Kisah saya di SHAMS dan Dato’ Mufti

SMKA Sheikh Haji Mohd Said (SHAMS) banyak menyimpan nostalgia kepada saya.

Di madrasah ini saya menimba ilmu dengan ramai para Ustaz antaranya Al-Fadhil Ust Ali Kuty, Ust Jaafar bin Mohamad, Ust Hashim bin Harun dan Ust Hj Yusuf bin Haji Ahmad.

Di kalangan rakan-rakan pula, saya berkawan dengan Al-Fadhil Ust Hafizi bin Ali (senior), Ustaz Khusahairi Hamthan (classmate tkt 4 dan 5) dan Ust Khazri bin Othman (junior).

Tawaran ke Universiti Darul Uloom, Deoband India.

Keputusan SPM 1989 tidak memihak kepada saya untuk memohon mana-mana Matrikulasi. Ya, saya mendapat pangkat 1 dalam peperiksaan tersebut tetapi jumlah aggregatenya 21.

Sedangkan syarat untuk masuk mana-mana Matrikulasi mestilah mendapat sekurang-kurangnya aggregate 18 ke bawah.


Tingkatan Enam Atas Usuluddin

Saya tidak berputus asa.

“ Kalau universiti tempatan tidak mahu terima tidak mengapa …, mungkin Universiti luar Negara ada peluang”, pujuk hati yang sedang kecewa.

Lalu saya menghantar surat ke beberapa Universiti di luar Negara. Saya juga memberanikan diri ke Jalan Ampang Kuala Lumpur, ‘memanjat’ kedutaan Arab Saudi, Indonesia, Libya, Iraq, Pakistan dan juga India.

Jawapannya 'HAMPA' . Dengan kelulusan SPM sahaja, saya tidak diterima untuk belajar di mana-mana Universiti di negara tersebut.

Namun ada satu Universiti yang menerima saya iaitu Universiti Daru Uloom Deoband, India. Saya bercadang mahu ‘celup’ di India beberapa tahun kemudian menyambung pengajian di peringat Master di university Al-Azhar. Inilah yang dilakukan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz, MB Kelantan.


1989, belakang saya Ust Khushairi Hamthan

Hasrat ini saya luahkan kepada emak,

“Apo… ?, kau nak poei India ? Tak usah ngado-ngado ?”, respon emak dalam loghat Negeri Sembilan.

Jawapan emak mematikan hasrat saya.

Tawaran ke tingkatan enam

Menyambung persekolahan ke tingkatan enam bukanlah pilihan saya kerana saya diberitahu oleh abang-abang senior,

“ Kau jangan masuk tingkatan enam … subjek tingkatan enam susah…apa lagi di bidang Usuluddin , pasti kau hancur ”, kata mereka.

Oleh kerana tiada pilihan lain akhirnya saya terima juga tawaran untuk memasuki tingkatan enam.

Ketika membaca surat tawaran, sekali lagi saya rasa kecewa apabila dimasukkan ke dalam kumpulan pelajar yang mengambil bidang Usuluddin.

Kata-kata abang senior bahawa bidang ini 'sangat susah' masih terngiang-ngiang di telinga saya.

Rayuan ditolak.

Pada hari pertama mendaftar masuk ke Tingkatan Enam, saya berjumpa dengan Pengetua , Ust Yusuf bin Haji Ahmad, sekarang Mufti Negeri Sembilan.

“Ustaz, saya mahu tukar jurusan…saya mahu masuk Syariah”, kata saya dengan wajah yang penuh pengharapan.

“Anta belajarlah dulu dalam bidang ini selama sebulan…, lepas itu baru jumpa ana”, jawabnya.

Sebulan selepas itu….

Selepas solat Maghrib bersama Ust Yusuf di surau sekolah, sekali lagi saya menyampaikan hasrat untuk bertukar bidang,

“Ustaz…, Ustaz kata setelah sebulan saya boleh memohon untuk tukar ke bidang Syariah”, kata saya minta simpati.

Ustaz Yusuf memandang saya dengan wajah serius.

Pandangannya itu menyebabkan saya merasa takut sehingga saya tundukkan kepala.

Tiba-tiba Ust Yusuf tersenyum sambil bertanya ,

“ Cuba anta terjemahkan maksud Usuluddin ? ”

“Er..er, Usuluddin maknanya perkara pokok dalam agama Ustaz..”, jawab saya teragak-agak.

“ Dah tu …. Belajarlah dalam Usuluddin ,” katanya.

Jawapan beliau menyebabkan saya mati akal.

Mula berguru dengan Ust Yusuf

Di kalangan guru yang mengajar saya semasa di tingkatan enam ialah Ust Yusuf sendiri.

Beliau mengajar saya ilmu Mantiq. Saya pening dengan subjek ini. Bagi saya subjek ini agak susah dan menyukarkan untuk beroleh kejayaan dalam STPM.

Ust Yusuf seorang yang pakar dalam ilmu ini. Dia mengajar menggunakan bahasa Arab yang fasih, tenang tapi serius.


Dari kiri Ustazah Khuzaimah, Arwah Ust Pauzi, Ust Yusuf, Cikgu 'Babuk' dan saya

Semasa kelas berjalan , semua murid senyap, sehinggakan bunyi kipas yang berpusing pun boleh didengari. Maklumlah yang mengajar kami bukan sebarangan orang. Beliau ialah Pengetua, orang yang terpenting dalam sekolah.

Ust Yusuf tidak lama mengajar saya. Kesibukkan beliau sebagai Pengetua menyebabkan kelas Mantiq diserahkan kepada Ust Saiful Bahrin bin Abu.

Dilantik sebagai Head Boy

Satu hari di perhimpunan sekolah, nama saya diumum sebagai Ketua Umum (Head Boy ) bagi sesi 90/91.

Hairan…, hati saya tertanya-tanya, mengapa saya dipilih ?

Pada hal saya bukanlah aktif dalam bidang kokurikulum.

Bersukan ? Masya Allah jauh sekali. Cuma saya ada gaya ‘lebai-lebai’ sikit ketika di sekolah.

“Kami guru-guru telah berbincang. Kami percaya kepada anta.., anta boleh memikul amanah ini”, kata Ust Yusuf dalam satu pertemuan.

Semenjak itu saya mula rapat dengan Ust Yusuf, Ustazah Khuzaimah bt Sulaiman (Guru HEM) dan Arwah Ust Pauzi (Guru Displin). Antara tugas saya sebagai pemimpin pelajar ialah melaporkan hal-hal displin kepada mereka bertiga.

Tugas Ketua Umum agak berat. Saya pernah dipulau oleh rakan-rakan sekelas kerana terlalu strict sehingga digelar sebagai ‘tali barut’ sekolah.

Temuduga ke Universiti Islam Madinah

Semasa di tingkatan enam rendah, ada seorang Ustaz dari luar datang mengajar subjek Tafsir. Beliau merupakan Pegawai Pendidikan di Kedutaan Arab Saudi, Jalan Uthant Kuala Lumpur. Namanya Ust Nasri.

Sekitar bulan Julai 1991 ketika di tingkatan enam atas, dia telah menelefon salah seorang rakan saya memberitahu Kedutaan Arab Saudi membuat temuduga terbuka bagi sesiapa yang ingin melanjutkan pengajian ke Universiti Islam Madinah.

Malangnya tarikh temuduga itu bertembung pula dengan perperiksaan Thanawi kami.

“Macam mana Hisham…., nak pergi tak esok ?”, tanya seorang rakan.

“Ya, ana akan pergi”, jawab saya excited.

“Habis tu…. macam mana dengan exam ? ”, tanyanya lagi.

“Kita jumpa Ust Yusuf sekarang”, jawab saya.

Kami pun bergegas ke bilik pengetua menerangkan hasrat untuk pergi temuduga. Ust Yusuf kemudian memberi arahan kepada guru-guru untuk membatalkan peperiksaan tingkatan enam kerana hendak meraikan pemergian kami berlima ke Kuala Lumpur pada keesokkan hari.

“Moga-moga antum berjaya ”, kata Ust Yusuf.

“Terima kasih Ustaz”, jawab kami serentak.

Malangnya kesemua yang menghadiri temuduga pada hari itu GAGAL dalam keputusan temuduga.

Sekali lagi saya rasa kecewa.

Ust Yusuf , Pengetua yang warak.

Semasa di tingkatan 2, ada seorang Guru Bahasa Inggeris yang saya pun sudah lupa namanya. Kata cikgu ini,

“ Saya sudah lama hidup di dunia. Tapi saya tidak pernah jumpa Pengetua yang sebaik Ust Yusuf. Saya rasa nasibnya di akhirat adalah cerah berbanding dengan saya”, katanya.

Memang saya akui…., Ustaz Yusuf seorang yang baik lagi warak. Dia rajin naik ke asrama mengejutkan kami solat subuh berjemaah.

Dia juga sangat suka solat Maghrib dan Isyak berjemaah bersama kami.

“Jangan bercakap, penuhkan barisan depan tu !”, katanya memarahi pelajar-pelajar yang main-main ketika hendak mendirikan solat.

Ust Yusuf kalau menengking, semua pelajar senyap bagaikan negeri yang dilanda Garuda.

Ust Yusuf, seorang yang berhati-hati

Kalau sesiapa yang pernah mendengar ceramah Ust Yusuf, tahulah gayanya ketika berceramah. Sungguh berhati-hati, perlahan dan tidak bercakap berdasarkan emosi.

Ada seorang Ustaz di Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan yang mirip berceramah seperti Ust Yusuf iaitu Ust Zainal yang tinggal di Vila Suria, Warisan Puteri. Bila saya mendengar kuliah Ust Zainal, saya teringat Ust Yusuf !

Macam mana gayanya berceramah begitulah juga gaya Ust Yusuf membuat keputusan. Setiap keputusan yang dibuat akan diteliti, diperiksa dan di buat pengadilan seadil-adilnya.

BerQiamullail dengannya

Ustazah Khuzaimah bt Sulaiman Guru HEM suka membuat program motivasi di sekolah kami. Salah satu program yang dianjurkan ialah Qiamullail.

Pagi itu saya dipanggil oleh Ust Yusuf, duduk bersebelahan dengannya.

“Hishamuddin…., anta dah periksa PA system ?,”tanya beliau.

“Dah Ustaz”, jawab saya.

Majlis Qiamullail malam itu dipimpin oleh seorang Ustaz dari luar.

Mahu tidak mahu, apabila sudah duduk dengan Ust Yusuf terpaksalah saya sembahyang bersebelahan dengannya.

Sungguh indah di saat itu…..

Bersambung.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu