Saya bernazar jika....

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada Saidatina Aisyah r.anha,

من نذر أن يطيع الله فليطعه ومن نذر أن يعصيه فلا يعصه

Maksudnya : Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaati-Nya dan barangsiapa yang bernazar untuk melaukan maksiat kepada-Nya maka janganlah dia melakukannya.

Nazar ertinya mewajibkan diri melakukan ibadat yang tidak diwajibkan oleh syarak secara mutlak ataupun yang bergantung kepada perkara lain.

Nazar adalah sesuatu yang disyariatkan dan ia termasuk sebagai ibadat. Rasulullah saw mengingatkan orang-orang yang tidak menunaikan nazar mereka,

إن بعدكم قوما يخونون ولا تمنون ويشهدون ولا يستشهدون وينذرون
ولا يفون ويظهر فيهم السمن


Maksudnya : Sesungguhnya selepas kamu akan wujud suatu kaum yang melakukan pengkhianatan dan tidak amanah, menyaksikan sesuatu kejadian tetapi tidak mahu memberikan kesaksian , melakukan nazar tetapi tidak menunaikannya dan jelas kelihatan pada mereka lemak badan (kerana gemuk).

Maksud ‘jelas kelihatan pada mereka lemak badan’ adalah disebabkan banyak makan dan sentiasa berehat serta meninggalkan jihad. Digunakan juga sebagai sindiran terhadap perbuatan bermegah dengan perhiasan dunia.

Namun adalah lebih afdhal seseorang itu melakukan ibadat yang mahu dilakukannya tanpa mewajibkan perkara itu ke atas dirinya dengan menjadikannya sebagai nazar. Sebagai contoh bersedekah secara sukarela adalah lebih afdhal daripada sedekah yang diwajibkan kerana sebab nazar.

Dalilnya ialah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim,

إنه لا يرد شيئا وإنما يستخرج به من البخيل


Maksudnya : Sesungguhnya ia tidak akan menolak sesuatu pun tetapi ia hanya akan dilakukan oleh orang yang bakhil.

Pembahagian nazar

Nazar terbahagi kepada tiga iaitu :

1. Nazar al-Lajaj (keras kepala)

Ia berlaku dalam keadaan pertengkaran dan permusuhan yang terhasil akibat kemarahan yang melampau seperti katanya : “ Sekiranya aku bercakap juga dengan engkau, aku bernazar untuk berpuasa selama sebulan”.

Jika kehendak yang dinazarkan itu berlaku maka wajiblah atas orang yang bernazar itu untuk melaksanakan apa yang dinazarkan atau pun membayar kafarah sumpah. Dalilnya ialah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim,

كفارة النذر كفارة اليمين


Maksudnya : “Kafarah nazar seperti kafarah sumpah”.

Kafarah sumpah ialah :

1.Memerdekakan hamba
2. Memberi makan 10 orang miskin, setiap orang satu mud, atau pakaian setiap seorang.
3. Berpuasa selama tiga hari.

2. Nazar al-Mujazah ( Mukafaah )

Iaitu menggantungkan (mensyaratkan) kewajipan sesuatu ibadat dengan tercapainya sesuatu kehendak orang yang bernazar tanpa sebarang dorongan pertengkaran seperti katanya: “ Kalau akau berjaya dalam peperiksaan ini maka wajib ke atasku menyedekahkan seekor lambing”.

Justeru apabila kehendaknya itu tercapai maka wajib ke atas dirinya melaksanakan apa yang dinazarkannya. Sabda Rasulullah saw,

من نذر أن يطيع الله فليطعه


Maksudnya : Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaati-Nya.

3. Ketiga : Nazar Mutlak

Ia merupakan nazar yang mana dilafazkan oleh seseorang bagi tujuan untuk mendekatkan diri kepada AllahSWT tanpa mensyaratkan nazarnya itu dengan sesuatu yang lain atau bukan dilafazkan ketika hilang pertimbangan diri akibat marah. Contohnya seseorang itu berkata : “Kerana Allah, wajib bagiku berpuasa pada hari Khamis ini”.

Nazar ini wajib dilaksanakan secara mutlak kerana ia tidak bergantung kepada syarat.

Syarat-Syarat Nazar

a. Orang yang bernazar

Pertama, orang yang bernazar hendaklah Islam, justeru tidak sah sekiranya seseorang itu kafir. Yang kedua yang bernazar hendaklah taklif, maka tidak sah jika kanak-kanak atau orang gila kerana kedua-duanya tidak ada kewajipan ke atas mereka. Dan yang ketiga ialah sukarela. Oleh itu tidak sah nazar orang yang dipaksa. Sabda Rasulullah saw,

رفع عن أمتى الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه


Maksudnya : Tidak diperkirakan daripada umatu kesilapan, kelupaan dan apa yang dipaksakan ke atasnya.

b. Perkara yang dinazarkan

Perkara yang dinazar itu merupakan perkara yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Justeru tidak boleh bernazar kepada perkara yang diharuskan oleh syarak kerana perkara itu tidak membawa kepada pahala atau dosa bagi sesiapa yang melakukannya. Jika seseorang itu bernazar dalam perkara yang diharuskan seperti makan, minum, tidur dan sebagainya maka ia tidak memberi kesan apa-apa kepada nazarnya.

Dalilnya adalah sebagaimana hadis riwayat imam Bukhari daripada Ibnu Abbas katanya :

"Sewaktu Nabi saw sedang berkhutbah, tiba-tiba baginda melihat seorang lelaki sedang berdiri, lalu baginda bertanya tentang lelaki itu. Para sahabat menjawab : Dialah Abu Israil yang bernazar untuk berdiri dan tidak mahu duduk, tidak mahu berteduh, tidak bercakap dan terus berpuasa. Nabi saw bersabda ; Perintahkan dia untuk bercakap, berteduh, duduk dan menyempurnakan puasanya".

Begitu juga dilarang bernazar dalam perkara yang diharamkan seperti membunuh dan berzina.

Dilarang juga bernazar dalam perkara yang makruh daan haram seperti bernazar untuk meninggalkan solat sunat rawatib atau mahu melakukan perbuatan zina. Ini adalah kerana bernazar untuk melakukan perkara makruh dan haram bukan termasuk dalam perkara yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Dalilnya ialah sabda Rasulullah saw,

لا نذر فى معصية الله


Maksudnya : Tiada nazar untuk melakukan maksiat kepada Allah SWT.


Selain itu perkara yang dinazarkan itu bukan sesuatu yang memang diwajibkan seperti bernazar untuk menunaikan solat Zuhor, atau bernazar untuk berpuasa di bulan Ramadhan.

Kewajipan fardu kifayah tidak termasuk dalam pengertian kewajipan fardhu ain. Justeru boleh bernazar dengannya seperti bernazar untuk menunaikan solat jenazah atau mempelajari perubatan dan sebagainya.

Wallahualam.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu