Wahai Bani Israil…
Tafsir
Al-Quran
Surah
al-Baqarah : 40-43
“ Wahai Bani Israil!
Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu, dan
sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu
dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan
kepada sesuatu yang lain).(40)Dan berimanlah kamu dengan apa
yang Aku turunkan (Al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada
kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan
dia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk)
membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja
hendaklah kamu bertaqwa.(41)Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah,
dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.(42)Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan
rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.(43)
Huraian ayat
Firman Allah SWT pada ayat 40,
“Wahai Bani Israil!
Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu, dan
sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu
dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan
kepada sesuatu yang lain)”.(40)
Allah SWT menggesa kaum Bani Israil supaya mengenang
segala nikmat yang telah dikurniakan kepada mereka dan menyempurnakan
perjanjian mereka dengan Allah SWT.
Israil ialah gelaran yang merujuk kepada Nabi Yaakob a.s.
Perkataan ini di ambil dari bahasa Hebrew, ‘Isra’ ertinya hamba
dan ‘il’ pula ertinya Tuhan. Justeru Israil ialah hamba
Tuhan yang menjadi pilihan-Nya. Manakala Bani Israil ialah gelaran yang
diberikan kepada anak-anak dan keturunan Nabi Yaakob a.s.
Dari 12 orang anak-anak Nabi Yaakob, salah seorang daripadanya bernama Yahuda.
Daripada perkataan inilah munculnya nama Yahudi. Yahudalah yang
bertanggungjawab menghasut adik beradiknya untuk membuang saudaranya Nabi Yusuf
a.s disebabkan dengki kepadanya kerana sering diberi perhatian oleh bapa
mereka.
Dengan helah terancang, Nabi Yusuf a.s di buang ke dalam
perigi namun berjaya diselamatkan oleh pedagang yang singgah berehat untuk
mengambil air. Mereka kemudian membawa
Nabi Yusuf a.s ke Mesir lalu dijual dengan harga hanya beberapa dirham. Baginda
di beli oleh seorang bangsawan negara yang juga Ketua Polis Mesir.
Semasa dewasa, isteri bangsawan ini yang bernama Zulaikha
sangat tertarik dengan ketampanan Nabi Yusuf a.s, lalu berlakulah fitnah ke
atas baginda menyebabkan baginda dipenjarakan. Oleh kerana Nabi Yusuf a.s
pandai mentakbir mimpi, baginda akhirnya dikeluarkan dari penjara dan dilantik
sebagai Perdana Menteri Mesir.
Ketika musim kemarau melanda Kan’an (Palestin), anak-anak
Nabi Yaakob mencari makanan di Mesir, membawa kepada pertemuan semula adik
mereka Nabi Yusuf a.s. Sejak dari itu Bani Israil mula menginap di Mesir dan
berkembang biak di sana.
Ketika Firaun (Ramses 2) berkuasa di Mesir, Bani Israil
mengalami masa-masa yang paling sukar kerana ditindas dan dijadikan hamba. Lalu Allah SWT utuskan Nabi Musa a.s untuk
membawa mereka keluar dari Mesir, sekaligus menamatkan penderitaan yang mereka alami dari kekejaman Firaun.
Bangsa Yahudi hidup berpindah di merata-rata tempat. Di
zaman Rasulullah SAW, mereka tinggal menetap di utara Hijaz iaitu Yathrib.
Pada ayat 40, Allah SWT
telah mengingatkan orang-orang
Yahudi melalui lidah Rasul-Nya (Nabi Muhammad SAW), supaya mereka mengenang
kembali segala nikmat telah dikurniakan kepada mereka yang antara lain menyelamatkan mereka dari kekejaman Firaun.
Mereka juga
diseru untuk memenuhi janji yang mereka pernah ikrarkan untuk beriman kepada
Nabi Muhammad SAW (Nabi akhir zaman) sebagaimana yang termaktub di dalam kitab
Taurat yang diturunkan kepada mereka serta hendaklah takut kepada Allah SWT
sahaja.
Firman Allah SWT pada pangkal ayat 41,
“ Dan berimanlah kamu
dengan apa yang Aku turunkan (al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang
ada pada kamu,..”
Allah
SWT memerintahkan orang-orang Yahudi supaya beriman dengan segala isi
pengajaran yang terdapat di dalam al-Quran yang mengesahkan ajaran yang
terdapat di dalam kitab Taurat yang menyeru manusia mentauhidkan Allah SWT,
juga memberitahu tentang kedatangan Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi akhir zaman,
sifat-sifat dan ciri-cirinya.
Dalam surah al-A’raaf ayat 157 Allah SWT berfirman,
“(iaitu) orang-orang yang mengikut
rasul, nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan
Injil yang ada di sisi mereka…”.
Sebab itulah Allah SWT menjelaskan bahawa orang-orang
Yahudi sangat mengenali Rasulullah SAW
seperti mana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Hal ini dijelaskan
dalam surah al-Baqarah ayat 146,
“Orang-orang (Yahudi dan
Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi
Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka
sendiri..”
Firman Allah di pertengahan ayat 41,
“…dan janganlah kamu menjadi
orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan dia;..”
Oleh kerana mereka
sudah diberitahu lebih awal tentang kedatangan Nabi Muhammad SAW, maka tidak
sepatutnya mereka menjadi golongan yang paling awal pula mengingkari kerasulan
baginda.
Firman Allah SWT di hujung ayat ,
“…dan janganlah pula kamu
menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang
sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa”.(41)
Mengikut sebahagian ahli tafsir, kebanyakkan ketua-ketua
agama Yahudi sering menerima hadiah daripada pengikut-pengikut mereka. Mereka
mendakwa kepada pengikut-pengikut Yahudi bahawa Tuhan pasti akan mengutuskan
Nabi akhir zaman di kalangan bangsa mereka kerana sebelum ini banyak Nabi-Nabi dan Rasul Tuhan utus dari kaum mereka.
Rupa-rupanya ramalan ketua-ketua agama ini meleset kerana Nabi akhir zaman yang
Allah SWT utuskan itu rupa-rupanya dari bangsa Arab.
Sebab itu mereka tidak boleh menerima hakikat ini. Mereka
cukup bimbang jika perihal sebenar tentang kerasulan Nabi Muhammad SAW
diceritakan, maka ramai pengikut mereka akan berpaling tadah, tidak lagi
percaya kepada mereka apatah lagi mahu memberi hadiah seperti yang dilakukan sebelum ini. Dengan erti kata lain
sudah pasti kewibawaan mereka sebagai pendita akan tergugat.
Demi menjaga kepentingan peribadi mereka lalu mereka ubah
dan sembunyikan ayat-ayat Allah SWT yang menceritakan kerasulan Nabi Muhammad
SAW. Di hujung ayat ini Allah SWT menyeru mereka supaya bertaqwa kepada-Nya
kerana dengan taqwa sahaja seseorang itu akan takut melakukan perkara yang
dimurkai Allah SWT apatah lagi mahu menyelewengkan kebenaran.
Pengajaran daripada ayat ini, walau pun ia dituju kepada
pendita-pendita Yahudi namun ulama dan ilmuan Islam juga hendaklah mengambil
iktibar. Mereka jangan sekali-kali menyembunyikan kebenaran yang terkandung di
dalam al-Quran dan hadis, kerana dosanya cukup besar di sisi Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW,
“Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia
menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti
kuda) dengan kekang dari api neraka pada hari kiamat”. (Riwayat Abu Daud dan
at-Tirmidzi)
Firman Allah SWT pada ayat 42,
“Dan janganlah kamu campur
adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu
pula padahal kamu semua mengetahuinya”.(42)
Allah SWT menempelak ketua-ketua agama Yahudi yang
mengubah ayat-ayat Allah dengan tafsiran-tafsiran mereka yang songsang serta
menyembunyikan kebenaran ayat-ayat Allah tentang kedatangan Nabi Muhammad SAW.
Jika dilihat dalam Taurat Ulangan (Deutronomy ayat
18) ada menyatakan bahawa Tuhan telah berfirman kepada Nabi Musa,
“ I will raise up for them a prophet like you from among
their brothers ”
Sudah terang lagi bersuluh di mana Allah SWT telah
memerintahkan Nabi Musa a.s supaya menyampaikan kepada kaumnya bahawa kelak
Tuhan akan mengutuskan seorang Rasul daripada bangsa yang bersaudara dengan
mereka iaitu Bani Ismail. Ternyata satu-satunya Rasul yang lahir dari Bani
Ismail ialah Nabi Muhammad SAW.
Firman Allah SWT pada ayat 43,
“Dan dirikanlah kamu akan
sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah)
bersama-sama orang-orang yang rukuk”.
Setelah Allah SWT mengingatkan kesalahan-kesalahan yang
telah mereka lakukan, lalu Allah SWT menyuruh mereka kembali menjadi muslim
dengan mematuhi perintah Allah yang di bawa oleh Nabi Muhammad SAW yang antara
lainnya ialah mendirikan solat dan mengeluarkan zakat.
Wallahualam.
Comments
Post a Comment