Al-Quran didik manusia berfikir cari kebenaran
Oleh Mohd Hishamuddin Mansor
Berita Harian
2011/04/23
MUKJIZAT al-Quran sungguh berbeza dengan mukjizat Rasulullah SAW yang lain kerana mukjizat itu hanya boleh disaksikan mereka yang hidup pada zaman Baginda saja sedangkan mukjizat al-Quran boleh dilihat sehingga ke akhir zaman.
Di dalamnya terkandung pelbagai rahsia tersembunyi dan hikmah yang boleh diselidiki dan diterokai manusia bagi mencari kebenaran sehingga ke hari kiamat.
Membaca al-Quran serta bertadabbur dengannya menjadikan hati keras bertukar lembut. Ramai tokoh menolak Islam akhirnya beriman kepada Allah selepas mendengar, membaca dan mengkaji al-Quran.
Contohnya, Saidina Umar al-Khattab pada zaman Rasulullah SAW, manakala pada zaman moden pula ialah Malcolm X, Mike Tyson dan ramai lagi.
Allah menurunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril dalam dua peringkat. Pertama, al-Quran diturunkan sekali gus dari Luh Mahfuz (langit ketujuh) ke Baitul Izzah (di langit dunia) pada malam Lailatul Qadar iaitu malam penuh keberkatan pada Ramadan.
Peringkat kedua, al-Quran diturunkan dari Baitul Izzah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril secara beransur-ansur selama 23 tahun. Oleh kerana Allah menurunkan al-Quran, maka Dia berhak memelihara kesucian kitab ini daripada dicemari pengubahsuaian manusia.
Hal ini dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Surah al-Hijr, ayat 9)
Buktinya dari dulu hingga sekarang dan sampai hari kiamat, tidak ada seorang manusia yang sanggup mencipta satu ayat setanding al-Quran. Sedangkan jika dilihat dari sudut sejarah ketika al-Quran diturunkan, masyarakat Arab jahiliah mahir mengarang sajak serta bersyair.
Mereka tidak mampu membuat satu ayat setanding al-Quran. Maka benarlah firman Allah bermaksud: “Dan jika kamu ada menaruh syak mengenai apa yang Kami turunkan (al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggillah orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang yang benar. Maka jika kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang kafir.” (Surah al-Baqarah, ayat 23-24)
Berdasarkan ayat ini, jika manusia masih berdegil dan tidak mahu beriman dengan apa yang terkandung dalam al-Quran maka bersiap sedialah dengan azab neraka di akhirat kelak.
Dalam al-Quran, banyak ayat menggesa manusia berfikir dan merenung alam ciptaan-Nya, sama ada di langit mahu pun di bumi serta mengkaji keindahan ciptaan Allah paling dekat dengan diri iaitu penciptaan jasad mereka yang unik.
Sebenarnya pada diri manusia itu ada tanda kebesaran, rahsia dan kekuasaan Allah yang perlu direnungi sebagai pedoman dan iktibar. Hanya mereka berakal saja dapat memahami hakikat itu.
Firman Allah bermaksud: “Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil dan bukti itu)?” (Surah az-Zariyat, ayat 21)
Allah mencipta setiap anggota manusia dengan sempurna, cantik dan tersusun. Perhatikan lidah untuk berkata-kata turut berperanan sebagai deria rasa membolehkan manusia menikmati pelbagai juadah makanan.
Di kanan dan kiri kepala manusia pula dicipta sepasang telinga untuk mendengar. Di kepala itu juga ada sepasang mata untuk melihat. Tanpa ketiga-tiga pancaindera ini sukar manusia menguruskan kehidupan harian. Justeru, patutkah manusia mengingkari Allah Tuhan yang Mencipta?
Allah mencela orang yang tidak mahu menggunakan akal untuk mencari Tuhan dalam firman bermaksud: “Dan berapa banyak tanda kekuasaan Allah di langit dan di bumi yang mereka menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pergi dan datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.” (Surah Yusuf, ayat 105)
Mereka diberikan petunjuk tetapi masih melakukan penderhakaan kepada Tuhan Yang Maha Pencipta, diumpama seperti binatang ternak, malah lebih sesat daripada itu. Hal ini disebut dalam al-Quran.
Allah berfirman bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami (Allah) akan isikan neraka Jahanam itu sebahagian daripada golongan jin dan manusia, mereka itu mempunyai hati, tetapi tidak mahu memahami ayat Allah. Mereka mempunyai mata, tetapi tidak mahu melihat tanda kekuasaan Allah. Mereka mempunayi telinga, tetapi tidak mahu mendengar (ayat dan nasihat Allah). Mereka itu tidak ubah seperti binatang ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.” (Surah al-A'raf, ayat 179)
Allah juga mengeji golongan yang hanya mengikut apa saja tradisi diwarisi daripada nenek moyang sehingga berterusan sesat dalam kegelapan jahiliah.
Firman-Nya bermaksud: “Dan apabila dikatakan kepada mereka, turutlah akan apa yang diturunkan oleh Allah. Mereka menjawab: (Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (daripada Allah)?” (Surah al-Baqarah, ayat 170)
Manusia sangat memerlukan hidayah Allah. Melalui pembacaan, pemahaman dan kajian terhadap al-Quran, mereka akan kenal siapa diri mereka yang sebenar dan tahu Tuhan layak disembah.
Mereka juga akan merasai kehadiran Allah Pemilik Semesta Alam. Bagi yang tidak membaca dan mengkaji al-Quran, sudah tentu tidak dapat merasai kehebatan mukjizat kalam Allah ini. Dengan kata lain, mereka akan terus teraba-raba dalam kesesatan serta kegelapan.
Penulis ialah Ketua Jabatan Pendidikan Islam, Kolej Tuanku Jaafar Mantin, Negeri Sembilan

Comments
Post a Comment