Tuesday, March 2, 2010

Adakah Nabi Khidir masih hidup ...?






















Benarkah Nabi Khidir a.s masih hidup ? Bagi menjawabnya eloklah kita meneliti dua pandangan ulama seperti yang dipaparkan.

Pendapat yang mengatakan masih hidup

Bagi mereka yang mengatakan Nabi Khidir a. s masih hidup, mereka berpegang kepada dalil yang menyebut bahawa ada empat orang di kalangan nabi yang masih hidup, dua orang di kalangan mereka berada di langit iaitu Nabi Isa a.s dan Nabi Idris a.s manakala dua orang lagi berada di bumi iaitu Nabi Khidir a.s dan Nabi Ilyas a.s. Nabi Khidir berada di lautan manakala Nabi Ilyas berada di daratan.

Selain itu ada juga hadis yang mengatakan Nabi Khidir dan Nabi Ilyas a.s bertemu pada musim Haji setiap tahun. Kemudian diceritakan pada satu ketika Rasulullah saw berada di dalam masjid Madinah dan baginda mendengar satu suara di belakangnya. Para sahabat keluar daripada masjid dan mendapati orang yang bercakap itu adalah Nabi Khidir a.s.

Hujah ini turut di sokong oleh ramai ulama antaranya, Abu Ishaq As-Tha’labi yang merupakan seorang ahli tafsir dengan katanya, “Dikatakan bahawa Nabi Khidir a.s tidak akan wafat kecuali di akhir zaman iaitu sewaktu Al-Quran di angkat ke langit ”.

Ibnu Solah berkata : “Beliau masih hidup di kalangan para ulama dan bergaul dengan mereka ”. Amru bin Dinar pula berkata : “ Sesungguhnya Nabi Khidir a.s dan Nabi Ilyas a.s kedua-duanya masih lagi hidup selagi masih ada Al-Quran sehinggalah ia di angkat ke langit barulah mereka akan wafat .”

Manakala Al-Yafi’ie berpendapat, “ Sesungguhnya aku telah mendengar seorang Sheikh besar iaitu Najmuddin Al-Asfahani berada di belakang kubur Nabi Ibrahim a.s menyatakan bahawa Nabi Khidir a.s memohon dari Allah SWT agar dicabut nyawanya ketika Al-Quran di angkat ke langit .”

Pendapat yang mengatakan sudah wafat

Mereka menggunakan dalil surah Al-Anbiaa ayat 34,

وما جعلنا لبشر من قبلك الخلد أفاين مت فهم الخلدون (34)

Maksudnya : Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya ?

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT menegaskan bahawa tidak ada seorang pun manusia sebelum mahupun selepas Nabi Muhammad saw yang boleh hidup kekal selama-lamanya. Justeru ayat ini sekaligus menafikan dakwaan mereka yang mengatakan Nabi Khidir a.s masih hidup sehingga sekarang.

Jika Nabi Khidir a.s masih hidup, ia adalah satu perkara besar dan sudah tentu hal sebesar ini akan disebut di dalam Al-Quran sebagaimana Allah SWT pernah menyebut tentang kisah Ashabul Kahfi yang dihidupkannya selama 950 tahun sebagai bukti tanda kebesaran dan kekuasaanNya.

Kalau kisah Ashabul Kahfi yang hidup selama 950 tahun disebut di dalam Al-Quran , maka lebih-lebih lagilah kisah Nabi Khidir a.s yang dihidupkanNya sepanjang zaman juga akan di sebut di dalam Al-Quran. Sedangkan dalam Al-Quran tidak ada satu ayat pun yang mengisahkan Nabi Khidir masih hidup sampai sekarang. Ini menunjukkan kepada kita bahawa dakwaan yang mengatakan Nabi Khidir a.s masih hidup tidak berpegang kepada dalil Al-Quran yang merupakan rujukan utama umat Islam.

Jika benarlah dakwaan Nabi Khidir a.s masih hidup, sudah pasti baginda akan membantu Nabi Muhammad saw sebagaimana Nabi Harun a.s pernah membantu Nabi Musa a.s. Bukankah ini sudah termasuk dalam perjanjian antara nabi-nabi dengan Allah SWT sebagaimana yang dirakamkan di dalam Al-Quran surah Ali-‘Imran ayat 81,

"Dan ingatlah ketika Allah SWT mengambil perjanjian dari para Nabi : Sesungguhnya Aku memberikan kitab dan kebijaksanaan padamu, kemudian datanglah kepadamu seorang Rasul yang membenarkan ajaran yang ada padamu, hendaklah kamu percaya dan memberikan pertolongan kepadanya. Allah berfirman : Adakah kamu semua mengakui dan menerima perjanjianKu yang sedemikian itu ? Mereka menjawab : Kami semua mengakui. Allah berfirman pula : Oleh sebab itu hendaklah kamu menjadi saksi dan Aku menjadi saksi pula bersamamu ".

Tetapi tidak terdapat dalam catatan sejarah yang menunjukkan bahawa Nabi Khidir pernah membantu Rasulullah saw dalam perjuangannya menegakkan syiar Islam apatah lagi di saat-saat genting seperti dalam peperangan Badar, Uhud dan sebagainya. Ini adalah bukti yang menunjukkan bahawa Nabi Khidir a.s sudah pun wafat.

Dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Jabir ra. menjelaskan bahawa Rasulullah saw bersabda,

والله لو كان موسى حيا بين أظهركم ما حل له الا أن يتبعنى

Maksudnya : Demi Allah, andaikata Musa masih hidup dan ada di hadapanmu, maka tidak ada tempat baginya melainkan dia tentu mengikut ajaranku..

Berdasarkan hadis di atas, jika Nabi Khidir a.s masih hidup, kenapa dia tidak datang mengerjakan solat Jumaat, dan menunaikan Haji bersama-sama Rasulullah saw. Bukankah mengerjakan solat Jumaat dan menunaikan Haji itu termasuk ajaran Rasulullah saw ?

Jika seseorang mendakwa bahawa dia pernah berjumpa Nabi Khidir a.s, maka apakah tanda atau bukti yang membolehkan dia mengenali Nabi Khidir ? Apakah cukup dengan mendakwa “ Sayalah Nabi Khidir ” lalu orang yang melihat terus mempercayainya tanpa sebarang bukti daripada Allah SWT.

Di samping itu para ulama seperti Imam Bukhari apabila ditanya mengenai Nabi Khidir dan Nabi Ilyas a.s, adakah kedua-duanya masih hidup, beliau menjawab, bagaimanakah boleh jadi demikian ? Bukankah Rasulullah saw bersabda, Tidak seorang pun yang ada pada hari ini kekal apabila tiba seratus tahun.

Sheikul Islam Ibnu Taimiyah pernah ditanya mengenai soalan yang serupa, beliau menjawab : Seandainya Nabi Khidir a.s masih hidup, wajib ke atasnya menemui Rasulullah saw dan berjihad serta belajar daripada baginda.

Abu Al-Faraj ibn al-Jawzi berkata : “Alangkah jauhnya fahaman orang yang mengatakan Nabi Khidir masih hidup kerana dengan mengatakan yang sedemikian bererti dia membantah syariat Islam ”.

Kesimpulan saya

Isu sama ada Nabi Khidir masih hidup atau tidak bukanlah perkara pokok dalam agama. Ia hanyalah masalah khilafiah yang tidak perlu dipertengkarkan. Kedua belah pihak hendaklah saling berlapang dada dan menghormati setiap pandangan yang berbeza.

Bagi saya, daripada memikirkan isu ini lebih baik kita fikirkan bagaimana mahu menyelamatkan umat Islam yang sedang tertindas di bumi Palestin. Elok juga kalau kita fikirkan bagaimana mahu membebaskan pemikiran syirik dan khurafat sebahagian rakyat Malaysia yang menganggap hanya Be End sahaja boleh memerintah !

Sekian jumpa lagi di lain artikel. Ma'as Salamah.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.