Sebuah cerpen...."Menanti di pintu Baqi' "


Pendahuluan

Bulan Haji semakin hampir. Insya Allah bermula pada hari ini, saya akan menerangkan cara-cara mengerjakan haji dalam bentuk cerpen. Mudah-mudahan dengan cara ini akan memudahkan pembaca memahami bagaimana mengerjakan haji. 

Namun cerita ini agak panjang, maka ia perlu kepada sambungan beberapa episod. Harap bersabar dan terus membacanya sehingga ke episod yang terakhir. 

Salam hormat, 

 Abu Sofeya. 


Episod satu : Menerima surat jemputan

Seusai Zuhor, kelihatan seorang posmen memberhentikan motorsikalnya di hadapan sebuah rumah banglow dua tingkat.  Dengan segera dia memasukkan sepucuk surat ke dalam letter box.   
      
“Broom…broom…,” tidak sampai 5 saat posmen ini meninggalkan rumah tersebut.  

Sejurus kemudian muncul seorang lelaki tua dari anjung rumah, mengambil surat dan terus  membukanya perlahan-lahan.  Hatinya berdebar-debar kerana sampul surat itu tertera perkataan Lembaga Tabung Haji.

“Alhamdulillah…”, jerit Dato’ Hashim apabila isi surat menyatakan dia dan isterinya ditawarkan mengerjakan Haji pada tahun itu.  Syukur , setelah sekian lama menunggu akhirnya hasrat mereka berdua untuk  ke tanah suci bakal tertunai juga.  

“Hasnah …, kita terpilih  untuk ke tanah suci”, jerit Dato’ Hashim  ke arah isterinya yang sedang membaca akhbar di meja taman.   

Datin Hasnah menghentikan bacaan lalu menuju ke arah suaminya.

“Betul ke bang..?”.  

“Nah..”, Dato’ Hashim menyerahkan pula surat itu kepada isterinya.

Datin Hasnah membaca isi surat kemudian memandang suaminya.

“Syukur Alhamdulillah…..”.

Tidak dapat dibayangkan betapa gembiranya hati mereka berdua. Sudah tujuh tahun mereka bersabar menunggu giliran dan sudah berpucuk-pucuk surat rayuan yang dihantar ke Tabung Haji, namun jawapan tetap menghampakan,  

“Dukacita dimaklumkan permohonan anda untuk menunaikan Haji tahun ini tidak dapat dipenuhi kerana kuota sudah penuh”.  

Dato’ Hashim, walaupun berpangkat dan berkedudukan, tetapi tidak pernah mengambil kesempatan  dengan apa yang dimiliki untuk memotong giliran.

Dia sedar, masih ramai lagi yang mendaftar lebih awal daripada mereka. Rasa berdosa  jika mereka memintas giliran orang.   

“Syukur Hasnah…., akhirnya Allah SWT sudi menjemput kita sebagai tetamunya”.

Datin Hasnah menangis memeluk suaminya, maklum sahaja usia mereka sudah lanjut 60 an.  Kalau boleh biarlah mereka kembali kerahmatullah dalam keadaan sudah menyempurnakan rukun Islam kelima ini.

Episod kedua : Dato’ Hashim berdebar-debar

“Tik tok…., tik tok…” jam di dinding sudah pun menunjukkan pukul 1.00 pagi.  Tetapi di kamar, Dato’ Hashim masih belum melelapkan matanya. Sekali sekala dia terbatuk kecil.         

“Kenapa abang tidak tidur lagi ?”, tanya Datin Hasnah apabila terjaga mendengar batukkan suaminya.   Dia melihat suaminya termenung seolah-olah memikirkan sesuatu.

“Entahlah …, hati abang berdebar-debar untuk ke tanah suci…”., jawab Dato’ Hashim. 

“Kenapa …?”, Datin Hasnah bangun dan bersandar di dinding katil.

“ Yalah…., masa kita muda-muda dulu, kita banyak melakukan dosa. Kita menindas rakan saingan perniagaan, kita terlibat dengan rasuah, kita mengabaikan solat dan  kita berlagak sombong dengan rakan-rakan sekeliling”,  jelas Dato’ Hashim.

Dia masih ingat, sewaktu mula-mula bertatih dalam bidang perniagaan, Dato’ Hashim pernah memberi rasuah kepada seorang pegawai kerajaan dalam usaha untuk mendapatkan tender pembinaan jalan raya bertingkat di daerahnya.

Hasil kejayaan projek pertamanya  dan pertolongan ‘orang dalam’,  Dato’ Hashim mendapat  pelbagai lagi tender pembinaan  yang berjumlah jutaan ringgit.

Kini sewaktu usia semakin menghampiri kubur, perniagaannya diserahkan pula kepada anak tunggalnya, Karim. Manakala Dato’ Hashim dan isteri hanya berehat di rumah.

“ Abang takut Tuhan akan hukum kita di tanah suci”, suara Dato’ Hashim yang garau memecah kesunyian.

Dato’Hashim kemudian duduk bersila, menceritakan kepada isterinya kisah yang dibaca dari sebuah majalah tentang  pengalaman orang yang mengerjakan Haji.

“Tidak semua jemaah dapat mengerjakan haji dengan sempurna. Ada jemaah yang tidak nampak Kaabah, ada jemaah yang baru sahaja sampai ke tanah suci tiba-tiba mahu segera pulang  ke tanahair,  ada jemaah yang meracau-meracau, menjerit-jerit bagaikan orang gila dan bermacam-macam lagi”, cerita Dato’ Hashim.

“Abang bimbang jadi macam mereka ?”, tanya Datin Hasnah.    

“Ya”, jawab Dato’ Hashim sepatah.

Datin Hasnah menarik nafas dalam-dalam.

“Bang…., Allah SWT itu Maha Pengampun. Besar mana dosa seseorang hamba, besar lagi rahmat dan pengampunan Tuhan, kita jangan berputus asa untuk memohon keampunan daripada-Nya”, Datin Hasnah memujuk suaminya dengan lembut.

“Bagaimana caranya…?”, tanya Dato’ Hashim.

“Kita solat sunat Taubat…”, Datin Hasnah memberi cadangan. 

Dato’ Hashim mengangguk-anggukkan kepala.

Bermula pada malam itu dan malam-malam berikutnya Dato’ Hashim dan isteri tekun  mengerjakan solat sunat Taubat di samping beristighfar memohon keampunan dairpada Allah SWT.  

Episod tiga : Pergi berkursus

Lima bulan sebelum ke tanah suci, Dato’ Hashim dan Datin Hasnah tidak pernah ponteng menghadiri kursus Haji di daerah mereka.

“Labbaikallahummalabbaik…”, laung Dato’ Hashim bersama peserta kursus yang lain setiap kali ceramah dimulakan.

“Dalam mazhab Syafie, Haji Ifrad lebih afdhal dari Haji Tamattuk dan Qiran”, terang Ustaz Haji Abdullah Guru Pembimbing Haji ketika menyampaikan ceramahnya.

“Berbeza dengan Haji Tammatuk dan Qiran, jemaah yang mengerjakan  Haji Ifrad mereka dikecualikan daripada membayar Dam”, sambung Ustaz Haji Abdullah lagi.  Suaranya nyaring, jelas dapat didengari oleh semua bakal Jemaah haji yang hadir.

Dato’ Hashim mencatat segala ilmu yang disampaikan. Selama ini dia tidak tahu, rupa-rupanya ada tiga cara untuk mengerjakan Haji.

“Abang keliru, mana satu yang hendak dipilih”, katanya kepada Datin Hasnah apabila pulang ke rumah.  

“Bang, saya rasa elok kita jemput Ust Haji Abdullah datang kerumah untuk memberi penerangan lanjut”,  celah Datin Hasnah.

Dato’ Hashim memandang isterinya sambil mengangguk-anggukan kepala.

Episod 4 : Soal Jawab Haji  di rumah

Tiga minggu sebelum berangkat, Dato’ Hashim  menerima surat daripada Tabung Haji yang menyatakan jadual penerbangannya ke tanah suci ialah pada 20 Oktober 2012.

Justeru beliau telah menjemput Ust Haji Abdullah datang ke rumah untuk bertanya beberapa soalan yang musykil.

“Terima kasih kerana sudi datang”, kata Dato’ Hashim menyambut kedatangan Ust Haji Abdullah ke rumahnya.

“Duduklah Ustaz…., saya ke dapur sekejap untuk menyediakan hidangan”, kata Datin Hasnah tersenyum gembira.

“Tak payahlah susah-susah Datin….,”, balas Ust Haji Abdullah sambil duduk di atas Sofa kulit buatan Italy.

“Tak da susah-susahnya Ustaz…., bukankah Ustaz juga yang menyampaiakn ceramah dulu, tetamu kalau masuk ke rumah membawa seribu berkat dan seribu rahmat”, ujar Datin Hasnah lalu menuju ke dapur. 
   
Dato Hashim memandang Ust Haji Abdullah. Di kepalanya sudah terpahat beberapa soalan yang hendak di tanya. Lima minit selepas itu Datin Hasnah muncul dari dapur membawa juadah ringan berupa keropok lekor dan air kopi.

“Silakan Ustaz…, sambil minum kita berbual-bual” kata Dato ‘ Hashim sambil menghulurkan secawa kopi panas kepada Ust Haji Abdullah.

“Apa soalan yang hendak ditanya ?”, kata Ust Haji Abdullah sambil meneguk air kopi pekat hasil tangan Datin Hasnah.

“Begini Ustaz ….pada 20 Oktober nanti kami akan berangkat ke tanah suci, jadi kami ingin nasihat dan panduan daripada Ustaz apakah cara Haji yang sepatutnya kami  laksanakan, sama ada Ifrad, Tamattuk atau Qiran ?”, tanya Dato’ Hashim.

“Boleh dapatkan saya kalendar?”, pinta Ust Haji Abdullah.

Dato Hashim bangun menuju ke biliknya, mengambil kalendar yang tersangkut di dinding. Sejurus kemudian memberikannya kepada Ust Haji Abdullah.

“Kalau berdasarkan kalendar ini, hari wukuf akan jatuh pada 25 Oktober 2012. Ini bermakna Dato’ dan Datin tiba di tanah suci 5 hari sebelum wukuf”, jelas Ust Haji Abdullah.

“Jadi apakah cara Haji yang patut kami lakukan?”, soal Dato’ Hashim.  

“Sebenarnya cara mengerjakan Haji ini berdasarkan kehendak masing-masing. Tapi oleh kerana Dato’ dan Datin minta nasihat daripada saya, maka saya nasihatkan Dato’ dan Datin’ mengerjakan Haji Ifrad”, Jawab Ust Haji Abdullah.  

“Kenapa pula Ustaz… ?”, tanya Datin Hasnah mencelah.

“Yalah…, selain  ia adalah yang paling afdhal, Dato’ dan Datin tidak perlu lama menjaga pantang larang ihram, hanya lima hari sahaja sebelum wukuf”, terang Ust Haji Abdullah.

Dato’ Hashim memandang isterinya sambil mengangguk-anggukan kepala.

“Ustaz boleh terangkan kepada kami cara mengerjakan Haji Ifrad ? Walaupun kami telah berkursus tempoh hari, pertanyaan ini hanyalah  untuk memantapkan lagi ilmu yang kami telah perolehi”, tanya Dato’ Hashim.

“Boleh apa salahnya…”, jelas Ust Haji Abdullah.

Bersambung…. 

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu