Isu 'Poco-Poco' dan berbuat baik kepada ibubapa

Tafsir Al-Quran
Surah Al-Israk ayat 23-24


Firman Allah SWT,

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).(23)Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”(24) (Al-Israa 023-024)

Huraian ayat

Di permulaan ayat 23 Allah SWT memerintahkan manusia supaya tidak menyembah sesuatu melainkan kepada-Nya sebagai Tuhan Yang Maha Pencipta. Jika diperhatikan, terlalu banyak peringatan yang Allah SWT berikan kepada manusia sama ada di dalam Al-Quran mahu pun melalui lidah Rasul-Nya supaya manusia mentauhidkanNya dan menjauhkan diri daripada perbuatan syirik.

Sebagai contoh dalam surah An-Nisak ayat 116 Allah SWT memberi amaran keras kepada sesiapa yang syirik,

“Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.”

Isu tarian ‘Poco-Poco’

Baru-baru ini Mufti Perak SS Dato’ Dr. Harussani Zakaria melalui hasil mesyuarat Jawatankuasa Fatwanya telah mengharamkan tarian ‘Poco-Poco’ yang diminati oleh masyarakat Islam di negara kita.

Sama seperti pengharaman Yoga, fatwa ini telah menimbulkan polimik di mana ada yang pro dan kontra. Secara peribadi saya menyokong fatwa ini setelah mengetahui alasan utamanya iaitu untuk mengelakkan umat Islam tergelincir akidah.

Tarian ‘Poco-Poco’ sebenarnya berasal dari Filipina. Ia ditarikan oleh penganut Kristian ketika menghadiri upacara sembahyang mingguan mereka. Sebab itu jika diperhatikan gerak langkah tarian ini membentuk salib.

Sedangkan Rasulullah saw telah mengingatkan umatnya supaya jangan meniru budaya orang Yahudi dan Nasrani. Sabda baginda,

“Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani ) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka."

Jika kita boleh menerima pandangan Mufti tentang pengharaman sambutan ‘Valentine Day’ kerana ia meniru budaya orang-orang Kristian apatah lagi berkaitan dengan seorang Paderi yang bernama St. Valentino, justeru mengapa dalam masa yang sama kita tidak boleh menerima pengharaman tarian ‘Poco-Poco’, juga atas alasan yang serupa iaitu budaya Kristian ?

Seperkara lagi, tarian ‘Poco-Poco’ melibatkan percampuran bebas lelaki dan perempuan, seakan-akan seperti joget lambak !

Dimanakah letaknya maruah seorang muslimah apabila menggerak-gerakkan badannya sambil menghentak kaki diperhatikan pula oleh lelaki yang bukan mahram ?

Bukankah Allah SWT berfirman,

“….Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (an-Nur ayat 31)

Kesimpulannya, jalan yang paling selamat, tinggalkanlah tarian ini yang jelas boleh mengundang kesyirikkan kepada Allah SWT.

Huraian ayat seterusnya

Setelah Allah SWT memerintahkan supaya menyembah kepada-Nya sahaja, kemudian datang pula perintah supaya melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa khususnya ketika mereka sudah tua.

Dilarang sama sekali berkata kasar kepada mereka walaupun sepatah perkataan seperti ‘Ah, oh atau sebagainya kerana ia termasuk kata-kata penderhakaan.

Rasulullah saw memberi amaran ke atas mereka yang menderhakai kedua ibu bapanya,

كل الذنوب يغفر الله منها ما شاء إلا عقوق الوالدين فإنه يعجل لصاحبه
العقوبة فى الحياة قبل الممات


Maksudnya : Segala dosa diampuni Allah daripadanya mana yang Dia kehendaki kecuaali dosa derhaka kepada ibu. Sesungguhnya dosa derhaka terhadap kedua ibu bapa memperceatkan azab ketika hidup di dunia dan di akhirat.

Dalam sebuah hadis yang lain,

جاء رجل من قضاعة إلى النبي (ص) فقال : يا رسول اله أرأيت أنى إن شهدت أن لا إله إلا الهe وأنك رسول اله وصليت الصلوات الخمس وصمت رمضان وقمت لياليه وأديت الزكاة فممن أنا ؟ فقال النبي (ص) له , من مات على هذا كان مع النبيين والصديقين والشهداء يوم القيامة هكذا ونصب
أصبعه ما لم يعق والديه


Maksudnya : Telah datang seorang lelaki dari Qudhaah berjumpa Nabi saw lalu bertanya, apa pandangan engkau jika aku bersaksi bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya engkau pesuruh Allah dan aku solat lima waktu sehari semalam dan aku berpuasa di bulan Ramadhan dan aku bangun pada waktu malam dan aku mengeluarkan zakat maka bagaimanakah keadaanku ? Maka Nabi saw menjawab, barangsiapa yang mati dalam melakukan hal demikian maka sesungguhnya dia akan bersama para Nabi dan para Siddiqin, dan para Syuhadak di hari Qiamat seperti ini (Nabi saw menujukkan dua jarinya) selagi mana dia tidak derhaka kepada kedua ibubapanya.


Anak kurang ajar

Banyak terjadi hari ini di mana ibu bapa awal-awal lagi sudah menyerahkan harta seperti rumah, tanah dan sebagainya kepada anak-anak sebelum mereka meninggal dunia.

Tujuannya apabila mereka sudah tua dan sakit, anak-anak akan menjaga dan memelihara mereka berdua. Malangnya setelah harta itu diserahkan kepada anak-anak dan kedua ibu bapa ini sudah pun tua dan selalu pula uzur, anak-anak sedikit pun tidak memperdulikan mereka apatah lagi datang menjenguk.

Paling kasihan ada ibu bapa yang sudah uzur itu dihantar ke rumah orang tua-tua.

Justeru syarak mengharuskan ibu bapa mengambil semula harta yang telah dihibahkan kepada anak-anak. Hal ini berdasarkan hadis Nabi saw,

لا يحل للرجل أن يعطي العطية فيرجع فيها إلا الولد فيما يعطي ولده ومثل الرجل يعي العطية ثم يرجع فيها كمثل الكلب أكل حتى إذا شبع قاء
ثم رجع في قيئه


Maksudnya : “Tidak halal bagi seseorang yang memberikan sesuatu pemberian lalu ia menaik kembali pemberian itu melainkan seorang ayah yang memberikan kepada anaknya. Perumpamaan seseorang yang memberikan sesuatu pemberian kepada orang lain kemudian ia menarik kembali pemberiannya adalah seperti anjing yang makan sehingga muntah kemudian ia memakan kembali muntahnya itu”. (HR Imam yang lima dan Tirmidzi mengesahkannya)

Namun pengambilan itu tertakluk kepada beberapa syarat antaranya :

1.Ibubapa perlu membuktikan bahawa harta yang ingin dituntut dari anaknya itu merupakan harta hibah yang diberikan kepada anaknya.

2.Harta itu masih wujud. Jika harta itu sudah habis digunakan oleh anak, maka ibu bapa tidak boleh menuntutnya kembali.

3.Harta itu hendaklah masih dalam milik si anak. Jika harta sudah dipindah milik kepada orang lain, maka ibu bapa tidak boleh membuat tuntutan. Justeru tindakan tepat jika mana-mana ibubapa yang hendak menyerahkan hartanya kepada anak dengan cara hibah maka hendaklah dia memasukkan kepentingannya ke dalam harta tersebut atau melantik seorang peguam yang amanah sebagai pemegang amanah.

4.Harta itu tidak diperoleh semula oleh anak dengan cara lain contohnya hartanah berkenaan pernah berpindah milik, kemudian diperoleh semula oleh anak melalui transaksi baru seperti hadiah atau pembelian maka ia tidak boleh dituntut.

Mana-mana anak derhaka yang tidak sempat memohon maaf daripada kedua ibubapanya yang telah meninggal dunia, maka hendaklah dia melaksanakan tiga perkara berikut.

1.Hendaklah anak itu menjadi anak yang soleh

2.Hendaklah anak itu menghubung silaturrahim dengan kaum kerabat dan sahabat handai arwah kedua ibubapanya.

3.Hendaklah anak itu berdoa memohon ampun ke atas kedua ibu bapanya dan bersedekah atas namannya.

Kewajipan melangsaikan hutang arwah yang meninggal

Ada sesetengah anak apabila bapanya meninggal dunia mereka terus menfaraidkan harta-harta yang ditinggalkan oleh arwah bapanya tanpa terlebih dahulu menjelaskan hutang-hutang si mati. Sedangkan apabila da yang menuntut hutang daripada mereka lalu akan dijawab,

1.“Ayah saya yang berhutang…, bukan saya. Kalau mahu tuntut, tuntutlah dikuburnya…”.

2.“Harta yang ditinggalkan oleh arwah ayah saya sudah menjadi harta pusaka milik saya . Harta ini sudah tidak ada mengena dengan si mati”.

Sikap seperti ini juga menujukkan cirri penderhakaan kepada kedua ibubapanya yang sudah meninggal dunia. Dalam sebuah hadis,

عن سعد الأطوال, أن أخاه مات وترك ثلاث مائة درهم , وترك عيالا , قال : فأردت أن أنفقها على عياله , فقال النبى (ص) . إن أخاك محتبس بدينه , فاقض عنه , فقال يا رسول الله قد أديت عنه إلا دينارين, ادعتهما امرأة وليس لها بينة , قال فاعطها فإنها محقة


Maksudnya : Daripada Saad al-Atwal bahawa saudaranya itu mati dan meninggalkan harta pusaka 300 dirham serta beberapa orang keluarga. Ia berkata : Lalu aku bermaksud hendak menginfakkan kepada kaum keluarganya. Maka Nabi saw bersabda : Sesungguhnya saudaramu itu tertahan disebabkan hutangnya, oleh kerana itu bayarlah atas namanya. Sa’ad berkata : Ya rasulullah ! Sesungguhnya aku telah membayar hutangnya atas namanya, tinggal dua dinar yang ku sisakan buat seorang perempuan, tetapi perempuan itu tidak mempunyai bukti.Nabi saw bersabda, berikanlah kepadanya, kerana dia berhak. (HR Ahmad dan Ibnu Majah).

Hadis ini menunjukkan betapa perlu untuk mendahulukan pembayaran hutang daripada harta yang ditinggalkan oleh simati sebelum ia diagihkan kepada kaum keluarga. Ingat jika kita kasihkan arwah bapa kita maka hendaklah hutangnya dibayar terlebih dahulu.

Dalam sebuah hadis yang lain,

“Roh seseorang mukmin tergantung (terseksa) disebabkan hutangnya sehinggalah hutangnya itu tertunai. (Riwayat Ahmad)


Selesai membayar hutang, barulah harta itu difaraidkan. Selain hutang dalam bentuk wang ringgit hutang kepada Allah SWT seperti zakat, haji kifarah, nazar dan fidyah juga hendaklah ditunaikan.

Sebagai contoh jika arwah ayah ada menyimpan wang dalam bank dan tidak pernah membayar zakat seumur hidup, maka hendaklah si anak menjelaskan hutang zakat arwah ayahnya sebanyak 2.5 peratus daripada simpanannya kepada Baitul Mal.

Sekiranya arwah ayah belum menunaikan fardhu Haji sedangkan dia termasuk dalam golongan yang berkemampuan menunaikan Haji dan wang simpanannya dalam tabung haji sudah pun cukup maka wajiblah si anak menggunakan duit simpanan tersebut untuk dibuatkan Haji Badal arwah ayahnya.

Jika arwah ayahsemasa hidup ada bernazar hendak mengerjakan umrah, maka hendaklah dikeluarkan wang simpanan itu untuk dibuatkan umrah untuk arwah ayahnya. Begitu juga jika arwah ayah ada bernazar untuk sponsor sesiapa seperti Pak Imam atau Pak Bilal mengerjakan umrah dan nazar itu tidak sempat dilaksanakan maka hendaklah si anak menunaikan nazar tersebut dengan cara menggunakan wang peninggalan harta si mati.

Begitu jugalah jika arwah ayah ada meninggalkan puasa maka hendaklah dijelaskan fidayah puasanya daripada harta yang ditinggalkannya.

Pada ayat 24 Allah SWT memerintahkan anak-anak supaya hendaklah merasa belas kasihan kepada kedua ibu bapa dan doakanlah mereka dengan kebaikan. Antara doa yang makthur seperti yang diajar oleh Rasulullah saw,

اللهم اغفرلي ولولدي وارحمهما كما ربياني صغيرا


Maksudnya : Ya Allah ampunkanlak dosaku dan kedua ibu bapaku dan kurniakanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya kepadaku semasa kecil.

Wallahualam.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu