salam kepada yang lain, maka yang paling disukai Allah dia antara keduanya ialah barangsiapa yang mukanya lebih berseri-seri. Dan apabila mereka bersalam, Tuhan menurunkan 100 rahmat. Untuk yang memulai menghulurkan tangan diberikan 90 dan untuk yang menyambut tangan yang dihulurkan itu mendapat 10.



Mengucapkan salam membuktikan rasa kecintaan seseorang kepada saudaranya yang seagama. Ia menggambarkan rasa kebersihan hatinya daripada dengki, dendam, kebencian, kesombongan dan rasa memandang rendah terhadap orang lain. Seseorang muslim yang bebas daripada sifat ini, insya Allah bakal beroleh ganjaran besar (syurga) di akhirat kelak. Sabda Rasulullah saw,

لا تدخلو الجنة حتى تؤمنوا , ولا تؤمنوا حتى تحابوا أولا أدلكم على شئ إذا فعلتموه تحاببتم ؟ أفشوا السلام بينكم

Maksudnya : Kamu tidak akan masuk ke syurga sehinggalah kamu semua beriman, kamu belum beriman dengan sempurna sehingga kamu saling menyayangi. Apakah kamu tidak suka sekiranya aku tunjukkan sesuatu yang apabila kamu amalkan, pasti kamu akan saling sayang menyayangi. Sebarkanlah salam di antara kamu.

Dalam hadis yang lain,

إن رجلا سأل رسول الله (ص) : أى الإسلام خير ؟ قال : تطعم الطعام وتقرأ السلام على من عرفت ومن لم تعرف

Maksudnya : Sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw : Apakah amal Islam yang paling baik ? Nabi saw menjawab : Kamu memberi makan dan memberi salam kepada orang yang engkau kenal dan yang engkau tidak kenal.

Kata Abdullah bin Salam , semasa Rasulullah saw sampai di Yathrib baginda bersabda :

سمعت رسول الله (ص) يقول : يا أيها الناس أفشوا السلام وأطيعوا الطعام وصلوا الأرحام وصلوا والناس نيام تدخلوا الجنة بسلام

Maksudnya : Aku mendengar Nabi saw bersabda, Wahai manusia sebarkanlah salam, berilah makanan kepada yang memerlukan, pereratkanlah hubungan silaturrahim, dan bangunlah solat pada waktu malam ketika orang lain sedang tidur nescaya kamu semua akan masuk syurga dengan sejahtera. (HR ad-Darimi)

Adab memberi salam

Sabda Rasulullah saw,

يسلم الراكب الماشى على القاعد والقليل على الكثير

Maksudnya : Orang yang berkenderaan hendaklah memberi salam kepada pejalan kaki, orang yang berjalan memberi salam kepada orang yang duduk dan orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang ramai.



Berdasarkan hadis ini, adalah sunnah adalah orang menaiki kendaraan memberi salam kepada orang yang berjalan kaki, dan orang yang berjalan kaki memberi salam kepada orang yang duduk, orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang banyak, dan orang yang lebih muda memberi salam kepada orang yang lebih tua.

Disunatkan memberi salam di saat masuk ke suatu rumah sekalipun rumah itu kosong, karena Allah telah berfirman yang artinya:

Dan apabila kamu akan masuk ke suatu rumah, maka ucapkanlah salam atas diri kalian" (An-Nur: 61)

Lafaznya ialah , Assalamu `alaina wa `ala `ibadillahis shalihin", sebagaimana sabda Rasulullah saw,

"Apabila seseorang akan masuk ke suatu rumah yang tidak berpenghuni, maka hendaklah ia mengucapkan : Assalamu `alaina wa `ala `ibadillahis shalihin" (HR. Bukhari )
Al-Albani).

Hukum kanak-kanak memberi dan menjawab salam

Menurut Imam an-Nawawi rhm sekiranya yang memberi salam itu kanak-kanak maka wajib orang dewasa menjawabnya. Tetapi jika orang dewasa memberi salam kepada kanak-kanak maka mereka tidak wajib menjawabnya kerana tidak termasuk sebagai ahlul fardhi.















Sekiranya seseorang yang sudah baligh, memberi salam kepada satu jemaah yang terdapat kanak-kanak di dalamnya, lalu kanak-kanak menjawab salam tersebut maka para ulama berbeza pandangan. Ada pendapat mengatakan sudah lepas tanggungjawab ahli jemaah yang dewasa untuk menjawab salam tersebut. Inilah pendapat Abu Bakar as-Syasyi dan al-Musstazhari dikiaskan dengan masalah jika kanak-kanak azan maka lepaslah tuntutan orang dewasa untuk melaungkan azan.

Pendapat kedua yang paling sahih mengatakan jawapan salam kanak-kanak itu tidak melepaskan kewajipan orang-orang dewasa menjawabnya, sebab kanak-kanak tidak dianggap sebagai ahlul fardhi. Sedangkan menjawab salam itu hukumnya adalah fardhu. Inilah pandangan al-Qadhi Hussein dan al-Mutawalli.

Berkirim salam

Apabila seseorang menyampaikan salam kepada seseorang maka hendaklah orang yang menerima salam itu menjawabnya dengan segera dengan lafaz Wa’alahis Salam. Sunat juga hukumnya jika turut mendoakan orang yang membawa salam itu dengan lafaz Wa’alaika wa’alaihis Salam. Hal ini sabit dengan sebuah hadis Nabi saw yang datangnya dari Ghalib al-Qaththaan berkata :

بعثنى أبي إلى رسول الله (ص) فقال : إئته فأقرئه السلام , فأتيته فقلت : إن أبي يقرئك السلام , فقال : عليك السلام وعلى أبيك السلام

Maksudnya : Ayahku mengutusku untuk menemui Rasulullah saw maka katanya : Datangilah Rasulullah, sampaikan salamku kepadanya. Aku pun datang kepada Rasulullah lalu aku kataan kepada baginda, Sesungguhnya ayahku mengucapkan salam kepadamu. Nabi saw menjawab, ‘Alaika wa’ala Abikas Salam.

Hukum salam antara lelaki dan perempuan

Berpandukan pendapat jamhur (kebanyakan) ulama’ yang berasaskan hadis dan amalan Rasullah s.a.w. serta para sahabat bahawa seorang, lelaki boleh memberi salam kepada wanita, jika sekiranya ia tidak menimbulkan sebarang fitnah.

Dalam sahih al-Bukhari disebutkan bahawa Ummu Hani’ binti Abu Talib berjumpa Rasullah s.a.w. pada tahun pembukaan Makkah dan terus memberi salam kepada baginda, lalu pun menjawab salamnya.

Sebuah lagi hadis, yang diriwayatkan oleh Jarir yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah berjalan dan berjumpa sekumpulan wanita lalu baginda memberi salam kepada mereka.”Saidina Umar bin al-Khattab juga pernah memberi salam ketika berjumpa dengan beberapa orang wanita sambil berkata: “Aku adalah utusan Rasullah kepada kamu sekelian.”

Ibnu Aun pernah bertanya kepada Ibnu Sirin: “Bolehkah saya memberi salam kepada seorang perempuan?” Jawabnya: “Tidak ada salahnya”. Demikianlah pandangan para ulama mengenai keharusan kaum lelaki memberi salam kepada perempuan dan juga sebaliknya.

Namun menurut Imam Al Nawawi rhm: " Jika seseorang perempuan yang ajnabi(bukan mahram) itu cantik dan di takuti timbul fitnah maka adalah haram memberi salam kepadanya. Salam itu tidak harus dijawab oleh perempuan itu begitulah sebaliknya jika yang memberi salam itu perempuan maka tidak wajib salam itu di jawab oleh si lelaki.

Memberi salam serentak

Apabila dua orang saling bertemu dan mengucapkan salam serentak, maka menurut al-Qadhi Hussein dan Abu Sa’ad al-Mutawalli, kedua orang itu dihukumkan sebagai pemberi salam yang wajib menjawab salam masing-masing.

Manakala satu lagi pendapat iaitu Asy-Syasi dan dipersetujui oleh Imam an-Nawawi, jika salah seorang dari kedua yang memberi salam itu lewat maka yang lewat itulah yang perlu menjawab salam tetapi jika serentak maka memadailah salah seorang daripadanya menjawab.

Hukum mengucapkan ‘Alaikas Salam

Para ulama berbeza pendapat jika seseorang memberi salam dengan lafaz ‘Alaikas salam. Menurut Imam Abu Hassan al-Wahidi ucapan salam itu wajib dijawab walaupun lafaznya menyalahi kebiasaan. Manakala Imam al-Ghazali pula berpendapat hukum mengucapkan salam seperti itu adalah makruh, namun menjawabnya adalah wajib.

Dalam sebuah hadis, dari Abu Jazyl Hujaimi r.a berkata,

أتيت رسول الله (ص) فقلت : عليك السلام يا رسول الله , قال : لا تقل عليك السلام , فإن " عليك السلام " تحية الموتى

Maksudnya : Aku datang kepada Rasulullah saw lalu berkata, ‘Alaikas Salam ya Rasulullah. Nabi saw menjawab, Janganlah engkau berkata ‘Alaikas salam kerana ucapan ‘Alaikas Salam adalah salam orang mati. (HR Abu Daud, Tirmizi dll)

Hukum jawab salam orang kafir

Sabda Rasulullah saw,

"Janganlah kamu memulai salam kepada orang Yahudi dan jangan kepada orang Nasara".(H.S.R.Muslim).

Haram hukumnya menjawab salam daripada orang kafir. Dalilnya ialah sebuah hadis yang datanya dari Qatadah, dari Anas bin Malik (radiallahua’anh) bahawa sahabat Nabi (sallallahu ‘alaihi wasallam) telah bertanya kepada baginda:

“Bahawa ahli kitab (Yahudi dan Kristian) memberi salam kepada kami, maka bagaimana kami membalasnya? Baginda menjawab:

إذا سلم عليكم أهل الكتاب فقولوا : وعليكم

Maksudnya : Apabila Ahlul Kitab memberi salam kepada kalian maka jawablah dengan ucapan wa’alaikum”. (Hadis Muslim, Abu Daud, an-Nasai dan Ibn Majah)

Hadis di atas jelas menyatakan bahawa orang Islam tidak boleh menjawab salam orang Yahudi, Kristian dan orang-orang Musyrikin. Begitu juga memberi salam kepada mereka kerana lafaz salam menumbuhkan perasaan kasih sayang, sedangkan berkasih sayang dengan orang kafir adalah dilarang sama sekali. Firman Allah SWT,

Maksudnya : “Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya...” (al-Mujaadilah, ayat 22).

Justeru, para ulama’ bersetuju bahawa cara yang dibolehkan menjawab salam orang bukan Islam hanyalah sekadar menyebut ucapan “wa’alika” atau “wa’alaikum” dan ia hendaklah dikhususkan kepada kafir zimmi sahaja.

Jika seseorang muslim melalui suatu kumpulan manusia yang terdiri dari orang Islam dan bukan Islam maka disunatkan memberi salam dengan niat ditujukan kepada orang Islam sahaja. Dalilnya ialah hadis yang datangnya dari Usamah bin Zaid r.a katanya, Azkar m/s 498

إن النبي (ص) مر على مجلس فيه أخلاط من المسلمين والمشركين عبده الأوثان واليهود فسلم عليهم النبي (ص)

Maksudnya : Sesungguhnya Nabi saw melewati satu majlis yang di dalamnya bercampur antara umat Islam dan kaum musyrikin penyembah berhala serta orang-orang Yahudi maka Nabi saw memberi salam kepada mereka.

Situasi yang makruh ketika memberi salam

Walaupun penyebaran salam itu sangat dituntut, akan tetapi ada tempat dan ketikanya kita dimakruhkan mengucapkannya. Adapun keadaan yang dimakruhkan itu antara lain ialah:

Makruh memberi salam kepada orang yang sedang buang air atau istinjak. Sekiranya orang seperti ini diberi salam, tidak wajib ke atasnya menjawab salam tersebut. Makruh memberi salam kepada orang yang sedang tidur atau mengantuk atau kepada orang yang sedang azan, iqamah dan sembahyang.

Makruh memberi salam kepada orang yang sedang makan ketika makanan berada di mulutnya. Sekiranya dia diberi salam ketika itu, maka tidak wajib ke atasnya menjawab. Sekiranya dia makan tetapi tidak ada makanan dalam mulutnya, maka tidak mengapa memberi salam kepadanya dan salam seperti itu wajib dijawab.

Makruh juga memberi salam ketika khutbah Jumaat sedang diperdengarkan. Menurut Imam an-Nawawi rhm, makruh memberi salam kepada jamaah yang hadir, kerana mereka sedang khusyuk mendengar khutbah apatah lagi disuruh apabila khatib sudah berada di atas mimbar.

Makruh juga memberi salam kepada orang yang sedang membaca al-Qur’an. Menurut Imam Abu al-Hasan al-Wahidi, adalah lebih afdal tidak memberi salam kepadanya. Jika dia diberi salam, cukup baginya menjawab dengan isyarat. Akan tetapi jika dijawabnya dengan lisan, sambungan bacaan al-Qurannya dengan Isti‘adzah.

Makruh memberi salam kepada orang yang membaca talbiah ketika berihram, kerana memutuskan talbiah itu adalah makruh. Makruh memberi salam dengan isyarat, ini berdasarkan keterangan dari Jabir r.a bahawa Nabi saw bersabda:

“Janganlah kamu memberi salam seperti orang-orang Yahudi, kerana sesungguhnya mereka memberi salam menggunakan dengan kepala, tangan dan isyarat.”(Hadis riwayat an-Nasa’i)

Adapun larangan ini ditujukan khas bagi sesiapa yang mampu memberi salam tetapi tidak mengucapkannya, kecuali jika ada keuzuran, seperti orang bersembahyang, bisu dan orang yang diberi salam itu jauh jaraknya sepertimana yang diriwayatkan daripada ِAsma’ r.anha, beliau berkata:

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melalui dalam masjid dan dalamnya terdapat sekumpulan wanita yang duduk, maka Baginda memberi isyarat salam dengan tangan Baginda.”(Hadis riwayat at-Termizi)

Wallahualam.

Kuliah Maghrib,
Surau Kolej Height, Surau al-Amin, Surau Desa Rhu, Masjid Ampangan dan Sikamat.

Rujukan,

Al-Azkar - Imam an-Nawawi
Sahih Muslim

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu