Kisah Nabi Adam a.s dan Iblis ...

Firman Allah SWT,

“ Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat : “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam ”. Lalu mereka sekeliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis ; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir”. (Al-Baqarah 034)

Dalam ayat ini Allah SWT mengingatkan Nabi Muhammad saw bahawa Dia (Allah) telah memerintahkan para Malaikat untuk sujud kepada Nabi Adam a.s, maka Malaikat telah melaksanakan perintah tersebut dengan patuh melainkan Iblis yang sombong. Disebabkan itu maka jadilah ia dari golongan kafir.

Ada beberapa persoalan, yang pertama ayat ini ditujukan kepada malaikat supaya sujud kepada Nabi Adam a.s, soalannya mengapa Iblis juga perlu sujud ? Adakah dia juga termasuk sebagai makhluk yang bernama malaikat ?

Jawapannya hendaklah kita merujuk surah Al-Kahfi ayat 50,

“Dan (ingatlah peristiwa) tatkala Kami berfirman kepada malaikat : “Sujudlah kamu kepada Adam ”, lalu mereka sujud melainkan Iblis ; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya… ”

Ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa Iblis bukanlah malaikat, sebaliknya ia adalah makhluk yang berasal daripada Jin.

Persoalan seterusnya, kalau dia bukan malaikat mengapa dia perlu sujud ?

Jawapannya, walaupun dia bukan malaikat, tetapi dia tinggal bersama dengan para malaikat yang wajib taat segala perintah Allah SWT. Samalah seperti warga asing yang tinggal di Malaysia walaupun dia bukan warganegara Malaysia, tetapi dia wajib patuh kepada undang-undang di Negara Malaysia.

Dr. Nurcholish Majid seorang pemikir Islam Liberal di Indonesia (M 2007) yang sealiran dengan Gus Dur ketika mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa keengganan Iblis untuk sujud kepada Nabi Adam a.s menunjukkan bahawa tahap keimanannya lebih tinggi daripada malaikat kerana Iblis tidak mahu sujud yakni menyembah kepada mana-mana makhluk melainkkan hanya kepada Allah SWT sahaja. Di akhirat kelak Iblis bakal memperolehi syurga yang tertinggi melebihi syurga para Nabi dan Rasul.

Ini merupakan satu tafsiran yang sesat. Sujud yang dimaksudkan di sini bukanlah Sujud seperti menyembah, tetapi sujud menghormati Nabi Adam a.s sebagai makhluk yang istimewa untuk dijadikan khalifah di atas muka bumi.

Firman Allah SWT seterusnya,

“Dan Kami berfirman: "Wahai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu di syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik dimana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim ”(Al-Baqarah 035)

Pada ayat ini Allah SWT menjelaskan bagaimana Nabi Adam dan isterinya Hawa diberikan kebebasan oleh Allah SWT untuk tinggal dalam syurga dan menikmati segala makanan yang terdapat dalamnya.

Para ulama berbeza pandangan mengenai Syurga yang didiami oleh Nabi Adam a.s, adakah syurganya sama seperti syurga yang Allah SWT janjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh di akhirat nanti. Menurut Imam Sya'rawi, syurga yang didiami oleh Nabi Adam a.s adalah syurga yang bersifat sementara kerana syurga yang bersifat kekal tidak boleh dimasuki Iblis dan hanya boleh dimasuki oleh manusia selepas melalui proses hisab.

Di syurga ini kebebasan yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi Adam dan Hawa di tidak mutlak, ada perkara lain yang mereka tidak boleh buat iaitu jangan mendekati sebatang pokok dengan maksud tidak boleh memakan buah dari pokok tersebut.

Apakah nama pokok tersebut ? Al Quran dan Hadis tidak ada menerangkan nama pokok tersebut. Namun begitu ada pendapat mengatakan nama pokok tersebut ialah pokok khuldi. Ini berdasarkan surah Taha ayat 120,

“ Setelah itu maka Syaitan membisikkan kepadanya dengan berkata : Wahai Adam mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon (khuldi) yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan lenyap ?”

Tetapi pendapat ini dipertikaikan kerana nama pokok khuldi itu adalah nama yang diberikan oleh Syaitan bukan nama yang diberikan oleh Allah SWT. Kesimpulannya, hanya Allah SWT sahajalah yang Maha Mengetahui apakah nama pokok tersebut.

Ayat ini memberi pengajaran kepada kita bahawa Allah SWT memberi kebebasan kepada umat Islam untuk tinggal dui dunia ini sebagaimana Allah SWT memberi kebebasan kepa Nabi Adam dan Hawa untuk tinggal di syurga. Namun kebeasan yang Allah SWT beri tidak bersifat mutlak.

Sebagai contoh Islam memberi kebebasan untuk manusia memeluk Islam, tetapi tidak memberi kebebasan untuk keluar dari Islam. Jika seorang Muslim telah keluar dari Islam (murtad), maka dia diminta bertaubat dan jika dia enggan, maka hukuman hudud wajib dijatuhkan ke atasnya yakni dihukum mati.

Islam juga memberi kebebasan kepada umatnya untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat tapi janganlah sampai membawa kepada pemikiran yang sesat dan kufur seperti pemikiran Islam Liberal, pluarisme agama dan sebagainya.

Firman Allah SWT lagi,

“ Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari Syurga itu dan menyebabkan mereka di keluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya ; dan Kami berfirman : Turunlah kamu ! Sebahagian dari kamu akan menjadi musuh kepada sebahagian yang lain ;dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati) .”(Al-Baqarah 036)

Setelah itu datanglah Syaitan menghasut mereka sehingga mereka makan buah yang dilarang itu.lalu mereka tergelincir dari Syurga. Persoalan, bagaimana Nabi Adam boleh melakukan kesalahan sedangkan setiap Nabi itu maksum, terpelihara daripada melakukan dosa ?

Untuk menjawab persoalan ini hendaklah merujuk surah Taha ayat 115.

“ Dan demi sesungguhnya Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi ia lupa ; dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh ”.

Daripada ayat ini jelas kepada kita bahawa kesalahan yang dilakukan oleh Nabi Adam, bukanlah satu kesalahan yang disengajakan sehingga baginda dihukum berdosa. Sedangkan Allah SWT sama sekali tidak akan mengambil tindakan atau memberi balasan terhadap sesuatu kesalahan yang dilakukan tanpa sengaja. Firman Allah dalam surah Al-Ahzaab ayat 5,

“ Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukanny, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Oleh itu tidak boleh sama sekali kita membuat andaian, sekiranya Nabi Adam tidak memakan buah yang dilarang oleh Allah SWT itu maka kita semua hari ini berada di syurga.

Sebab kalau kita rujuk dalam al-Quran Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 30,

“Dan ingatlah wahai Muhammad ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, Sesungguhnya Aku menjadikan seorang khalifah di atas bumi (Adam) …”

Daripada ayat ini fahamlah kita bahawa Nabi Adam a.s diturunkan ke dunia oleh Allah SWT kerana Dia mahu menjadikan Adam sebagai khalifah. Sama ada Nabi Adam makan atau tidak buah yang dilarang itu, baginda tetap akan diturunkan dari syurga ke dunia.

Dalam surah al-A’raaf ayat 23,

“ Mereka berdua merayu : Wahai Tuhan kami, kami telah menganiyai diri kami sendiri dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi ”.

Persoalan, kalaulah Nabi Adam a.s tidak berdosa, mengapa dia perlu minta ampun dengan Allah SWT ? Jawapannya, Nabi Adam a.s tetap minta ampun dengan Allah SWT kerana mahu memberi pengajaran kepada cucu cicitnya supaya minta ampunlah dengan Allah SWT apatah lagi jika melakukan kesalahan dengan sengaja.

Perbezaan kesalahan Nabi Adam dan Iblis

1. Kesalahan Nabi Adam dilakukan dengan tidak sengaja, kesalahan Iblis dilakukan dengan sengaja

2. Nabi Adam a.s bila sudah melakukan kesalahan, dia mengaku kesalahan yang dilakukan lalu meminta ampun kepada Allah, sedangkan Iblis dia tidak mahu mengaku kesalahan yang dilakukan dan tidak mahu meminta ampun kepada Allah

3. Allah ampunkan dosa Nabi Adam tetapi Iblis diistiharkan kafir.

Kesimpulannya

Jika kia melakuan kesalahan, ayuh segera mmengaku kesalahan kita dan minta ampun kepada Allah SWT. Jangan jadi seperti Iblis yang cuba hendak menegakkan benang yang basah walau pun dia tahu perbuatannya adalah salah.

Wallahualam.

Nota Kuliah Subuh di Surau Jiboi pada 14.3.2010

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu