Bertadarus di Universiti of Ramadhan
Syukur
Alhamdulillah, kita sudah masuk hari ke sembilan berpuasa. Ramadhan al-Mubarak
ibarat sebuah Universiti yang mendidik kita pelbagai perkara. Jika kita masuk
ke university-universiti tempatan atau swasta, tentu ada subjek teras yang
wajib diambil dan subjek elektif yang boleh dipilih sama ada mahu ambil atau
tidak.
Demikian
juga bulan Ramadhan, ada subjek teras yang wajib dilaksanakan seperti berpuasa
dan meninggalkan perkara-perkara yang membatalkannya serta ada subjek pilihan seperti bertadarus
Al-Quran.
Tadarus
ertinya membaca al-Quran sambil disemak oleh orang lain. Nabi saw bertadarus dengan
malaikat Jibril bermula ketika puasa di wajibkan pada tahun ke dua hijrah, sehinggalah
pada tahun kewafatan baginda pada tahun ke sebelas hijrah.
Dari
sudut logik akal jika Rasulullah saw seorang berbangsa Arab dan al-Quran
diturunkan dalam bahasa Arab, maka tidak perlu lagi Rasulullah saw untuk
bertadarus dengan Jibril. Ini
menunjukkan jika Nabi saw seorang berbangsa Arab masih menyemak bacaan al-Quran
apatah lagi umatnya yang bukan berbangsa Arab, lagi-lagilah mereka perlu menyemak
bacaan al-Quran melalui amalan tadarus.
Kenapa
kita perlu bertadarus ? Sebab kita tidak mahu menjadi orang yang dilaknat
oleh al-Quran sebagaimana sabda baginda
saw,
“Berapa
ramai yang membaca al-Quran, tetapi al-Quran itu melaknatnya”.
Siapakah
golongan yang dilaknat oleh al-Quran ? Tidak lain antaranya ialah mereka yang
membaca al-Quran tetapi tidak mengikut hukum tajwid atau membacanya secara
lintang pukang. Bayangkan jika orang
yang membaca al-Quran pun di laknat kerana membacanya secara semborono, apatah
lagi mereka yang langsung tidak membaca al-Quran dan tidak mengambil iktibar
dari pengajaran yang terkandung di dalamnya. .
Hal
ini sama seperti orang yang sembahyang tetapi masuk neraka Wail. Firman Allah
SWT,
“Maka
neraka Wail lah (balasannya) bagi orang yang sembahyang. Iaitu mereka yang
berkeadaan lalai daripada menunaikan sembahyang.(Al ma’un : ayat 4- 5)
Siapakah
yang dimaksud oleh Allah SWT orang yang sembahyang tetapi masuk neraka Wail ?
Iaitu mereka yang sembahyang tetapi tidak melakukan rukun-rukun solat dengan sempurna,
bermain-main ketika solat, tidak melakukan tomakninah atau mengerjakan solat
secara ‘touch and go’.
Dalam
erti kata lain sekiranya orang yang mendirikan solat juga boleh tergelincir
masuk ke neraka Wail, apatah lagi orang yang tidak sembahyang,
Seterusnya dalam sebuah hadis yang lain seperti yang diceritakan oleh
Fatimah az-Zahra,
“Sesungguhnya
Jibril datang kepada Rasulullah untuk memperdengarkan bacaannya kepada
Rasulullah setiap tahun sekali (di bulan Ramadhan). Dan Jibril telah
melaksanakan yang demikian pada tahun Nabi wafat, dua kali”.
Pengajaran
di sini ialah semakin dekat seseorang itu dengan usia kematian, maka semakin
dekat dirinya dengan al-Quran yakni semakin banyak membacanya bukan semakin menjauhi
diri daripada Al-Quran.
Dalam
sebuah hadis,
“
Barangsiapa membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di
dalamnya, (maka) kedua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari Pengadilan
yang sinarannya lebih terang daripada cahaya matahari sekiranya matahari itu
berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini ”. (HR Abu Daud dan Ahmad)
Berdarkan
hadis ini jika kita kasih kepada ibu bapa maka hendaklah membaca al-Quran dan
mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya.
Dari
Aisyah r.a katanya, sabda Rasulullah saw : “Seseorang yang membaca al-Quran
sedang dia mahir dalam membacanya, bersamanya malaikat utusan Allah yang baik.
Dan orang yang membaca al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap (berkeadaan
payah), maka baginya dua pahala”. (HR Muslim)
Maksudnya
orang yang membaca al-Quran dalam keadaan fasih dan lancar mereka dijanjikan
akan duduk bersama-sama dengan para malaikat yang mulia, manakala mereka yang
membaca al-Quran dengan bersusah payah, tergagap-gagap dijanjikan kepadanya dua
pahala. Iaitu pahala membaca al-Quran dan satu lagi pahala ialah kerana kesungguhannya
dia untuk membaca al-Quran.
Wallahualam.
Kuliah Subuh Masjid Sikamat
30 hb Julai 2012
Comments
Post a Comment