Solat Terawih 10 rakaat ?


Almarhum Sheikh Haji Ahmad, Mufti Negeri Sembilan yang pertama.

Saya masih ingat tahun lepas saya berbual dengan seorang jemaah surau Bandar Warisan Puteri Sikamat. Dia bertanyakan saya mengenai amalan solat Terawih di Negeri Sembilan yang agak pelik jika dibandingkan di negeri-negeri lain.

“Setahu ana solat Terawih ini hanya 8 atau 20 rakaat sahaja”, katanya yang berasal dari pantai timur.

Ya, bagi mereka yang pertama kali datang ke Negeri Sembilan mungkin merasa pelik dengan kaifiat solat Terawih seperti ini. Tetapi bagi mereka yang lahir atau yang sudah lama bermastautin di Negeri Sembilan, menunaikan solat Terawih 10 Rakaat adalah perkara biasa.

Ia adalah amalan tradisi yang dilakukan oleh ulama-ulama soleh di Negeri Sembilan sejak dahulu lagi.

Kita bersangka baik dengan kealiman ulama-ulama Negeri Sembilan seperti Almarhum Sheikh Haji Muhammad Said al-Linggi dan anakandanya Almarhum Sheikh Haji Ahmad, mereka mempunyai dalil dan hujah yang kuat mengenai amalan solat Terawih seperti ini.

Jika tidak silap, Jabatan Mufti Negeri Sembilan sudah pun mengeluarkan sebuah buku mengenai dalil keharusan solat Terawih 10 rakaat ini.

Justeru, tuan-tuan yang ingin memiliki buku tersebut , bolehlah membelinya di Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

Untuk makluman pembaca sekalian, berapa bilangan solat Terawih sama ada 8, 10 atau 20 rakaat ia bukanlah perintah qat’ei.

Ia hanyalah isu khilafiah atau ranting yang tidak perlu dipertengkarkan.

Terpulang kepada yang empunya badan, jika hendak buat 40, 100 atau 1000 rakaat sekali pun boleh sekiranya terdaya.

Tahun ini Surau Bandar Warisan Puteri Sikamat yang di pengerusikan oleh Ybhg Al-Fadhil Ust Hj Shafie bin Shaari telah mengikut amalan tradisi di Negeri Sembilan mendirikan solat Terawih 10 rakaat.

Bagi mereka yang baru tahu mengenai amalan solat Terawih 10 rakaat ini, saya mengucapkan Selamat datang ke Negeri Sembilan…, jauh perjalanan, luas pemandangan dan banyak ilmu yang dapat dikongsi.

Sekian, dari hamba Allah yang doif,

Ust Hj Hishamuddin bin Mansor.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu